“Tetapi adik saya tak peduli, katanya sementara  ada orang sukakan dia apa salahnya dia kahwin. Kalau tak mampu, kita mesti bantu. Demi masa depan rumah tangga kita juga,” itu cerita Intan Hasyira Tanya tentang KSIT dan ketika kami berbual baru-baru ini.

“Saya nasihatkan adik jangan bantu teman lelakinya jika duit hantaran tak cukup. Biar dia usaha sendiri sampai cukup baru masuk meminang. 

“Tujuan saya supaya si lelaki itu ada sifat bertanggungjawab kerana berkahwin bukan mudah, kalau dari awal tak ada sifat mahu bertanggungjawab maka sudah tentu si suami akan ambil kesempatan atas isterinya supaya sentiasa dibantu setiap kali dia tak ada duit. Dan suami ini pasti tidak akan mahu berusaha atasi masalahnya, sebab dia tahu ada isteri akan bantu dia. Itu tujuan saya.

“Tetapi nasihat saya disalah ertikan oleh keluarga. Sedara mara  kata saya nak halang adik kahwin, sebab saya tak kahwin lagi. Mak pula kata dia tak mahu simpan dua orang andartu. Malu. Adik pulak kata saya marah dia nak kahwin sebab malu kena ‘langkah bendul’. Lagi sakit hati bila adik kata akan bagi saya cincin berlian selain hadiah sepersalinan dari bakal tunangnya.

“Dari awal saya dah kata, saya tak dengki, kalau dia ada jodoh kahwinlah. Saya tak kisah kalau kena langkah bendul pun, sebab dua adik lelaki bawah saya pun dah kahwin saya tak marah dan saya tak kisah pun. Saya tak malupun kalau ada orang kata saya anak dara tua.

“ Saya dah cakap pada adik saya tak mahu hadiah sepersalinan kerana  itu adat, saya tak kisah siapa nak kahwin dulu, kahwinlah. Tetapi hati-hati dan jangan bodohkan diri sebab saya tak mahu adik menyesal kemudian hari.

“Saya tahu dan saya boleh pastikan, kalau teman lelakinya tak mampu bagi duit hantaran RM12,000 maka adik akan pinjam bank untuk top up duit hantaran. Bayangkan? Memang mereka sudah enam tahun berkawan, tapi baru tiga tahun bekerja. Mereka masih muda lagi. Kerana itu si lelaki mesti berjimat cermat atau buat dua kerja untuk kumpul duit.

“Adik tak setuju hantran RM12,000, dia pujuk emak turunkan hantaran RM5,000 sahaja, tetapi emak tak setuju. Emak tetap mahu RM12,000 kata emak bukan tinggi sangat. Sebab emak kata adik bekerja. Nanti bila dah kahwin lelaki itu juga yang senang hidupnya, sebab dapat  isteri bekerja yang akan sentiasa bantu suaminya setiap ketika.

“Kata emak orang yang susah payah besarkan anak, sekolah dan beri makan pakai adalah ibu bapa. Tetapi bila si anak perempuan itu dah kahwin dia tak dapat bantu emaknya lagi, sebab si suami tegah dan kata, anak perempuan tak perlu bantu ibu bapa lagi.

Inilah yang biasa berlaku. Saya setuju. Tetapi adik desak supaya turun RM5,000 saja, jika tidak adik terpaksa pinjam bank untuk top-up hantaran, emak terdiam.

“Kerana tak mahu adik meminjam, emak terpaksa terima RM5,000 sahaja, walaupun depan majlis diumumkan hantaan tetap RM12,000. Supaya emak tak malu dengan hantaran serendah itu.

“Saya tak setuju adik meminjam sebab saya tak mahu jadi seperti kawan baik yang juga sepupu saya, Aini. Masa Aini nak kahwin dulu pun dia terpaksa pinjam bank untuk top-up hantaran. Bila dah kahwin tentulah kena bayar hutang. Suami pulak jenis ego, tak mahu tolong bayar hutang bank. Dia salahkah emak Aini mahukan hantaran tinggi, jadi Ainilah kena tanggung bukan dia. Katanya kalau terima RM5,000 dulu tentu tak payah pinjam bank. Dia lepas tangan.

“Selepas tiga tahun dan dapat seorang anak baru pinjaman selesai. Kerana pinjaman punya pasal hasrat Aini nak beli kereta sendiri tak kesampaian. Namun akhirnya Aini dapat juga beli kereta sebab masalah tempat kerja jauh dan susah nak hantar anak kepada pengasuh.

“Masalah beli kereta pulak jadi isu besar, sebab suamiya suruh Aini bantu dia beli kereta baru. Tapi Aini nak beli kereta sendiri. Jadi kerana hasrat tak sampai dia buat hidup Aini serba salah dan serba tak kena walaupun selepas dapat dua anak. Mereka sering berselisih faham, tak ada kedamaian, sebab suami Aini ego dan sentiasa tuduh Aini engkar pada suami.

Kecewa

“Apa yang Aini tak tahan suaminya suka sangat pinjam duit dia, kalau tak dapat dia sanggup buka dompet Aini cari duit. Malah Aini pernah dihalau keluar rumah sebab tak bagi duit. Saya tahu sangat masalah mereka, sebab Aini hanya percaya saya untuk bercerita. Saya nasihatkan Aini jangan bagi suami pinjam duit, kalau sekali dah mulakan, maka dia akan minta selalu. Tetapi biasalah bila tak dapat duit suaminya mengamuk paling menyakitkan hati dia tuduh Aini isteri derhaka sebab marah Aini rapat dengan emaknya.  

“Suami Aini memang tak bertanggungjawab, semua urusan rumah, makan minum dia serah pada Aini. Sewa rumah dan bil letrik pun dia lepas tangan. Dia cuma bayar ansuran keretanya sendiri selain beli petrol pakaian dan makan minumnya di pejabat .

“Kata Aini dia tak sangka suaminya boleh lepas tangan, sedangkan sebelum kahwin dia sanggup buat apa sahaja untuk Aini. Kerana tak tahan dengan perangai suaminya, mereka sering bertengkar dan akhirnya suami halau Aini keluar rumah. Suaminya marah jika Aini beri duit pada emak ayahnya. Katanya, perempuan bila dah kahwin kena dengar cakap suami, tak boleh ikut cakap mak bapak lagi, apa lagi nak tanggung makan minum mereka.

“Aini menangis bila ceritakan masalahnya. Ini kerana dia rasa sedih bila suaminya sekat hasratnya hendak beri emak ayahnya duit setiap bulan, sebagai membalas jasa mereka semasa  masih hidup lagi. Katanya kalau dia bagi pun bukan lama sebab mereka dah tua.

“Benar emak ayah tanggung anak dari kecil sampai besar itu tanggungjawab mereka. Tetapi apa balasan anak-anak kepada emak ayah? Kata Aini suami tak izinkan Aini bagi duit pada emak ayahnya.  Bila dah kahwin gaji isteri untuk suami dan anak-anak. Sedang suami  tak beri anak isteri makan pakai. Suruh isteri tanggung. Ini yang buat Aini sedih dan kecewa.’’

“Apabila saya sendiri fikirkan berapa sangat hantaran RM10,000 sedangkan si isteri jadi hamba suami sampai mati. Selain dari sediakan makan minum dan melayan nafsunya. Disamping itu isteri juga disuruh bantu suami apabila mereka hendak beli rumah, perabut, kereta, perbelanjaan besarkan anak-anak dan sebagainya. Suami tak buat sendiri, sebab dia tahu isterinya boleh bantu sebab bekerja dan ketika itu suami akan kata harta isteri milik bersama.

“Pada pandangan saya sementara emak ayah masih hidup izinkan anak berbakti balas jasa ibu bapa yang besarkan dia sehingga dewasa, berpelajaran, bekerja dan berhasil, bukan untuk selamanya, hanya sementara orang tuanya masih hidup. Sedangkan si isteri ini akan berbakti kepada suaminya mungkin selama 40 atau 50 tahun akan datang selagi ada jodoh dan selagi ada hayatnya.

“Memang betul  bukan tugas wanita tanggung ibu bapanya. Tetapi sebagai anak salahkah  membalas budi orang tuanya? 

“Jangan bandingkan hidup wanita sekarang dengan wanita zaman dahulu, wanita dulu tak bekerja, memang dia tak dapat bantu ibu bapanya, selain ucapan terima kasih kerana besarkan mereka dan mencarikan suami untuknya. Berbanding wanita sekarang, mereka bekerja sama-sama mencari rezeki malah lebih banyak bantu suami uruskan keluarga. Ini yang buat saya tak faham perangai suami Aini, sudahlah duit gaji Aini dia minta, tetapi tugas hakiki dia beri makan pakai anak isteri dia abaikan.

“Kata Aini kini dia lebih menderita kaki dan tangannya terikat sukar hendak tinggalkan suami apa lagi minta cerai. Sebab suaminya suruh dia buat pinjaman peribadi untuk bantu buat tambahan rumah emaknya di kampung yang memakan belanja RM30,000.

“Saya terkejut bila Aini beritahu, tapi kata Aini dia dipaksa buat pinjaman tersebut kerana suaminya sentiasa mendakwa dia membazirkan duit bantu orang lain. Jadi daripada orang lain senang, lebih baik bantu dia. Tujuannya bila duit semakin kurang maka Aini tak dapat bantu emaknya sendiri. Saya sedar emak Aini yang juga ibu saudara saya bukan orang senang, biasanya dengan bantuan Ainilah dia dapat hidup selesa.      

“Melihat masalah Aini inilah membuatkan saya nasihatkan adik supaya jangan beri pinjam pada bakal tunang, sebab saya tak mahu dia mengalami masalah sama setelah berkahwin. Tetapi adik degil dia tetap dengan kehendaknya.

“Sebenarnya saya ingin beri contoh masalah Aini supaya adik sedar kesilapannya, tetapi saya tak boleh buka rahsia Aini. Itu janji saya pada Aini. Bukan saya tak mahu kahwin, tetapi bila memikirkan masalah yang Aini lalui membuat hati tak teringin nak berkahwin.

“ Saya lebih rela belanjakan duit gaji  kepada emak ayah saya daripada senangkan orang lain. Saya tak rela. Kalau saya tak kahwin ke, tak ada anak ke. Pada saya itu tak jadi masalah, asalkan boleh senangkan hidup emak ayah.

“Saya mahu berjasa kepada emak dan ayah selagi mereka masih hidup, selepas ketiadaan mereka nanti saya tidak akan menyesal. Dan mungkin dengan sedikit duit yang ada saya boleh terhibur dan mencari keredaan Allah. Pada saya ini adalah pilihan saya dan saya sentiasa berdoa Allah akan kabulkan niat suci saya itu.’’ Itu cerita Intan Hasyira mengapa dia lebih suka berbakti kepada emak ayahnya daripada berkahwin.