Didiagnos ketika anaknya itu berusia setahun lapan bulan, Dr. Hazlita menjelaskan, segalanya terbongkar apabila Mohammad Dzarif Ahmad Hakimi dijangkiti demam campak dan tidak mahu bercakap sebaik pulih.

Menyedari perubahan yang berlaku kepada anak bongsunya itu, Dr. Hazlita dan suami meminta pihak doktor membuat pemeriksaan lanjut.

Ketika kejadian, Dr. Hazlita dan suami berada di United Kingdom. Sudah menjadi prosedur hospital di sana untuk membuat pemeriksaan berkaitan autisme terlebih dahulu sekiranya ada yang tidak kena dengan kanak-kanak tersebut.

Dalam tempoh itu, Dr. Hazlita tidak hanya duduk diam, dia dan suami mengambil pendekatan mencari maklumat mengenai masalah yang dihidapi anaknya.

Hasil rujukannya mendapati, ciri-ciri autisme ada pada Mohammad Dzarif sejak dari kecil yang tidak disedari Dr. Hazlita dan suami.

“Apa yang berlaku terhadap Dzarif bukan disebabkan kami tidak mengambil kisah mengenai perkembangannya tetapi kami tidak perasan kerana merasakan Dzarif seperti kanak-kanak normal lain.

“Selepas Dzarif didiagnos untuk kali kedua, kami lebih bersikap terbuka menerima keadaannya dan mula terfikir mengenai masa depannya.

“Ini termasuk pendidikan yang seharusnya Dzarif terima sebaik sahaja umurnya mencecah tujuh tahun.

“Pelbagai persoalan timbul seperti bolehkah Dzarif bersekolah di sekolah rendah seperti kanak-kanak normal yang lain?” beritahunya.

Ingin melihat Mohammad Dzarif mendapat pendidikan formal seperti kanak-kanak normal, ibu kepada empat cahaya mata ini mengumpulkan pelbagai maklumat mengenai persekolahan di Malaysia.

Bagaimanapun, Dr. Hazlita kecewa apabila sekolah-sekolah rendah di negara ini tidak dapat menerima Mohammad Dzarif untuk bersekolah seperti kanak-kanak normal.

Begitupun, impian doktor mata ini termakbul apabila Sekolah Antarabangsa Taylor, Kuala Lumpur, menerima anak-anak autisme belajar di situ.

Hari ini, setelah dua tahun menjalani kehidupan sebagai pelajar biasa di sekolah tersebut, Mohammad Dzarif membuktikan kanak-kanak autisme boleh pulih, walaupun mungkin mereka berhadapan masalah untuk bersosial dengan orang lain.

Kata Dr. Hazlita, dalam hal ini, ibu bapa serta masyarakat perlu memberi peluang kepada kanak-kanak ini kerana masih ada harapan untuk mereka, sekiranya keluarga dan guru yang terlibat secara langsung memberikan komitmen sepenuhnya.

Tambahnya, sindrom kanak-kanak autisme mempunyai tahap-tahap tertentu dan tidak semuanya sama.

Begitu juga dengan Mohammad Dzarif, yang dahulunya dikategorikan pada tahap sederhana dengan kelakuan yang sukar dijangka, tetapi setelah diberikan pendidikan awal dan terapi berterusan di Early Autism Project (EAP), kanak-kanak ini sudah pulih daripada masalah tersebut dan kini dikategorikan pada tahap rendah.

Dihantar ke EAP seawal usia tiga tahun, hari ini, walaupun masih memerlukan perhatian dan terapi, sekurang-kurangnya usaha yang dilakukan Dr. Hazlita dan suami, membolehkan anak mereka dapat bersekolah di sekolah biasa dan bukannya di sekolah pendidikan khas.

“Sebenarnya bukan mudah mendidik anak autisme tanpa ilmu, kerana anak-anak ini tidak akan belajar dengan ibu mereka, sebaliknya akan melawan dan membentak kerana enggan memberi komitmen untuk belajar.

“Oleh itu, program latihan awal amat penting untuk kanak-kanak autisme dan sekiranya dapat berkomunikasi pada awal usia, masalah tingkah laku boleh dikurangkan.

“Berhadapan dengan mereka sebenarnya memang menuntut kesabaran yang tinggi selain perlu memahami sepenuhnya masalah yang dihidapi anak-anak ini,” tuturnya lanjut.

Ramai yang berpendapat, anak-anak autisme perlu dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku dan keupayaan anak-anak ini kerana mereka sendiri tiada ilmu untuk mendidik golongan berkenaan.

Jelas apa yang berlaku kepada Mohammad Dzarif membuktikan anak-anak autisme ini mampu bersekolah bersama-sama kanak-kanak normal lain sekiranya dibantu dari awal.