Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ayah dengan isteri baharu macam belangkas

SEMBANG-SEMBANG

Selalunya ruangan ini mendapat perhatian dari suami atau isteri yang berkongsi kisah rumah tangga mereka tetapi minggu ini seorang anak tampil berkongsi kisah yang berlaku dalam rumah tangga bapa dan ibu tirinya.

Kata si pengirim yang menamakan dirinya sebagai Hani (bukan nama sebenar) bukan niat di hatinya untuk membuka pekung di dada tetapi sebagai ingatan kepada para suami yang ingin berkahwin lain setelah berpisah dengan isteri atau kematian isteri.

Memang anak-anak boleh menerima kehadiran orang lain sebagai ganti ibu mereka tetapi penerimaan mereka kadang kala berbelah bagi disebabkan sikap ibu tiri yang meloyakan.

Ingin tahu apa yang berlaku kepada Hani, kita ikuti ceritanya.

“Nama saya Hani, berusia 23 tahun. Anak bongsu daripada adik beradik seramai lima orang, tiga abang dan seorang kakak. Pada mulanya saya agak berat untuk berkongsi cerita ini tetapi apabila difikirkan ia boleh dijadikan teladan kepada pembaca saya setuju berkongsi cerita ini dengan anda semua.

“Di mata orang, keluarga saya hidup dalam serba mewah, bapa ada pangkat, berjawatan tinggi. Tiga abang lelaki telah berkahwin begitu juga kakak. Sayangnya kami sudah tidak mempunyai ibu yang meninggal dunia lebih dua tahun lalu.

“Alhamdulillah..semua kakak ipar dan abang ipar sangat baik dengan saya. Mereka menjadi pengganti ibu di hati saya. Sebagai anak bongsu dan adik bongsu saya mendapat sepenuh kasih sayang dari seluruh ahli keluarga.

“Setelah ibu pergi, saya menjadi murung. Pemergian ibu benar-benar terkesan di hati saya. Saya rindu ibu. Kebahagiaan kami direntap dan hilang dalam sekelip mata.

“Ayah pula dalam diam-diam berkira kira untuk bernikah lain sedangkan ibu baharu sahaja pergi. Walaupun kami adik beradik cuba menghalang, ayah tetap dengan keputusannya untuk bernikah lain. Nenek menasihati kami supaya jangan campur urusan ayah dan biarkan dia hendak bernikah lain.

“Kami akur dengan kehendak nenek. Akhirnya ayah kahwin lagi dengan seorang anak dara yang telah berusia awal 50-an. Saya tidak tahu nak kata suka ke tidak, begitu juga dengan abang kakak dan ipar duai saya.

“Tetapi pada hari pernikahan ayah kami semua hadir memberi sokongan walaupun dalam hati kami masing-masing sangat marah. Saya sedih sebab ayah bernikah terlalu awal setelah kematian ibu.

“Ibu tiri saya ini boleh tahan juga rupanya. Nampak peramah orangnya, masih bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Tentu gaya hidupnya juga sangat dijaga berbeza dengan ibu yang hanya seorang suri rumah.

“Bapa sangat bangga apabila semua orang memuji isterinya. Senyum sampai telinga kerana gembira. Kami adik beradik diperkenalkan dengan ibu tiri kami secara rasmi selepas pernikahan selesai.

“Majlis di rumah perempuan sangat meriah, siap bersanding lagi. Merasalah bapa naik pelamin kali kedua. Ketika ini saya tidak melihatnya, tidak sampai hati saya melihat bapa bersanding dengan orang lain. Sebab saya terbayang ibu yang duduk di sebelah.

“Majlis menyambut ibu tiri juga diadakan di rumah kami. Nenek yang beriya-iya mahu majlis doa selamat diadakan sempena pernikahan bapa. Selesai semuanya, tinggal saya seorang diri menghadap bapa dan isteri baharunya.

“Perangai ibu tiri tidak seperti yang saya harapkan. Nampak sahaja baik dan peramah tetapi mulutnya sangat laser. Dia suka berleter dan suka bergosip hal orang. Mujur saya hanya balik pada hujung minggu, kalau hari-hari terpaksa berdepan dengan dia, mahu saya lari dari rumah.

“Yang paling saya tidak tahan melihat perangai ibu tiri apabila bersama ayah. Macam belangkas, berkepit 24 jam. Tidak langsung ada sikap malu dan segan dengan saya. Kalau duduk di ruang tamu menonton TV, ayah tidak malu memeluk isterinya…siap berpegangan tangan lagi, macam orang muda.

“Malah kalau kami berkumpul beramai-ramai, mereka tetap macam itu, tidak ada langsung segan silu dengan anak menantu dan cucu. Semakin hari saya semakin menyampah dan meluat dengan perangai bapa dan isteri baharunya itu.

“Nak tegur tidak boleh, apatah lagi hendak marah. Mahu tidak mahu saya harus bertahan. Kadang-kadang saya macam hendak menjerit minta mereka berhenti berkelakuan begitu. Rasa nak tampar pun ada. Meluat sungguh. Tetapi kakak dan abang minta saya bersabar.

“Kata abang, itu pilihan ayah, kami kena redha dan tidak boleh campur urusan rumah tangga ayah. Ya Allah, besarnya dugaan untuk saya. Abang-abang meminta saya banyak bersabar.

“Kadang-kadang saya balik ke rumah abang atau kakak kerana tidak mahu pulang ke rumah ayah. Saya tidak mahu sakit hati melihat kemesraan ayah dan isteri baharunya yang tidak pandai membawa diri itu.

“Walaupun abang dan kakak-kakak minta saya bersabar tetapi sehingga kini saya masih belum dapat menerima keadaan yang memeritkan ini walaupun sudah hampir setahun ayah bernikah.

“Tetapi setakat ini saya belum pernah bertindak kurang ajar dengan isteri baharu ayah. Saya lebih suka berdiam diri apabila balik ke rumah setiap kali cuti semester. Jemu di rumah saya ke rumah abang atau kakak. Saya pula lebih suka menghabiskan masa dengan keluarga abang dan kakak berbanding tinggal dengan bapa dan ibu tiri.

“Biarlah.. saya selesa begini. Saya hanya berdoa semoga Allah bagi saya kekuatan dan kesabaran yang berterusan sehingga saya benar-benar boleh menerima mak tiri saya itu.

“Pesanan saya kepada para suami dan lelaki di luar sana yang ingin bernikah lain, carilah wanita yang boleh diterima oleh anak-anak dan tidak berlagak diva.

“Buat ibuku tersayang, al-Fatihah buatmu ibu. Anak-anakmu tidak pernah lupakan ibu. Semoga ibu tenang di sana. Amin,” Hani menutup ceritanya yang sangat menyentuh hati.

Semoga kisah Hani dapat dimanfaatkan oleh kita yang membaca dan mereka yang menghadapi ituasi yang sama. Saya sangat kagum dengan kesabaran Hani. Doa saya semoga Hani terus diberi kekuatan.

Segala yang berlaku sudah ditakdirkan oleh Allah. Redha dan tabah menerimanya. Walau apapun, saya sangat berharap keadaan akan berubah dan Allah akan membuka pintu hati Hani dan abang serta kakaknya untuk menerima ibu baharu mereka dengan lapang dada.

Terima kasih Hani berkongsi cerita ini dengan pembaca.

Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, kekecewaan dan kesedihan akan berlalu apabila dalam hati kita ikhlas menerima ujian Allah dan berlapang dada memaafkan kesilapan sesama manusia.

Salam.

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan