Itu antara rintihan yang sering keluar dari mulut kanak-kanak berusia 9 tahun ini, yang sudah hilang kedua-dua penglihatannya selepas hampir sembilan bulan berjuang melawan kanser tisu kronik (sarcoma).

Ketika mula-mula disahkan menghidap kanser tersebut, hampir setiap hari Mohamad Arifuddin Mohd. Nor Hafiz termenung mengenangkan keadaan dirinya yang tidak lagi normal seperti kanak-kanak lain.

Ketika rakan-rakan sebaya seronok bermain, dia hanya mampu melihat dari atas kediamannya yang terletak di tingkat enam Pangsapuri Impian Meru, sambil meluahkan rasa sedihnya kepada bapa kesayangan, Mohd. Nor Hafiz Abd Aziz, 33.

Bagi ibu dan bapa Arif, sudah kering air mata menangisi takdir yang menimpa anak sulung mereka, namun harapan tidak pernah surut walau sejengkal untuk melihat anak itu sembuh seperti sediakala.

Keadaan mata kiri Mohamad Ariffudin Mohd. Nor Hafiz yang tersembul
Keadaan mata kiri Mohamad Ariffudin Mohd. Nor Hafiz  yang tersembul akibat kanser sarcoma yang dihidapi.

Dilahirkan sebagai anak normal, Arif hanya menunjukkan simptom pening kepala dan mata kabur pada Januari lalu sebelum disahkan menghidap kanser sarcoma, yang semakin ketara apabila bebola matanya mulai tersembul keluar sejak beberapa bulan lalu.

“Pada mulanya saya ingat dia hanya rabun biasa, saya bawa dia ke kedai cermin mata. Apabila diperiksa, rabunnya sudah mencecah 300. Optometris meminta saya merujuk Arif ke klinik kerajaan kerana tahap kerabunannya terlalu tinggi untuk usia sebegitu.

“Doktor di klinik kemudiannya meminta saya membawa Arif ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana mereka mendapati Arif mempunyai masalah lain. Di sana, dia diminta menjalani prosedur CT scan (pengimbasan tomografi berkomputer) serta MRI (pengimejan resonans magnetik) dan disahkan mempunyai ketumbuhan di bahagian otak kiri yang bertindih dengan saraf mata.

“HTAR tidak mempunyai pakar, jadi kes Arif dirujuk ke bahagian Neurologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Selepas diperiksa oleh pakar, mereka mendapati ketumbuhan tersebut tidak terkena otak tetapi melibatkan bahagian telinga, hidung dan tekak (ENT).

“Arif sepatutnya perlu menjalani pembedahan pada Mei lalu, namun sehari sebelum prosedur dilakukan, doktor menangguhkan kerana biopsi menunjukkan Arif menghidap kanser tisu. Ketumbuhan yang dialami terlalu banyak di bahagian saraf mata.

“Lama-kelamaannya matanya mulai tersembul keluar. Semua saraf di bahagian ENT kiri terjejas, pipi semakin membengkak dan mata di bahagian kanan juga terjejas.

“Sejak itu, kehidupan kami sekeluarga berubah 360 darjah. Masa yang ada hanya untuk menguruskan Arif demi melihat dia kembali pulih,” kata Mohd. Nor ketika ditemui di kediamannya di Meru, Klang, Selangor baru-baru ini.

-
 

Penurunan berat badan Arif yang mendadak amat merisaukan kedua-dua ibu bapanya. Sebelum ini, berat badan kanak-kanak aktif itu 45 kilogram namun kini menyusut hingga 27 kilogram kerana kesan sampingan rawatan radioterapi.

Arif terpaksa menjalani rawatan radioterapi kerana badannya ‘menolak’ rawatan kemoterapi.

Selepas enam kali menjalani prosedur radioterapi, Arif mula menunjukkan perkembangan positif dan setakat ini dia sudah pun melalui sebanyak 20 sesi.

Apa yang lebih meruntun hati kedua-dua ibu bapanya, Arif sering bertanya bila dia boleh kembali ke sekolah meskipun sudah diberitahu berkali-kali perlu bercuti untuk tempoh yang lama bagi menjalani rawatan.

“Kadangkala dia akan meminta saya membawanya ke sekolah untuk melihat suasana di sana dan mahu pergi ke kantin. Kalau dia sihat, saya akan turuti permintaannya bagi menghilangkan rasa rindu untuk ke sekolah.

“Melihat perubahan Arif, saya dan isteri rasa sangat sedih kerana dulu dia seorang yang aktif. Ada masa kami reda, boleh terima, tapi ada masa juga kami tak boleh terima sebab dia anak kami, kami tak sanggup lagi melihat dia semakin lemah.

“Namun, saya sering ingatkan pada isteri, apa yang jadi sekalipun selepas ini, kalau Allah lebih sayangkan dia, kita kena terima. Tapi kalau Allah masih izinkan untuk kami terus berusaha mencari rawatan alternatif lain, kami akan usahakan. Apa yang berlaku baik buruk, kami serahkan segala-galanya kepada Allah,” katanya yang ditemani isteri, Nor Azlin Mohamad.

Mempunyai tiga orang lagi anak, pasangan itu berulang alik hampir setiap hari ke HKL untuk rawatan Arif.

Justeru, menurut Mohd. Nor, dia tidak mempunyai pilihan lain terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori bagi memberi tumpuan penuh kepada anaknya itu.

KLANG, 14 SEPTEMBER 2017 - Sesi temubual bersama Mohamad Ariffudin,
 

Buat masa ini perbelanjaan mereka sekeluarga dan kos ulang alik ke hospital bergantung kepada sumbangan orang ramai.

Sejak kisah Arif tular di laman sosial beberapa bulan lalu, keluarga tersebut menerima sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin sama ada dalam bentuk wang tunai, barangan mentah, dan keperluan harian.

Selain itu kos rumah sewa ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor.

Mohd. Nor juga menanti bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bantuan boleh dihulurkan ke akaun

  • CIMB Bank  7063363584

          Mohd. Nor Hafiz Abd Aziz