Anaknya yang sulung kini berusia 20 tahun manakala yang lain semuanya selang setahun. Hidupnya sedikit senang, maklumlah umur baru menjangkau 35 tahun, semua anaknya sudah besar. Kalau jalan bersama, dah macam adik-beradik. Inilah bertuahnya jika kahwin muda.

Tetapi, siapa sangka dalam meniti kebahagiaan berumah tangga, tiba-tiba mendung datang bertandang. Zairi menyangka ibunya telah melupakan hasratnya, tetapi kunjungan ibunya ke rumah baru-baru ini menjadikan perbualan dua beranak itu sedikit tegang. Zairi sama sekali tidak menyangka ibunya sanggup bertindak sedemikian.

Aisyah yang hanya mendengar perbualan suami dan ibu mertuanya melalui celah pintu biliknya tidak mampu menahan sebak. Air matanya deras mengalir, hatinya remuk. Sampai hati ibu mertuanya mahu menghancurkan kebahagiaan rumah tangga yang dibina selama ini.

Ya, perkahwinan Aisyah dan Zairi sememangnya tidak mendapat restu daripada ibu Zairi. Katanya, dia telah ada calon menantu dan Aisyah dianggap sebagai perosak rancangannya.

Tetapi demi cinta Zairi kepada Aisyah, perkahwinan tetap dilangsungkan di rumah Aisyah tanpa kehadiran ahli keluarga Zairi. Zairi reda dengan apa yang berlaku dan baginya, ini soal jodoh yang telah ditentukan Allah.

Bukan tiada usaha untuk memujuk ibu Zairi, malah mereka kerap pulang ke kampung dengan harapan ibu Zairi menerima mereka.

Namun setiap kali mereka pulang, hanya kata-kata sinis, cercaan dan makian yang diperoleh. Zairi memujuk Aisyah supaya bersabar dan mengharapkan ibunya berubah.

Namun apa yang diharapkan tidak berlaku. Sikap degil ibunya tidak berubah. Dan kedatangannya ke rumah Zairi, sekali lagi mendesak Zairi berkahwin dengan pilihan hatinya. Kata dua diberikan, berkahwin atau jangan panggil dia ibu buat selama-lamanya.

Zairi terkedu kerana sama sekali tidak menyangka ibunya begitu nekad. Kepada Aisyah diluahkan segala-galanya. Dan ini kata putus yang diberikan oleh Aisyah, “Lepaskan saya dan anak-anak. Turutkan kata ibumu”. Aisyah tidak mahu dimadukan. Diluahkan mati emak, ditelan mati bapa.

PANDANGAN KAUNSELOR

Sadis dan tragis! Tiada siapa sangka dalam dunia moden hari ini, hal ini masih berlaku. Dilema seorang anak pastinya sukar dalam membuat keputusan. Mungkinkah Zairi akan meremukkan hati si ibu buat kali kedua apabila enggan menuruti apa yang diperintahkan?

Namun dalam masa yang sama, hati isteri perlu dijaga. Berkongsi hidup suka, duka dan mentaatinya sebagai suami serta ketua keluarga, apa lagi alasan yang membolehkannya menceraikan isterinya.

Antara ibu dan isteri, kedua-duanya insan penting dalam hidup Zairi. Sekalipun ibu perlu diutamakan dalam segala hal, apakah kewajaran baginya ‘memusnahkan’ rumah tangga yang dibina?

Sebagai isteri, Aisyah tidak mampu melihat suaminya tertekan lantas mohon diceraikan. Bagi Aisyah, Zairi telah melaksanakan impiannya untuk menjadi isteri kepada Zairi. Dan kini, Zairi perlu memenuhi impian ibunya sekalipun hatinya terluka.

Namun sebagai suami dan ketua keluarga, Zairi tidak sanggup menceraikan Aisyah dan berpisah dengan anak-anaknya.

Sukar. Bukan mudah untuk membuat keputusan. Yang pasti dalam hal ini, Zairi harus berbincang dengan ibunya sekalipun dia tahu, tiada lagi pintu rundingan dibuka. Jalan terbaik, carilah orang yang paling rapat dengan ibunya sebagai orang tengah.

Biarlah keputusan diambil ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tidak berselerak. Selain itu, si ayah mungkin boleh berperanan. Sebagai ketua keluarga, dia juga bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian.

Cubalah sedaya upaya yang boleh agar keadaan tegang dapat dijernihkan. Kalau ada orang yang disegani ibunya atau orang rapat dengannya, berundinglah dengannya supaya dapat menjadi orang tengah dalam hal ini.

Apa pun meruntuhkan rumah tangga dibina bukan tuntutan Islam.

Zairi mempunyai tanggungjawab ke atas isteri dan anak-anaknya, bahkan dia juga punya tanggungjawab terhadap ibunya. Tetapi apa pun keadaannya, sekalipun terpaksa menolak permintaan si ibu, jangan sesekali mengangkat suara.

Ibnu Taimiyah ketika ditanya persoalan daripada seorang lelaki yang diminta oleh ibu bapanya agar menceraikan isterinya kerana tidak suka kepada menantunya, beliau menjawab:

“ Tidak halal bagi lelaki tersebut menceraikan isterinya disebabkan arahan ibunya. Namun hendaklah dia tetap berbuat baik dengan ibunya itu, dan bukanlah menceraikan isterinya (kerana patuh arahan ibunya) termasuk dalam berbuat baik kepada ibunya.” (al-Fatawaal-Kubra 3/331)

Sementara itu dalam satu peristiwa, Imam Ahmad pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang persoalan yang sama. Lelaki itu berkata:

“Bapaku mengarahkan aku menceraikan isteriku.” Jawab Imam Ahmad kepada lelaki tersebut: “Jangan menceraikan isterimu itu.” Kata lelaki tadi: “Bukankah Nabi SAW pernah mengarahkan Ibn Umar menceraikan isterinya, sebagai mentaati perintah bapanya Umar?” jawab Imam Ahmad: “Apakah bapamu, sama seperti Umar?”