Pun begitu, bagi Mohd. Harris Shahrul Annuar, 24, mempunyai pengalaman dan keberanian untuk berada dalam bidang berkenaan juga menjadi antara faktor utama untuk mudah menempatkan diri.

Pemenang tempat ketiga pencarian pertandingan Hero Remaja 2017 yang diadakan baru-baru ini itu mengakui, menjadi popular sudah pasti menjadi idaman semua orang khususnya buat mereka yang baharu melangkah masuk ke dalam industri hiburan.

Malah, bergelar anak kepada pengasas produk kesihatan popular, Zaiton Hassan dan adik kepada selebriti penyiaran terkenal, Nadia Shahrul Annuar, membolehkan dia menjadikan dua insan itu sebagai batu loncatan untuk dikenali dalam bidang berkenaan.

“Jujur memang saya beruntung dilahirkan dalam keluarga yang sudah dikenali masyarakat, namun bukan semudah itu untuk menumpang populariti mereka jika saya sendiri tidak berusaha menonjolkan bakat yang ada.

“Saya pernah menyertai pelbagai pertandingan, namun saya bersyukur melalui Hero Remaja saya dikenali tanpa perlu menumpang populariti sesiapa dan saya harap dapat mengejar cita-cita untuk menjadi seseorang yang berjaya dalam industri hiburan,” jelasnya yang telah berkecimpung dalam peragaan sejak lima tahun lalu.

Lebih dikenali dengan gaya kepala yang tidak berambut atau botak berbanding wajah kacak yang dimiliki, Mohd. Harris mengakui penampilannya bukan dibuat semata-mata untuk mendapatkan perhatian.

Ujarnya, bukan hanya dia satu-satunya yang botak di dalam ahli keluarga, bapa dan tiga lagi abangnya juga turut mempunyai penampilan yang serupa, bezanya mereka tidak terlibat di dalam industri yang sama sepertinya.

“Sebelum ini, saya memang mempunyai rambut tetapi rambut saya sukar diurus dan setiap kali membuat peragaan, juru hias mengalami masalah untuk menggayakan rambut saya. Memandangkan bapa dan abang-abang juga botak, saya mengambil keputusan untuk membotakkan kepala.

“Tidak sangka, selepas botak saya rasa lebih berkeyakinan dengan penampilan biar pun pada awalnya selepas membotakkan kepala, saya demam beberapa hari mungkin kerana tidak biasa kepala tanpa rambut,” jelasnya.

Cuma akuinya, berpenampilan botak masih menerima pandangan pelik sesetengah masyarakat kerana sering dikaitkan dengan sikap jahat atau samseng, manakala di dalam industri hiburan sukar mendapat kepercayaan untuk membawa watak-watak tertentu sama ada drama mahu pun filem.

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina itu, memandangkan keluarganya amat mementingkan pelajaran, dia tidak menolak untuk menyambung kerjayanya sebagai arkitek, pun begitu, buat masa ini dia memilih industri hiburan.

“Bergelar model, pelakon atau pengacara mungkin menjadi kerjaya yang saya minati dan kemungkinan saya akan meneruskan kerjaya sebagai arkitek kerana ia adalah impian bapa dan ibu.

“Tidak kira apa pun yang saya lakukan, mereka selalu berpesan lakukan dengan sebaiknya dan rebut peluang yang ada jika mahu berjaya,” jelasnya.