Bukan tujuan mengambil tahu hal orang tua tetapi untuk berkongsi masalah tersebut dan mencari jalan penyelesaian agar rumah tangga yang dibina itu tidak menghadapi keruntuhan.

Tidak seorang pun anak mahu melihat ibu bapanya berpisah, tinggal berasingan dan menyulitkan mereka untuk menagih perhatian dan kasih sayang. Tetapi jika itu takdirnya, maka redalah.

Ini kisah yang saya pilih minggu ini. Agak istimewa kerana dikirim oleh seorang remaja berusia 17 tahun yang menamakan dirinya sebagai Shasha (bukan nama sebenar). Ingin tahu kisah Shasha, jom kita baca.

“Saya anak sulung dalam adik beradik seramai tiga orang. Adik lelaki di tingkatan 3 dan dan adik perempuan di tahun 6. Saya pula akan menghadapi peperiksaan SPM tahun ini, tak berapa lama sahaja lagi.

“Ayah seorang ahli korporat yang berjaya, ibu pula ahli perniagaan, ada butik, ada spa dan ada kelas zumba. Memang kedua-dua mereka teramat sibuk.

“Kedua-duanya juga mempunyai cita-cita yang sangat tinggi. Mahu jadi orang kaya, kumpul harta dan popular dalam kalangan masyarakat. Hajat mereka semua tercapai. Mereka bangga dengan dunia mereka tetapi tidak bagi saya, malah saya sangat takut dengan apa yang mereka miliki sekarang.

“Adik-adik mungkin masih kecil untuk faham sebab mereka hidup mewah. Hendak apa semua dapat. Selalu dibawa makan angin ke luar dan dalam negara. Pendek kata, mereka tidak pernah merasa susah.

“Tapi saya lain pula. Saya sedikit pun tidak merasa bangga dan gembira dengan apa yang keluarga saya miliki. Memang betul saya tidak pernah susah. Tapi hati saya tidak pernah tenang. Selalu resah gelisah.

“Saya melihat kehidupan ibu bapa saya sebagai sangat menakutkan. Dalam usia yang meningkat, mereka langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bertaubat dan berusaha ke arah mencari saham akhirat.

“Hari-hari yang berlalu diisi dengan kerja mereka yang tidak pernah selesai. Siang malam, pagi petang, sibuk memanjang. Saya membesar dengan kasih sayang pembantu rumah yang menjaga saya sejak kecil. Dia sudah macam ibu kandung saya, saudara sebelah abah.

“Sikap ibu bapa saya macam tiada tanggungjawab. Keluar rumah tak kira masa. Seorang ke hulu seorang ke hilir. Jumpa waktu malam, itu pun untuk tidur sahaja. Tidak ada langsung ruang untuk saya dan adik-adik bersembang dan bercerita tentang masalah kami.

“Saya sudah lama memendam rasa. Hinggakan apabila saya mendapat tawaran ke asrama penuh, saya tolak sebab kasihankan adik-adik jika saya tidak ada di rumah. Saya bagi alasan tidak mahu berpisah dengan mereka.

“Sekarang saya semakin tertekan. Kalau boleh, saya nak luahkan kepada mereka perasaan saya. Nak minta mereka berhenti kejar dunia, tengok-tengok sama hal akhirat. Berhentilah cari duit, tumpukan perhatian kepada saya, adik-adik dan sanak saudara.

“Kadang-kadang saya malu dengan atok nenek, kenduri kendara kami jarang balik sebab ibu bapa saya sibuk dengan temu janji dan bisnes mereka. Sampai hendak bermasyarakat pun, kedekut masa.

“Ada masa, saya menangis mengenangkan nasib saya dan adik-adik. Melihat orang lain bahagia bersama ibu bapa mereka, saya jadi sebak. Kenapa ibu bapa saya tidak begitu. Boleh pergi masjid bersama-sama, dengar ceramah agama dan bergotong royong dengan kejiranan jika ada majlis.

“Ini tidak, asyik sibuk dengan hal mereka sahaja. Malu saya kalau orang tanya. Ibu pula tidak menjaga penampilannya, pakai apa yang dia suka. Sudahlah tidak bertudung, pakaian juga mencolok mata, konon hendak jaga imej, sedangkan saya dan adik bertudung.

“Saya hairan ke mana hilang rasa malu dan segan ibu bapa saya ini. Mungkinkah disebabkan mereka leka dengan duniawi, maka mereka digelapkan hati untuk melihat kebaikan yang lain. Wallahualam. Allah Maha Mengetahui.

“Setiap kali saya solat, saya selalu berdoa supaya Allah membuka hati mereka untuk kembali menunaikan tanggungjawab kepada kami anak-anaknya terutama kepada Allah.

“Bukan saya kata mereka tidak buat tetapi di mata saya kurang, tidak seperti sepatutnya jika dibandingkan dengan orang lain. Bukan juga niat saya membuka aib keluarga tetapi saya hanya berkongsi perasaan dan kerisauan saya.

“Saya sayang ibu bapa saya. Saya mahu mereka juga mendapat keberkatan Allah, menjadi payung untuk kami adik beradik dalam bab agama. Saya teringin solat berjemaah dengan bapa sebagai imam dan ibu, saya dan adik-adik menjadi makmumnya. Tapi itu semua tidak pernah berlaku.

“Saya menangis jika teringatkan hidup ibu bapa saya, hidup kami yang tidak sama dengan orang lain. Saya tahu nenek dan atok juga perasan akan hal ini. Saya berharap mereka akan tegur ibu bapa saya.

“Sebagai anak, saya akan terus berdoa. Doa anak solehah, Allah makbul. Doa yang tanpa hati. Moga Allah dengar doa saya,” kata Shasha menamatkan ceritanya.

Sebak saya dengan kisah Shasha ini. Luahan hati seorang anak. Memang diakui, banyak anak-anak terasa hati dengan keadaan ibu bapa yang lebih mengutamakan kehidupan luar daripada memenuhi tanggungjawab terhadap rumah tangga dan anak-anak.

Syabas Shasha kerana berani berkongsi kisah ini di ruangan ini. Moga cerita ini mendapat perhatian ibu bapa yang mungkin sedang melalui situasi seperti ibu bapa Shasha untuk melakukan sesuatu sebelum terlambat.

Kepada Shasha, saya titipkan pesanan, bersabar dan terus berdoa. Insya-Allah perkara baik, doa yang baik Allah akan makbul. Yang penting, jaga tingkah laku dan hormati ibu bapa.

Menutup catatan, pesanan saya, bahagia itu tidak datang dengan sendiri, ia disertai dengan kasih sayang setelah berlakunya ujian dan cabaran. Hanya mereka yang sabar akan berjaya melepasi ujian itu.

Salam