Peranan mereka kian berubah kerana kanak-kanak kini terdedah kepada teknologi yang semakin maju.

Dalam usaha membantu ibu bapa membiasakan diri dengan teknologi yang kerap digunakan oleh generasi muda hari ini, Google Malaysia dengan kerjasama portal dalam talian bagi ibu-ibu urban Malaysia, Makchic menganjurkan sesi perkongsian bagi memastikan kanak-kanak melayari Internet dengan lebih selamat.

Bengkel sehari Google Cafe For Parents itu disertai ibu bapa bersama anak masing-masing berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Ia menekankan penggunaan beberapa aplikasi seperti Google Search, Google Maps, Google Calendar, Google Photos, Google SafeSearch, Google Trusted Contacts dan YouTube Kids.

Menurut Ketua Komunikasi Google Malaysia, Zeffri Yusof, perkongsian itu bertujuan membantu ibu bapa membiasakan diri dengan teknologi, di samping meningkatkan interaksi dan bimbingan harian apabila bersama anak masing-masing.

“Di Google sendiri, kami mempunyai ramai kakitangan yang juga merupakan ibu dan bapa. Oleh itu, kami amat memahami cabaran mereka membiasakan diri dalam teknologi yang sentiasa berubah.

“Bengkel ini amat sesuai dan bermanfaat untuk ibu bapa yang ingin lebih membabitkan diri secara langsung dalam pendidikan anak-anak mereka,” ujarnya ketika ditemui pada sesi Google Cafe For Parents di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, corak kehidupan yang semakin pantas menyebabkan ibu bapa sukar untuk mengikut rentak hidup anak-anak mereka.

Bagaimanapun, Google mempunyai jalan penyelesaian bagi memudahkan pengurusan jadual keluarga.

Misalnya, penggunaan Google Calendar yang amat praktikal bagi menetapkan peringatan untuk aktiviti harian anak-anak atau tarikh-tarikh penting seperti sambutan hari jadi, acara sekolah, termasuk mencari masa untuk menguruskan kerja rutin seperti membeli belah dan mencuci pakaian.

“Malah menerusi ciri-ciri baharu Google Maps, perkongsian lokasi (location sharing) ini membolehkan ibu bapa mengesan lokasi anak dengan mudah dan amat berguna terutama ketika berlaku kes kecemasan.

“Jika anak menaiki pengangkutan yang salah ketika pulang dari sekolah dan tidak pasti bagaimana mahu balik ke rumah, ibu bapa juga boleh mengesannya melalui aplikasi perkongsian lokasi ini,” kata Zeffri.

Selain itu, untuk memastikan ibu bapa tidak kehilangan semua detik berharga bersama anak-anak mereka yang dirakam menggunakan kamera telefon pintar, aplikasi Google Photos boleh menyimpan dan mengatur foto dan video secara automatik.

Aplikasi ini juga membolehkan ibu bapa mencipta kolaj dan video untuk perkongsian mudah.

Keupayaan Google Search yang lebih meluas juga turut ditunjukkan kepada ibu bapa yang ingin mencari bahan-bahan rujukan yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak mereka.

Pastinya penyertaan dalam Google Cafe For Parents ini telah memberikan penemuan baharu kepada ibu bapa untuk membantu anak-anak belajar dan pada masa sama mempelajari tip-tip menggunakan aplikasi dengan lebih berkesan dan kreatif.

Aplikasi Safe Search pula dapat membantu anak-anak melayari Internet dengan lebih selamat selain memudahkan aktiviti dan pendidikan harian.

Perkongsian langkah-langkah keselamatan yang efektif serta mudah seperti menggunakan skrin kunci keselamatan dan menghidupkan pengesahan bagi perkhidmatan Google turut menyedarkan ibu bapa mengenai kepentingan menjaga maklumat dalam talian dengan selamat.

Untuk ini ibu bapa tidak ketinggalan mempelajari tip-tip asas keselamatan dalam talian, seperti mencipta kata laluan yang selamat serta memeriksa maklumat yang dikongsi dalam talian.