Namun perancangan manusia tidak sama dengan perancangan Allah biarpun betapa gigihnya kita menjaga hubungan itu, jika ditakdirkan Allah akan berkongsi kasih, maka terjadilah ia.

Ada wanita menerima poli­gami sebagai positif dan ba­nyak juga memandangnya secara negatif yang mana kesudahannya membawa bencana dalam rumah tangga.

Dalam hubungan ini, sikap memainkan peranan, bak kata seorang teman yang hidup bermadu, kalau sudah merampas hak orang, duduk diam-diam…. Jangan nak tunjuk pandai dan tamak.

“Nampak keras dan panas, tetapi itulah kebenarannya,” kata Amira (bukan nama sebenar) kepada saya. Hendak tahu cerita lanjut, jom kita baca cerita Amira sepenuhnya.

“Saya seorang pesara kerajaan, berusia lewat 50-an, sudah bersara dan mempunyai lima orang anak dan sembilan cucu. Suami seorang pegawai di sebuah syarikat yang terkenal di ibu kota.

“Orangnya masih tampan, bergaya dan terkenal. Tak hairanlah ramai wanita yang terkejar-kejar. Lima tahun lalu, saya dimadu. Pahit dan sedih terkenangkan saat itu bila saya dapat tahu terpaksa berkongsi suami dengan wanita lain.

“Hancur hati, perasaan terguris dan rasa hormat kepada suami terus hilang. Saya rasa jiwa kosong. Kering air mata menge­nangkan sikap suami. Tercari-cari juga apa kesalahan saya, apa kurangnya saya sampai suami cari lain?.

“Berbulan-bulan saya mengambil masa untuk muhasabah diri, belajar menerima kenya­taan yang suami bukan lagi milik saya seorang. Dia ada satu lagi hati yang perlu dijaga.

“Anak-anak memberi soko­ngan walaupun marah dengan ayah mereka. Saya katakan kepada mereka, ini masalah saya de­ngan ayah mereka, bukan masalah mereka, jadi jangan benci ayah.

“Keadaan pulih setelah setahun lebih. Suami buat giliran yang betul. Tidak lepaskan tangggungjawabnya kepada saya dan anak-anak walaupun saya ada kerja dan anak-anak sudah boleh berdikari. Tetapi saya mengambil jalan mendiamkan diri, kurang bercakap dan tidak ambil tahu akan hal yang seorang lagi. Itu yang terbaik buat saya.

“Tetapi apabila kita terlalu baik, yang sebelah sana akan mengambil kesempatan. Me­ngadanya lebih, menuntut itu ini. Nak ke sana sini, macam dia seorang sahaja yang ada suami.

“Pada hal, dia tahu yang suami dia itu hak kita juga. Kita yang dapat dahulu, tapi dia pula yang hendak kawal. Tak cukup dengan gilirannya, dia kejar pula suami di rumah dan di tempat kerja.

“Banyak pula syarat yang dikenakan, kalau nak balik rumah saya kena singgah rumah dia dahulu, makan. Malam baharu boleh balik ke rumah saya, itupun sudah lewat malam.

“Apa maknanya berpoligami kalau macam itulah caranya. Yang suami pula ikut sahaja kehendak isteri mudanya itu, konon sebab sayang, habis yang kita dah hidup dengan dia berpuluh tahun ini macam mana?.

“Sebagai suami, takkan tidak ingat perasaan isteri pertama, pengorbanan dan kepayahan yang dilalui dengan isteri tua sebelum dapat pucuk muda. Tergamak mainkan perasaan isteri tua semata-mata nak jaga hati isteri muda.

“Balik rumah kita macam ca­cing kepanasan, menggeletek hendak keluar rumah. Tambah-tambah lagi apabila telefon de­ring-dering macam bursa saham. Macam-macam bagi alasan nak keluar.

“Kadang-kadang malu dengan anak menantu tengok perangai ayah macam itu. Macam orang muda bercinta. Bergayut dengan telefon, layan WhatsApp. Terse­nyum seorang, berkurung dalam bilik.

“Bertuah madu saya, suami sayang sampai begitu sekali berbanding saya dahulu, kena ambil hati suami untuk dapat perhatian walau perkahwinan kami atas dasar cinta.

“Bagaimanapun saya tidak ambil kisah dengan sikap suami, saya sudah reda dan menerima takdir saya. Di penghujung usia begini, saya tidak kisah lagi de­ngan apa suami hendak buat.

“Saya tidak mahu bebankan fikiran dengan hal suami tak balik rumah sebab layan isteri muda. Saya sudah puas hidup bersamanya. Sudah merasa susah senang dengan dia.

“Tetapi saya pelik dengan wanita sekarang, sudahlah ambil suami orang, mengada-ngada pula hendak perhatian. Tak jaga adab, tak jaga maruah diri. Tak sedar yang suami itu sudah ma­suk umur 60-an. Sepatutnya berulang-alik ke masjid dan surau.

“Patutnya duduk diam-diam. Hormat hak isteri pertama. Ikut giliran seperti dalam sunah. Hormat suami dan pandai bawa diri. Ini tidak, dia pula yang melebih daripada kita.

“Saya tabik isteri kedua yang pandai bawa diri. Hormatkan isteri tua. Kepada wanita yang berstatus isteri kedua, ketiga atau keempat tetapi tak sedar diri, nasihat saya tolong kawal diri. Faham batasan anda dalam hidup bermadu.

“Buat cara orang berpoligami. Jangan tamak dan pentingkan diri sendiri. Bukankah lebih baik jika sepakat, saling hormat menghormati, semuanya akan menjadi baik-baik belaka. Kenapa tidak boleh hidup bermadu dalam rukun damai.

“Tentang diri saya, insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk diri saya. Fokus saya sekarang kepada amal ibadah sebagai bekalan dibawa pulang ke sana. Yang lain, terserah kepada Allah,” kata Amira menutup cerita.

Saya bangga dengan sikap positif Amira. Ikhlas dan tenang dia menangani masalah rumah tangganya. Walaupun agak keras tetapi saya tahu niat Amira baik.

Wanita di luar sana ambil iktibar dengan apa yang dialami oleh Amira. Memang benar, jodoh, maut dan pertemuan di tangan Allah tetapi sebagai manusia kita boleh berfikir dengan bijak untuk memilih yang terbaik dalam kehidupan.

Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, satu-satunya jalan untuk dihargai adalah dengan menghormati hak orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Selain jaga hati kita, hati orang pun kena jaga.

Salam.