“Isteri-isteri pula sekiranya berhadapan dengan suami yang bermasalah dadah, boleh menghubungi talian Kasih 15999, untuk mendapatkan bantuan.

“Mereka juga boleh melaporkan perkara berkenaan kepada ketua kampung, penghulu atau pemimpin-pemimpin masyarakat bagi mendapatkan jalan, bagaimana untuk memulihkan semula ahli keluarga, suami termasuk diri mereka sendiri sekiranya terjebak dalam penagihan dadah.”

Itu gesaan Pengerusi Biro Wanita, Pembangunan Keluarga dan Penawar Pemadam (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia), Datuk Jamelah A Bakar, terhadap ibu bapa atau mana-mana tonggak keluarga, yang ahli keluarga mereka berhadapan masalah dadah.

Beliau memberitahu, keadaan ini perlu memandangkan situasi penagihan dadah sekarang yang dilihat semakin memburuk sehingga mengakibatkan mereka yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang itu sanggup membunuh atau mencederakan insan-insan sekeliling.

Penambahan jumlah yang menyalah guna dadah juga semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Jamelah memberitahu, sekiranya ibu, bapa atau ahli keluarga ingin menzahirkan rasa sayang terhadap keluarga, mereka sendiri perlu tampil ke hadapan, memaksa anak atau ahli keluarga bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan di pusat-pusat pemulihan atau mendapatkan rawatan sehingga mereka pulih sepenuhnya.

Dalam keadaan begini ujar beliau, ibu bapa dan keluarga harus mengenepikan perasaan malu apabila anak mereka terlibat dengan dadah dengan mencari jalan memulihkan mereka kembali daripada hanya membiarkan mereka bergelar penagih dadah sepanjang hayat.

Bahkan, sekiranya berterusan membiarkan anak-anak atau ahli keluarga yang berada di bawah pengaruh dadah berada di sekeliling mereka, dikhuatiri lambat laun akan mencetuskan pelbagai perkara yang tidak diingini.

Tambah Jamelah, sebagai ibu bapa, mereka sepatutnya lebih mengenali anak-anak, dengan siapa mereka berkawan dan juga perubahan sikap.

Kata beliau, pengedar dadah memang mengambil kesempatan atas kelalaian ibu bapa terhadap anak-anak dengan menjadikan anak-anak ini penagih baharu dari semasa ke semasa bagi kesinambungan bekalan pada masa akan datang.

“Pihak Pemadam sendiri pernah terjumpa kes, bagaimana seorang ibu tidak mahu anaknya mendapatkan rawatan atas alasan anaknya itu masih lagi baharu di bawah pengaruh dadah, namun selepas diperiksa, doktor mendapati anaknya itu telah melepasi tahap bahaya iaitu 80 peratus ketagihan yang kronik dan perlu dirawat segera,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah mempengerusikan Mesyuarat Biro Wanita, Pembangunan Keluarga dan Penawar Kebangsaan (BWPKP) di Ibu Pejabat Pemadam, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama pengerusi-pengerusi BWPKP seluruh negeri.

Kata Jamelah, penularan ‘wabak’ ini umpama satu barah yang harus ditangani segera sebelum pekung ini memburuk dan membusuk.

“Apa yang membimbangkan, peningkatan penagih dadah baharu setiap tahun terdiri daripada kanak-kanak sekolah dengan statistik tangkapan dari Januari hingga Jun 2016, seramai 125, manakala 72 penuntut ditangkap dari institusi penggajian tinggi.

“Malang sekali golongan yang paling banyak menyalahgunakan dadah ini anak-anak Melayu dengan mencatatkan 72,928 tangkapan yang dilakukan sepanjang Januari-Jun 2016.

“Paling menakutkan, statistik golongan wanita semakin meningkat dalam penyalahgunaan dadah dengan 1,834 tangkapan dalam jangka masa yang sama,” jelasnya.

Beliau memberitahu, penyalahgunaan dadah menular di semua peringkat golongan, termasuk golongan miskin, berpendapatan sederhana dan mereka yang berkemampuan.

“Mereka yang berada dalam kemiskinan menyalah guna dadah akibat berhadapan 
dengan pelbagai masalah seperti kemelut kewangan, rumah tangga dan sebagainya. Dadah digunakan sebagai cara untuk ‘melarikan diri’ daripada masalah yang akhirnya menjerut diri sendiri.

“Kita sedih, apabila pernah melihat kes, satu keluarga hanyut dengan dadah dari peringkat bapa, anak, dan cucu,” kata Jamelah.

Fungsi 
Pemadam

Bertanggungjawab melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah sejak 22 Mac 1976 hingga kini dan ahlinya dipilih dan bergerak secara sukarela yang membantu dan menyokong usaha kerajaan membanteras dadah. Pertubuhan ini mempunyai 164 Pemadam Daerah yang mana 162 unit Pemadam beroperasi di 15 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Setakat ini lebih 500,000 penduduk negara ini telah menjadi ahli Pemadam dan disasarkan kira-kira 20 peratus penduduk di negara ini akan menjadi ahli Pemadam.

Mendapat kerja sama yang baik dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui LPPKN, AADK, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kerajaan Tempatan, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu Jamelah memberitahu, masalah dadah yang dihadapi di negara ini adalah serius, justeru sokongan daripada pelbagai pihak sangat penting. Sudah sampai masanya semua pihak berganding bahu bekerjasama membantu menyelesaikan masalah ini tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sudah sampai masanya pemimpin bersama rakyat dan pihak berkuasa menyelesaikan masalah ini.

“Kefahaman dan kepekaan kita dalam permasalahan ini sebenarnya bermusim. Bila ada berlaku sesuatu yang besar, barulah kita mula buka mata. Masalah ini sebenarnya sudah lama. Bagi kami di Pemadam, telah banyak usaha yang dilakukan dalam mengekang gejala akibat dadah.

“Berdasarkan daripada ketetapan itu, Biro kami beranggapan sudah sampai masanya rakyat Malaysia peka dengan keadaan ini dan kami telah menggariskan beberapa pendekatan. Antaranya penagih dadah wajib mendapatkan rawatan komprehensif sehingga mereka pulih sebelum kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

“Sekarang ini, perkara ini tidak diwajibkan. Mereka pergi dapatkan rawatan secara sukarela. Kami juga menggesa mereka yang dihantar ke pusat-pusat pemulihan dipantau oleh doktor-doktor perubatan bagi mempercepatkan proses pemulihan dengan berkesan.

“Selain, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini tanpa mengira amalan politik kerana ia merupakan masalah nasional,” katanya.