Bagaimanapun awan gelap mula menyelubungi kehidupan remaja ini ketika menginjak usia 14 tahun.

Gara-gara terseliuh akibat bermain bola sepak di sekolah yang tidak sembuh selama dua bulan akhirnya membawa kepada perkhabaran yang meluluhkan hati bukan sahaja kepada dirinya malah seluruh ahli keluarga.

“Setelah menjalani ujian terperinci, tulang dari bahagian betis hingga ke paha terpaksa dibuang untuk diganti dengan implan, akibat penyakit kanser tulang tahap dua yang dihadapi Muhammad Firdaus yang dapat dikesan ketika itu,” kata ayahnya, Mohd. Nazrul Zainon, 44, ketika ditemui di rumahnya, di No E4-1-8, Pangsapuri Anggerik, Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Mohd. Nazrul mengakui, dengan pendapatannya sebagai operator mesin di sebuah syarikat percetakan dengan isteri yang tidak bekerja, menyebabkan dia terpaksa berhempas pulas mencari RM50,000 bagi pembedahan berkenaan yang perlu disegerakan.

“Bukan sahaja kereta terpaksa dijual, wang simpanan turut habis, tetapi saya bernasib baik kerana keluarga dan rakan-rakan bersama-sama membantu mencukupkan jumlah wang yang diperlukan,” ujarnya.

Namun, ujian datang sekali lagi pada usia 17 tahun, yang mana Muhammad Firdaus terpaksa berhadapan dengan serangan kanser, tetapi kali ini menyerang paru-parunya, tetapi masih bertahan kerana doktor mengesahkan ia hanya sebesar lubang jarum.

Dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu itu, Mohd. Nazrul memberitahu, anak keduanya daripada enam beradik ini tidak mahu membuang masa sebaliknya mencari pelbagai sumber kewangan termasuk menjalankan perniagaan secara dalam talian bagi membantu keluarga mencari duit bagi rawatannya.

Bagaimanapun, ujian lebih besar melanda Muhammad Firdaus sejak bulan Oktober tahun lepas apabila dia menderita batuk selama dua bulan tanpa henti.

“Hasil ujian mengesahkan kanser paru-paru yang dihadapi Muhammad Firdaus sudah pada tahap empat dan perlu menjalankan kemoterapi,” katanya.

Semenjak itu Mohd. Nazrul terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana hatinya tak senang berada di tempat kerja kerana memikirkan keadaan anaknya yang memerlukan pengawasan rapi sepanjang masa.

Dia berkata, akibat kesan kemoterapi menyebabkan Muhammad Firdaus pernah mengalami muntah-muntah sebanyak 50 kali pada satu malam.

“Saya pernah mengurut dadanya selama tiga hari bagi membantu mengurangkan kesakitan sewaktu dia menarik nafas,” katanya.

Muhammad Firdaus turut dijaga oleh emaknya, Haliniza Abdul Halim, 44, dan kakak sulungnya, Nurul Izzaty, 21 secara bergilir-gilir setiap hari.

Mohd. Nazrul berkata, Muhammad Firdaus kini cuma bergantung hidup dengan minum susu jenama Ensure berharga RM80 setin yang mampu bertahan untuk tiga hingga empat hari sahaja.

Muhammad Firdaus juga disuntik dengan morfin setiap empat jam sekali bagi meredakan kesakitan yang dihidapinya.

Bagi membantu pernafasan remaja itu, Mohd. Nazrul berkata, sebuah mesin oksigen disewa dengan harga RM800 untuk kegunaan Muhammad Firdaus selama 24 jam.

“Saya juga menyewa sebuah lagi mesin oksigen dengan harga RM100 sebulan jika bekalan elektrik putus supaya Muhammad Firdaus dapat terus bernafas,” katanya.

Namun katanya, sejak sebulan lalu, Muhammad Firdaus hanya mampu terlantar di atas katil dan tidur dalam keadaan duduk kerana sukar bernafas dan terpaksa dipakaikan lampin pakai buang sepanjang masa bagi kemudahan membuang air.

Memang sukar melihat kesengsaraan anak yang berhadapan dengan ujian berat seperti itu, namun Mohd. Nazrul hanya mampu berdoa dan melakukan apa yang terdaya untuk mengurangkan kesakitan anak itu selagi dia masih bernafas.