Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Aneh, sudah bercerai tapi isteri hamil

Aneh, sudah bercerai tapi isteri hamil

“TUJUAN saya melahirkan isi hati di ruangan ini, semata-mata untuk beri pandangan bukan hendak menghina sesiapa, apatah lagi kepada bekas suami dan bekas keluarga mertua saya, tetapi ingin menasihati kaum wanita sejenis saya supaya jangan ikut seperti apa yang telah saya lakukan, kerana akhirnya diri sendiri jadi korban.

“Namun saya tak kata semua lelaki sama seperti bekas suami saya Joe, namun kita tidak perlu ambil mudah dan meletakkan semua harapan dan masa depan kita kepada mereka. Kerana walaupun kita ini semuanya beragama Islam, tetapi adat dan budaya kita masih kuat menguasai kehidupan kita, hingga ramai para suami terlupa dengan tanggungjawab mereka kepada anak isteri.’’. Itu kata-kata pembukaan Norfadliyatun ketika berbual dengan penulis selepas bertanyakan tentang aktiviti Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT)

Sebagai wanita dan isteri tidak pernah terlintas difikiran saya, satu hari nanti saya akan diceraikan, kerana saya amat mencintainya, begitu juga dia, dan kami berjanji sehidup semati. Pendek kata sepanjang perkenalan kami dulu, tidak ada satu pun masalah yang timbul, semuanya baik. Dan kami berdua disambut baik oleh ibu bapa masing-masing.

“Tetapi sapa sangka rancangan kami atur dan susun dengan sempurna yang kami kira cukup baik, mengikut perkiraan kami tetapi tidak jadi kenyataan, kerana kami terlupa ada perancang lebih baik di atas sana yang telah menyusun hidup kita. Begitulah bodohnya saya terlalu yakin dan percaya dengan perancangan Joe.

“Awal perkahwinan hinggalah mempunyai dua orang anak, hidup kami memang berjalan dengan sempurna walaupun ada sedikit cacat celanya di sana sini, tetapi kami berusaha mengubahnya dengan harapan keadaan menjadi lebih baik.

“Oleh kerana kami berdua bekerja dan anak-anak masih kecil memang sering merunsingkan. Tambahan saya bekerja tidak tentu masa, bukan waktu pejabat. Joe juga demikian, ada kalanya beberapa minggu tidak ada di rumah kerana tugas.

“Kami faham masalah masing-masing, tetapi ada ketikanya bila badan terlalu letih dan saya perlukan rehat yang cukup, tetapi saya tidak mendapatnya, kerana dikelilingi anak-anak. Kerana itu ada ketikanya saya naik angin, maklum saya manusia bukan malaikat.

“Oleh kerana masalah pengasuh pulak cuma menjaga pada siang hari, tentulah keadaan lebih menyulitkan. Keluarga pula tinggal berjauhan, tentulah saya tidak dapat bantuan mereka. Jadi Joe suruh saya berhenti kerja. Katanya dia boleh tanggung makan minum kami anak beranak dengan pendapatannya. Saya tak perlu risau.

“Mulanya memang berat hati hendak berhenti kerja, maklum gaji pun baik, dan saya ada diploma dan terlatih dalam bidang saya. Tetapi demi mengikut perintah suami dan jaminannya mampu tanggung kami anak beranak, maka saya setuju. Lagi pun Joe beritahu dia dan kawan buat bisnes, mungkin pendapatannya lebih baik lagi.

“Tetapi saya tak setuju Joe berhenti kerja, maklum dia kakitangan kerajaan ada pangkat. Tetapi Joe beritahu pendapatannya akan bertambah dua kali ganda. Kerana yakin dengan jaminannya, saya patuh, walaupun dalam hati berkata-kata takut Joe kandas sebab dia bukan orang bisnes. Sebaliknya saya yakin dia bekerja dalam perkhidmatan kerajaan. Saya bukan gilakan pangkat dan uniformnya, tetapi dalam bisnes Joe tak ada pengalaman.

“Untuk beberapa bulan pertama memang nampak ok, walaupun bisnes belum begitu teguh, tetapi kami ada simpanan, jadi bolehlah guna buat sementara. Tetapi kalau dah setengah tahun masih tak nampak hasil, terkedu jugak! Maklum anak-anak nak makan dan susu, sedangkan duit semakin habis dalam bank.

“Habis simpanan Joe, duit saya juga jadi korban. Barang kemas lebur ke pajak gadai. Ketika itu keadaan mula tidak memehak kepada kami, perselisihan faham sering berlaku semuanya kerana duit dan tak cukup makan. Bila saya risau Joe suruh sabar.

“Oleh kerana bukan lagi kakitangan kerajaan, kami keluar dari rumah kerajaan, menyewa. Keperitan semakin tenat. Semakin hari semakin teruk. Hati semakin runsing, Joe bila buat bisnes tak duduk dengan kami dia pindah ke tempat bisnesnya. Jadi dia tidak faham masalah kami. Dia balik sebulan sekali untuk bertanya khabar dan hulurkan duit tak seberapa.

Menumpang

“Kekesalan mula mengbentak hati saya. Rasa menyesal berhenti kerja sentiasa menghantui jiwa. Saya juga kesal Joe berhenti kerja. Kerana itu saya sering salahkan Joe buat bisnes. Untuk mengelakkan leteran saya Joe tambah jarang balik, keadaan di rumah semakin menyeksakan semuanya kerana tak ada duit. Kemudian Joe suruh saya duduk menumpang rumah sepupu saya. Joe janji tumpangkan saya untuk dua bulan sahaja.

“Dua bulan sudah berlalu, berapa lama lagi saya anak beranak nak menumpang rumah orang. Kerana kehadiran kami membawa masalah kepada keluarga sepupu, saya terpaksa buat keputusan balik duduk rumah ayah. Kerana tak ada duit, ayah datang ambil kami.

“Nak jadikan cerita sepanjang duduk rumah sepupu, Joe semakin susah dihubungi, memanjang telefonnya berada luar kawasan. Sakitnya hati. Selepas sebulan duduk rumah ayah baru Joe balik mencari kami. Kerana sakit hati ditinggalkan dalam kesusahan, tak ada makan dan hutang sewa rumah berbulan tak berbayar pastilah kami bertengkar.

“Joe sentiasa suruh saya bersabar, Joe berjanji kepada ayah saya akan bawa saya tinggal bersamanya. Tapi janji tinggal janji, lepas kembali ke tempat kerjanya Joe buat perangai lama tak dapat dihubungi. Saya minta alamat tempat kerjanya dia tak bagi, bosnya juga saya tak tahu. Yang saya tahu cuma nombor telefonnya. Kalau dia tutup telefon, maka terputuskan hubungan kami.

“Joe balik jumpa kami dua bulan sekali untuk dua atau tiga hari. Kemudian hilang lagi. Nak jadikan cerita dalam pada bertengkar dan bergaduh, saya mengandung lagi anak ketiga. Ketika saya beritahu berita itu, Joe tidak gembira, dia suruh saya gugurkan kandungan, katanya bisnesnya belum mantap macam mana nak tanggung anak lagi.

“Tetapi saya tak berani, sebab kesihatan saya memang tak mengizinkan setiap kali saya mengandung. Saya sering diserang pelbagai penyakit. Saya takut kesihatan saya terganggu jika saya ikut cakap Joe untuk gugurkan kandungan.

“Ketika hamil Joe semakin jarang balik ke rumah. Lebih teruk setiap kali telefon tak pernah jawab. Pernah saya telefon emak ayahnya di kampungnya bertanyakan di mana Joe. Sebaliknya ibu mertua salahkan saya kerana tak tahu jaga suami.

“Nak jaga macam mana Joe suruh saya balik ke rumah ayah kerana dia tak mampu bayar sewa rumah dan beri kami makan. Lebih pelik setelah bekerja Joe masih kata tak ada duit untuk sara kami anak beranak. Cukupkah beri saya RM300 sebulan sedangkan saya ada dua orang anak dan akan melahirkan anak tak lama lagi. Macam mana bil hospital dan perubatan saya?

“Nak jadikan cerita awal tahun satu 2016 saya terima surat panggilan Mahkamah Syariah untuk sahkan perceraian. Terkejut beruk saya. Cerai? Itu surat panggilan kedua yang memberitahu saya sudah diceraikan pada awal tahun 2015. Setahun lamanya baru surat itu sampai ke tangan saya. Naik pitam saya memikirkan macam mana saya diceraikan, sedangkan saya baru lahirkan anak ketiga Disember 2015.

“Apa taraf anak saya ini? Kenapa Joe tak beritahu saya sudah diceraikan. “Ketika saya diceraikan dalam diam, Joe tetap balik ke rumah ayah saya dan kami bersama. Sebab itu saya hamil, sedangkan dalam waktu yang saya sudah diceraikan? Apa sudah jadi? Apakah taraf anak saya ini? Tergamak Joe mempermainkan agama untuk kepentingan dirinya sendiri. Kenapa dia tidak beterus terang?

“Patutlah sepanjang tahun 2015 Joe tak bagi nafkah, jarang balik bertemu anak-anak, kalau pun balik tiga bulan sekali. Apakah Joe sudah berkahwin lain? Bermacam persoalan berlegar di kepala saya. Kalau sudah ceraikan saya mengapa dia sanggup meniduri saya lagi?

“Bila dapat surat dari Mahkamah Syariah, saya telefon Joe nak tanya lebih lanjut kedudukan saya. Macam biasa telefon tak dijawab. Ketika saya tiba di Mahkamah Syariah saya berselisih dengan Joe. Dia larikan diri. Bila saya tanya apa dah jadi. Joe beritahu: “Semua dah selesai! Semua dah selesai!. Apa yang selesai, kenapa Joe tak berterus terang pada saya?

“Oleh kerana Joe sukar dihubungi. Saya telefon bertanya mertua saya, untuk dapatkan kepastian. Mertua penuh sindiran beritahu; “kalau dah cerai tu maknanya dah cerailah, apa nak tanya-tanya lagi? Terimalah hakikat!’’ Adik Joe menambah, “katanya saya tak pandai jaga laki sebab tu Joe kahwin lagi? ‘’ Persoalannya macam mana nak jaga suami, kalau suami sentiasa melarikan diri dan tak suka dicari. Salah saya ke?

“Perceriaian buat saya hampir sakit jiwa, menangis tak berhenti, untung emak ayah nasihatkan. Kata mereka kalau saya sakit siapa nak jaga anak-anak. Menangis, fikirkan bendak yang lepas tak berguna lagi, ubah sikap fikirkan masa depan anak-anak dan diri sendiri.

“Berbulan lamanya saya menangis dan menanti Joe, dia tetap tak dapat dihubungi. Nak cari saya tak tahu di mana dia bekerja. Keluarganya tidak beri bantuan. Kini anak yang kecil bertambah besar. Ayahnya tak pernah tengok. Oleh kerana tidak ada nafkah saya terpaksa cari kerja. Rezeki anak-anak agaknya, saya dapat bekerja semula, bersyukur kepada Allah.

“Namun saya tidak akan putus asa untuk cari Joe supaya dia bertanggungjawab atas perbuatannya, saya bercadang jika Joe tidak dapat di hubungi, keluarganya menjadi galang ganti, mereka mesti bertanggungjawab kepada cucu-cucunya untuk dapat nafkah.

“Sebelum mengakhiri cerita ini, saya nasihatkan kaum wanita jangan berhenti kerja setelah berkahwin, kerana jodoh pertemuan ketentuan Allah, belum tentu suami mahu beri nafkah anak-anak ditakdirkan bercerai.

“Jadikan iktibar pengalaman pahit saya ini, nasib tak buta kerana menangis yang sia-sia. Masalah saya terlalu pahit untuk ditelan, demikian nasihat Norfadliyatun panjang lebar.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan