Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Anak tiri fitnah, hina saya

Bukan mudah untuk memenangi hati anak tiri walau sebaik mana sekalipun perlakuan baik seorang wanita yang menjadi pengganti ibu mereka.

Sering kita mendengar kisah ibu tiri mendera anak tiri tetapi bagaimana jika ibu tiri pula yang didera perasaannya oleh anak tiri? Mungkin ramai yang tidak percaya tetapi ia berlaku.

“Keadaan menjadi lebih sedih apabila saya disisihkan anak-anak tiri, malah mereka berusaha memisahkan saya dengan bapa mereka,” demikian pengakuan Siti (bukan nama sebenar) kepada saya dalam e-melnya.

Ingin tahu lebih lanjut, kita ikuti kisah Siti seterusnya.

“Saya berusia 45 tahun, berkahwin dengan suami, seorang duda berusia awal 60-an, mempunyai empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan serta sembilan cucu.

“Suami seorang yang penyayang dan sangat baik. Sejak berkahwin, saya tahu anak-anak tiri tidak suka saya. Mereka bimbang saya akan membolot harta ayah mereka. Mereka cemburu kerana ayah mereka melebihkan saya dalam semua hal setelah kami bernikah.

“Saya tidak menghadapi masalah untuk bergaul dengan mereka kerana saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Malah suami juga memberi jaminan akan menjaga saya sampai ke akhir hayatnya.

“Kami hidup bahagia walaupun saya selalu didera perasaan oleh anak-anak tiri. Mereka bimbang saya akan membolot harta ayah mereka, seorang ahli perniagaan yang dikenali.

“Niat saya bukan ingin merampas kasih sayang ayah mereka, juga bukan kerana harta tetapi kerana inginkan teman hidup. Itu sahaja. Ini perkahwinan pertama saya.

“Di peringkat awal perkahwinan kami, saya tidak nampak mereka membenci saya. Tetapi setelah perkahwinan kami berusia dua tahun, baru saya sedar bahawa kehadiran saya tidak diterima oleh mereka.

“Macam-macam yang mereka lakukan untuk menidakkan hak saya sebagai isteri ayah mereka walaupun suami amat mengambil berat dan sayangkan saya. Mereka pandai berlakon di hadapan ayah mereka, berpura-pura mesra di hadapan ayah mereka, di belakang mengutuk saya yang bukan-bukan.

“Macam-macam cerita buruk tentang saya mereka fitnahkan. Saya pemalas, tidak tahu memasak. Suka bergaya dan menghabiskan duit ringgit ayah mereka. Apa saya buat, semua jadi isu dan tidak senang di hati mereka.

“Ke mana saya pergi dengan ayah mereka juga menjadi masalah. Saya dituduh mengawal ayah mereka, merampas duit ringgitnya sedangkan saya langsung tidak berniat demikian. Salahkah kalau saya pergi makan angin dengan suami?.

“Melihat kami semakin bahagia dan ayah mereka memberi perhatian lebih kepada saya, mereka mula bertanya tentang harta benda yang dimiliki ayah mereka, wang ringgitnya di dalam bank, saham dan lain-lain.

“Akibatnya suami mula marah dan berlaku pergaduhan antara anak-beranak. Mereka tuduh saya hasut suami supaya mendengar cakap saya. Ikut apa saya suruh, pada hal, itu semua tidak benar sama sekali.

“Apa yang saya sedih, saya tidak diberi hak untuk membela diri dan sentiasa menjadi bahan umpat keji mereka empat beradik. Di hadapan ayah mereka pun, mereka berani menghina dan mencaci saya. Oleh kerana selalu membela saya daripada terus didera perasaan oleh anak-anaknya, suami pasti bergaduh dengan anak-anaknya setiap kali mereka berjumpa. Saya sedih melihat keadaan ini dan berharap ia akan segera selesai.

“Saya tidak mahu selamanya menjadi punca hubungan anak-anak dengan ayah mereka dingin. Saya hanya mampu berdoa supaya satu hari nanti anak-anak tiri akan berubah dan menerima saya.

“Saya tidak mahu pun harta ayah mereka, saya hanya hendak menumpang kasih. Saya tahu batas saya sebagai ibu tiri. Saya sedar siapa saya. Tidak sama dengan ibu mereka. Sekurang-kurangnya bagi saya peluang untuk menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

“Setakat ini, saya hanya bertawakal dan bersabar dengan perangai mereka. Saya tahu mereka suka jika saya berpisah dengan ayah mereka kerana mereka tidak ikhlas menerima saya sebagai pengganti ibu mereka.

“Mereka hanya pura-pura baik di hadapan ayah mereka tetapi mengutuk saya di belakang. Saya tidak menyesal menikahi ayah mereka sebab dia seorang suami dan ayah yang baik. Saya bahagia hidup bersamanya.

“Jika mereka terbaca catatan ini, saya ingin mereka tahu bahawa saya ikhlas menerima ayah mereka bukan sebab harta dan wang ringgit. Sebab saya sayang ayah mereka. Saya akan terus hidup bersama ayah mereka sehingga maut memisahkan kami.

“Malah saya juga tidak putus berdoa agar satu hari nanti hubungan saya dengan anak-anak tiri akan menjadi akrab. Mudah-mudahan Allah makbulkan doa saya,” sayu Siti menamatkan ceritanya.

Saya faham perasaan Siti. Besar ujian yang Siti hadapi, tetapi saya percaya, satu hari nanti keadaan akan menjadi baik. Setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, asalkan kita tidak putus berdoa.

Jodoh pertemuan dan maut itu ditentukan oleh Allah. Pastinya ada hikmah tersembunyi di sebalik segala kejadian. Anak-anak tiri mungkin tidak nampak kebaikan Siti kerana masih dibayangi arwah ibu mereka. Teruskan berdoa Siti. Semoga hidup Siti dilindungi dan dirahmati Allah dunia dan akhirat.

Menamatkan catatan, pesanan saya, kadangkala Allah tidak memberi apa yang kita mahu tetapi memberi apa yang kita perlu. Bersyukurlah dengan setiap anugerah yang Allah kurniakan, walaupun sesekali lebih banyak pahit dari manis.

Salam

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan