“Malah jika ayah mereka enggan memberikan nafkah, mereka masih boleh menuntut dengan membawa kes tuntutan nafkah mereka secara persendirian ke Mahkamah Syariah, tak kira sama ada anak itu lelaki atau perempuan, kerana selagi mereka masih belajar mereka berhak mendapat bantuan nafkah dan pelajaran daripada ayah mereka. Itu menurut Encik Hanifah Seyed Mohammad seorang peguam sivil dan syariah dalam pencerahannya kepada ahli-ahli KSIT dalam perjumpaan kelas khidmat guaman bulanan.

“Sebenarnya si ibu masih boleh membuat tuntutan nafkah untuk anak-anak yang sudah dewasa sama ada mereka masih belajar atau pun tidak kepada bekas suami. Tetapi terdapat sesetengah bekas suami yang enggan memberikan nafkah dengan alasan anak-anak sudah besar dan mereka tidak berhak ditanggung lagi, itu tidak benar.

“Malah jika si anak itu perempuan, si ayah bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak tersebut sehingga si anak itu bekerja. Jika tidak bekerja menjadi tanggungjawab si ayah juga menanggung makan minum, malah memberi pakaian serta keperluan lain kepada anak gadisnya hinggalah si anak tadi berkahwin.

“Selagi anak perempuan itu tidak berkahwin sehingga ada yang memanggilnya sebagai andartu ataupun andalusia, maka menjadi tanggungjawab si ayah tadi terus memberi nafkah kepada anaknya termasuk pakaian dan lain-lain hinggalah anak itu berkahwin.

“Tidak dinafikan ada sesetengah ibu lemah semangat apabila digertak oleh bekas suami, dan mereka mudah putus asa apabila keperluannya mendapatkan nafkah dan bantuan pelajaran untuk anak-anak ditolak bekas suaminya.

“Dalam kes itu, jika si ibu tadi gagal atau malas membuat permohonan kerana diugut atau dibantah bekas suami, maka si anak tadi tak kira perempuan atau lelaki, mereka boleh membuat tuntutan nafkah daripada ayahdan membawa kes ke Mahkamah Syariah seperti dilakukan ibu mereka.

“Malangnya ramai dalam kalangan wanita khususnya ibu-ibu tunggal tidak tahu dan merasa ragu-ragu tentang tuntutan nafkah dan pelajaran kerana sikap si ayah yang enggan menanggung nafkah anak sudah besar.

“Sebenarnya ibu- ibu tunggal masih boleh menuntut nafkah daripada bekas suami masing-masing untuk anak-anak yang sudah besar. Tetapi biasanya, mereka sering patah semangat apabila digertak dan diugut bekas suami jika si ibu membuat tuntutan.

“Apabila ibu-ibu tidak ada kemampuan untuk membiayai pelajaran anak-anak, ramai dalam kalangan mereka terpaksa meminta anak-anak berhenti belajar dan mencari kerja. Ini sepatutnya tidak berlaku. Dengan pendidikan setakat tingkatan lima dan ada sijil SPM, apalah sangat yang dapat dilakukan oleh anak-anak ini untuk menyara hidup mereka.

“Apakah ibu-bapa tidak kesal jika anak-anak mereka tidak berpelajaran tinggi dan terasa sukar untuk meneruskan kehidupan mereka. Sedangkan mereka berkemampuan untuk terus belajar untuk membaiki taraf pendidikannya? Tanya beliau lagi.

“Tidak dinafikan ada antara anak-anak ibu tunggal yang terpaksa mendapatkan pinjaman PTPTN untuk terus melanjutkan pelajaran ke kolej atau ke universiti, tetapi mereka masih tetap perlukan bantuan sara hidup untuk makan minum setiap bulan termasuklah mendapatkan pakaian, kelengkapan dan peralatan bantuan pelajaran seperti komputer dan sebagainya, maka mereka boleh meminta meminta bantuan nafkah kepada ayah masing-masing.

“Tambahan pula sekarang perbelanjaan sara hidup terlalu tinggi, yang memungkinkan ramai antara ibu-ibu tunggal tidak mampu menyara pelajaran anak mereka yang sudah dewasa, akibat terpaksa menanggung anak-anak lain yang masih kecil untuk terus belajar di peringkat menengah dan rendah.

“Memang benar sehingga kini jarang kita dengar anak-anak menuntut nafkah bantuan sara hidup dan pelajaran daripada ayah masing-masing hingga di bawa ke Mahkamah Syariah. Mungkin anak- anak ini dan ibu-ibu tunggal tidak tahu tentang hak mereka. Sebaik- baiknya mereka rajin mencari bukti untuk membuat tuntutan nafkah daripada ayah sehingga berjaya. Kerana itu memang hak mereka sebagai anak dan ayah mestilah bertanggungjawab.

Amanah

“Saya dapati ramai bekas suami enggan dan mengelak daripada beri nafkah kepada bekas isteri walaupun untuk anak-anak. Sebaliknya mereka bukan sahaja tidak mahu memberikan nafkah, malah menghina bekas isteri selain menghilangkan diri hanya kerana enggan beri nafkah.

“Ini menyukarkan bekas isteri membuat tuntutan nafkah. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kepada kita orang Islam yang memahami tanggungjawab sebagai suami dan ayah yang telah diamanahkan oleh Allah,” cerita beliau lagi.

Sementera itu salah sorang ibu tunggal bernama Jalilah memberitahu bekas suaminya lebih rela menggunakan khidmat peguam dan membayar puluhan ribu Ringgit Malaysia, semata-mata untuk mempertahankan dirinya daripada memberi nafkah untuk anak-anaknya sendiri.

“Sepatutnya menjadi tanggungjawab suami menyara hidup anak-anaknya. Dan adalah lebih baik dia menggunakan duit yberjumlah puluhan ribu ringgit untuk membayar khidmat peguam diberikan kepada bekas isteri untuk nafkah anak-anaknya? Di manakah pertimbangan seorang ayah dalam menjalankan tanggungjawab yang diwajibkan ke atasnya untuk memberikan nafkah kepada anak-anaknya. Ini kerana anak-anak adalah amanah Allah. Sedarkan dia bahawa dia akan dituntut di akhirat kerana tidak melaksanakan amanah Allah itu?,” kata Jalilah lagi.

“Saya terpaksa turun naik mahkamah beberapa kali semata-mata untuk mendapatkan nafkah anak-anak, sedangkan bekas suami selalu enggan hadir ke mahkamah kerana enggan memberi nafkah. Saya kira menjadi tanggungjawab hakim mahkamah ataupun Pegawai Sulh dalam memberi nasihat lebih tegas kepada suami yang enggan beri nafkah pada anak-anaknya.

“Tolonglah nasihatkan dan sedarkan diri para suami tentang tanggungjawab mereka yang telah diamanahkan Allah. Malangnya ada sesetengah Pegawai Sulh lebih memihak kepada suami untuk mengurangkan jumlah nafkah yang dituntut oleh isteri. Di mana peranan hakim dan Pegawai Sulh ini dalam menegakkan kebenaran,” kata Jalilah.

Sementara itu menurut pengalaman Ezahani, bekas suaminya tidak mahu beri nafkah anak-anak, sebaliknya bertindak lebih kejam dengan melarikan anak-anak setiap kali saya membuat tuntutan nafkah. Perbuatannya semata-mata untuk mengelak beri nafkah anak kepada saya.

“Lebih menyedihkan bekas suaminya sanggup membuat tuntutan penjagaan anak-anak (hadanah) kerana dia enggan membenarkan saya menjaga anak-anak, kerana masalah pemberian nafkah.

“Setelah berjaya mendapat hak penjagaan anak, dia menyerahkan anak kami dijaga oleh ibunya yang sudah tua di kampung, kerana dia sendiri tidak berkemampuan menjaga anaknya selain isteri barunya juga bekerja.

“Saya berasa pelik bagaimana Mahkamah Syariah boleh memberikan hak penjagaan anak-anak (hadanah) kepada si ayah, sedangkan mahkamah tahu si ayah memang tidak mampu menjaga anak-anaknya, sebaliknya akan menyerahkan pada ibunya yang sudah uzur. Adakah ini adil?

“Siapakah yang lebih berhak menjaga anak-anak? Adakah ibunya sendiri ataupun nenek yang sudah tua di kampung. Atau dijaga oleh ibu tiri yang kita faham sangat banyak permasalahan akan timbul kemudian hari.

“Bekas suami juga enggan beri nafkah anak-anak dengan alasan, saya boleh menjaga anak sendiri jadi mengapa harus dihantar ke rumah pengasuh. Selain mendakwa mengapa harus mengaji pengasuh dengan jumlah bayaran mahal.

“Benar saya boleh jaga anak-anak sendiri, tetapi saya tidak ada banyak masa kerana terpaksa keluar bekerja mencari nafkah untuk diri sendiri. Biasanya nafkah yang suami berikan memang tidak mencukupi. Kadang-kadang tidak ada langsung.

“Tetapi lainlah jika bekas suami menggaji saya untuk menjaga anak-anak. Namun sudah pasti dia enggan beri gaji untuk bekas isterinya. Sebaliknya memaksa saya bantu sama tanggung anak-anak kerana mendakwa ia tanggungjawab bersama. Sebenarnya kebanyakan ayah kini lupa dan tidak tahu tugas sebenar sebagai ayah.

“Memandangkan masalah beri nafkah anak-anak menjadi masalah besar kepada suami, kerana berasa rugi untuk menyara anak-anaknya selepas bercerai, hingga mereka sanggup berbohong, mengelakkan diri daripada hadir ke mahkamah.

Maka saya cadangkan supaya jabatan agama Islam serta Mahkamah Syariah membuat peraturan dan penetapan supaya potongan gaji kepada majikan suami dibuat serta merta sebaik si suami sah menceraikan isterinya.

“ Dengan penetapan ini, ia dapat menyelamatkan ibu-ibu tunggal daripada menggunakan khidmat peguam yang tinggi yurannya untuk menuntut nafkah di Mahkamah Syariah yang biasanya memakan masa bertahun lamanya. Langkah ini juga boleh meringankan lagi tugas Mahkamah Syariah dalam menguruskan kes tuntutan nafkah.

“Kesedaran juga wajib diberikan kepada bekas bekas suami tentang tanggungjawab mereka terhadap anak-anak, walaupun mereka telah bercerai. Perceraian tidak bermakna memutuskan hubungan si ayah atau si ibu dengan anak masing-masing. Anak-anak tetap menjadi tanggungjawab si ayah untuk beri nafkah sementara si ibu memberikan khidmat nasihat, membimbing dan mendidik anak- anak menjadi insan berguna.

“Selagi si ayah tidak diberikan kesedaran tentang tanggungjawab hakiki terhadap anak-anak, maka selagi itulah masalah tuntutan nafkah ini sukar diselesaikan,” itu antara kesimpulan pandangan ibu-bu tunggal yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah dari bekas suami untuk anak-anak.

Adalah diharapkan penetapan undang-undang Mahkamah Syariah dapat diperbaiki dalam masalah pemberian nafkah supaya dapat dilaksanakan lebih sempurna demi kebaikan ummah khususnya anak-anak yang juga pewaris generasi akan datang.