Mahu membuktikan kepada bekas suami bahawa dia juga mampu berdiri di atas kaki sendiri, wanita berusia 37 tahun ini juga perlu bekerja bagi menggalas tanggungjawab sebagai anak untuk menjaga ayahnya yang menghidap angin ahmar selepas kematian ibunya sejak tujuh tahun lalu.

Bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan RM750 sebulan, bagi wanita ini, jumlah itu sudah cukup untuk menanggung keperluan mereka anak-beranak dan menguruskan ayah yang terlantar di atas katil.

Namun ujian lain pula datang, sebulan yang lalu Yuslina disahkan mempunyai masalah jantung dan menghidap masalah kerosakan buah pinggang tahap empat yang memerlukannya menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Bingung memikirkan bagaimana harus menghadapi ujian tersebut, hampir setiap hari dia menangis kerana memikirkan dirinya kini tidak mampu lagi untuk bekerja kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot dan beban kewangan yang perlu ditanggung untuk kos dialisis.

“Baru-baru ini saya dimasukkan ke wad di Hospital Serdang selama beberapa hari kerana masalah buah pinggang.

“Ayah perlu diuruskan sepenuhnya kerana dia tidak mampu untuk bergerak, jadi saya terpaksa mengharapkan anak-anak untuk menjaga datuk mereka.

“Mujurlah mereka boleh berdikari, sepanjang ketiadaan saya, Haziq menguruskan diri sendiri ke sekolah dan membelikan makanan untuk adik yang menjaga datuk di rumah selepas pulang dari sekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Pangsapuri Impian, Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor, baru-baru ini.

Walaupun baru berusia lapan dan enam tahun, kedua-dua anak kecil ini seakan memahami penderitaan ibu mereka dengan cuba meringankan tugas wanita itu menguruskan mereka sekeluarga.

Tidak kekok membantu menguruskan datuk yang terlantar sepanjang ketiadaannya, ujar Yuslina anak bongsunya, Harraz juga tidak kisah untuk membersihkan najis dan mengelap tubuh datuknya, manakala Haziq pula mengambil peranan memasak masakan yang mudah disediakan di dapur.

Namun demikian, Yuslina tidak mahu kehidupan anak-anaknya terabai disebabkan keadaan diri dan dia cuba sedaya upaya untuk kembali sihat dengan mengikuti jadual rawatan dialisis yang telah ditetapkan.

“Sepatutnya dalam usia begini, anak-anak melalui proses tumbesaran seperti kanak-kanak lain tetapi Haziq dan Harraz terpaksa menjadi dewasa sebelum usia mereka.

“Sedih mengenangkan apabila mereka terpaksa melupakan dunia kanak-kanak buat seketika dengan bermain di luar bersama rakan-rakan. Saya sekat semua perkara tersebut kerana mahu mereka membantu saya menguruskan datuk mereka.

“Bagaimanapun, saya tetap memastikan pendidikan untuk anak-anak tidak terabai dan sesusah mana pun hidup kami sekeluarga, anak-anak perlu ke sekolah,” katanya.

Walaupun tanpa kasih sayang daripada seorang bapa, dia mahu anak-anaknya mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada dirinya dan datuk mereka supaya anak-anak ini dapat membesar dalam keadaan yang sempurna.

Demi itu Yuslina berjanji akan terus berjuang untuk sihat bagi melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup.

Buat masa ini, Yuslina sedang menanti permohonan bantuan dari Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan, manakala sehingga ke saat ini dia hanya bergantung hidup dengan wang simpanannya kerana sudah tidak bekerja.

Bagi mengurangkan beban keluarga ini, mana-mana individu atau badan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan dalam bentuk keperluan makanan, barang basah atau kelengkapan sekolah bagi dua beradik kurang bernasib baik ini.

 

  • Public Bank, 
6382546727 
Yuslina Yunus
  • Bantuan boleh dihulurkan ke akaun
  • Public Bank, 
6382546727 
Yuslina Yunus
  • Bantuan boleh dihulurkan ke akaun