Kemudiannya, kaedah ini dipopularkan oleh sekumpulan doktor dan jururawat di negara tersebut termasuk Rusia pada sekitar 1970-an, apabila merasakan terjadi banyak kes proses bersalin berlaku secara tidak alami akibat daripada intervensi semasa bersalin seperti suntikan ubat pelali.

Sejak itu, kaedah bersalin di dalam air mula menjadi alternatif baharu dan diguna pakai oleh pengamal perubatan malah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, yang menganggap kaedah ini diyakini lebih selamat dan mudah.

Menurut Perunding Ginekologi, Obstetrik dan Pakar Kesuburan Hospital Columbia Asia, Dr. Mohd. Suhaimi Hassan, walaupun kaedah ini masih baharu dan kurang meluas digunakan di Malaysia, ibu-ibu perlu diberi pilihan sama ada mahu memilih kaedah ini ataupun kaedah biasa melahirkan bayi.

“Kaedah ini menggunakan air suam yang dapat menenangkan sebahagian ibu yang bersalin yang mana itulah matlamat utama untuk kelahiran di dalam air.

“Konsepnya sama seperti duduk di dalam sauna, namun air kolam atau tab perlu dikawal suhunya kerana jika suhu terlalu tinggi boleh memudaratkan ibu dan bayi.

“Semasa berada di dalam air, denyutan jantung bayi akan diperhatikan secara kerap untuk memastikan bayi tidak mempunyai apa-apa masalah sepanjang proses kelahiran.

“Apabila jalan peranakan sudah mencapai 10 sentimeter dan tiba waktu ibu meneran, ibu diberi pilihan sama ada meneruskan kelahiran di dalam air atau ibu keluar dari air dan bersalin di atas katil.

“Melalui kaedah ini, keperluan ibu untuk mendapatkan ubat pelali dan ubat tahan sakit akan berkurangan kerana keadaan yang menenangkan dapat menjadi kaedah penahan sakit semula jadi semasa kontraksi berlaku, yang memberi keselesaan serta meningkatkan tumpuan si ibu dan keadaan bayi yang akan lahir kelak.

“Apabila bayi keluar dari perut ibu, bayi akan berada dalam keadaan yang serupa seperti berada di dalam perut ibu, iaitu dikelilingi air yang ternyata lebih memberi keselesaan kepada bayi itu,” katanya.

Namun ujarnya, tidak semua ibu sesuai untuk menggunakan kaedah ini kerana mereka yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi,dan kencing manis, selain bayi bermasalah seperti songsang atau bayi terlalu besar atau terlalu kecil tidak dibenarkan bersalin di dalam air kerana berisiko.

Katanya, jika ibu dibenarkan bersalin di dalam air tetapi menghadapi komplikasi ketika proses kelahiran, ibu tersebut tidak dibenarkan meneruskan kelahiran di dalam air. Masalah seperti denyutan jantung bayi yang mencurigakan atau bayi sudah membuang air besar di dalam perut ibu, boleh membahayakan nyawa bayi.

Pemahaman yang lengkap kepada ibu

Ibu yang memilih untuk bersalin di dalam air perlu diberi penerangan secukupnya, termasuk masalah atau risiko yang mungkin akan timbul semasa proses kelahiran.

Menurut Dr. Suhaimi, ini supaya ibu-ibu memahami keseluruhan prosedur sebelum dibenarkan bersalin di dalam air.

“Perlunya garis panduan yang ketat sebelum melakukan kaedah ini. Hanya ibu yang tidak mempunyai masalah kesihatan sahaja dibenarkan bersalin di dalam air.

“Selain itu, hospital yang menyediakan perkhidmatan bersalin kaedah ini juga perlu mempunyai kakitangan yang terlatih dan peralatan-peralatan seperti alat mengesan denyutan jantung bayi yang kalis air dan kolam takungan air yang sesuai dengan saiz ibu,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan, meskipun kaedah ini sudah popular dalam kalangan masyarakat tempatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum memberi kata putus akan penggunaan kaedah ini.

Kaedah ini masih lagi dalam peringkat akhir untuk menyelaraskan garis panduan dan audit bagi menjamin keselamatan wanita yang memilih untuk bersalin di dalam air sebagai kaedah kelahiran.

“Kebaikan dan keburukan bersalin di dalam air masih lagi dalam peringkat kajian perubatan. Pada tahun 1993 Jabatan Kesihatan di United Kingdom (UK) telah mengeluarkan garis panduan untuk bersalin di dalam air, iaitu ibu diberi pilihan untuk bersalin di dalam air dengan syarat-syarat yang ketat. Malah jururawat juga diberi latihan oleh pihaknya bagi mengelakkan kelahiran yang berisiko,” katanya.

Ujarnya, pada 1994 pula, badan yang mengawal kesihatan ibu bersalin di UK, iaitu Royal College Of Obstetricians and Gynaeccologists (RCOG) juga telah membenarkan ibu-ibu yang layak untuk bersalin di dalam air.

Walau bagaimanapun, RCOG mengatakan bahawa kajian perubatan yang menyokong kelahiran dalam air masih lagi kurang dan memerlukan lebih banyak kajian pada masa akan datang supaya kaedah ini efektif seiring dengan zaman.

Beliau berharap, KKM juga mengambil pendekatan yang sama dengan membenarkan ibu mempunyai pilihan bersalin secara normal atau di dalam air.

Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, pihaknya perlu mengeluarkan garis panduan atau lesen khas untuk hospital-hospital tempatan memberi perkhidmatan tersebut supaya komplikasi dapat dikurangkan dan dikawal secara baik.

Potensi bayi lemas

Meskipun kelahiran berlaku di dalam air, potensi bayi lemas tidak akan berlaku kerana ketika bayi keluar dari rahim ibu, bayi masih menerima oksigen daripada ibu melalui tali pusat.

Jelas Dr. Suhaimi, walaupun berada di dalam air, bayi tidak akan lemas selagi tali pusat belum putus. Proses ini hanya akan berubah apabila tali pusat dipotong dan keperluan oksigen selepas itu harus datang melalui bayi sendiri melalui pernafasannya.

Jadi bayi hanya berpotensi lemas jika tali pusat terpotong semasa bayi berada di dalam air.

“Keadaan tersebut boleh berlaku jika tali pusat terbelit semasa di dalam perut ibu. Jika ini berlaku, keperluan oksigen bayi akan terbantut dan denyutan jantung bayi akan menurun.

“Apabila kelahiran berlaku dalam keadaan bayi kekurangan oksigen, kemungkinan bayi akan cuba bernafas semasa di dalam air dan ini boleh menyebabkan bayi lemas.

“Selalunya apabila doktor sudah mengetahui keadaan tali pusat yang terbelit, ibu akan terus dikeluarkan dari di dalam air seterusnya menjalani pembedahan untuk menyelamatkan bayi,” katanya.

Menurutnya, berlaku juga kes seperti tali pusat terputus dengan tidak sengaja ketika bayi cuba dikeluarkan dari di dalam air. Keadaan ini boleh membahayakan bayi dan boleh berlaku pendarahan yang banyak dari tali pusat bayi. Keperluan oksigen bayi menjadi kurang dan secara automatik bayi akan bernafas melalui paru-parunya menyebabkan bayi lemas.

Katanya, sama ada bersalin di luar atau di dalam air, jika terdapat kesukaran bersalin seperti proses kelahiran yang berpanjangan atau denyutan jantung bayi yang mencurigakan, ibu dikehendaki melakukan proses kelahiran secara pembedahan.

Kaedah bersalin di dalam air ternyata dapat mengurangkan rasa sakit akibat kontraksi yang berlaku, namun tidaklah sehingga tidak memberi rasa sakit langsung.

Ujar Dr. Mohd. Suhaimi, ibu juga dibenarkan mengambil gas entonox selain pasangan atau jururawat boleh melakukan urutan pada bahu dan tulang belakang yang dapat mengurangkan kesakitan si ibu.Jururawat atau doktor harus sentiasa berada bersama sepanjang ibu berada di dalam air.

Ibu juga tidak dibenarkan mengambil suntikan pelali seperti pethidine dan epidural semasa di dalam air kerana dikhuatiri akan tertidur di dalam air.