Boleh dinikmati dengan apa sahaja gabungan, rasanya yang enak pasti memberikan kelegaan ketika cuaca panas, sekali gus mengembalikan kegembiraan terutama ketika berada dalam tekanan.

Jika sebelum ini roti adalah gabungan yang dilihat paling sesuai dengan manisan kesukaan ramai ini, tetapi sebenarnya aiskrim juga sesuai digabungkan bersama biskut lembut, donut, dan churros.

Mungkin gabungan-gabungan ini dilihat agak pelik tetapi hakikatnya ia merupakan sajian yang enak dan unik malah memenuhi cita rasa masyarakat tempatan.

Justeru, hot baked soft cookie, churro bowl ice cream, dan donuts ice cream sandwich antara menu baharu yang anda boleh mencubanya di The Skinny Bakers.

Tampil dengan rasa tersendiri, menu-menu ini mula mendapat perhatian ramai kerana keenakan resipi biskut dan pastrinya.

Mula berada di pasaran sejak Disember tahun lalu, menurut Rogaya Ahmad, perniagaan tersebut merupakan cetusan ilham anak bongsunya, Eniza Fasiha Ellias, 23.

Katanya, Eniza memang suka makan dan makanan kegemarannya sudah tentu pencuci mulut.

Sering membekalkan anaknya biskut yang dibuat sendiri, dia tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti biskutnya akan menjadi tular dan dicari ramai.

Akhirnya dengan hanya bermula tempahan daripada rakan-rakan Eniza, tersebar luas hinggalah mak dan anak ini membuat keputusan untuk membuka kafe.

Mempertaruh resipi keluarga, tiada siapa menduga dari hari ke hari The Skinny Bakers mula menjadi sebutan dan perhatian.

Daripada kafe di SS15, Subang Jaya, kini berkembang ke The Curve, Mutiara Damansara, dan terkini di Subang Parade.

“Pada awal mula berniaga, kami membuka kafe di SS15, Subang Jaya, tetapi telah ditutup memandangkan kawasan tersebut susah untuk mencari parkir.

“Kemudiannya, kami memilih The Curve sebagai lokasi baharu dan Subang Parade merupakan cawangan kedua kami.

“Di sini kami sememangnya terkenal dengan pencuci mulut, selain rangkaian biskut yang pelbagai rasa,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya di Subang Parade, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

The Skinny Bakers menawarkan rangkaian juadah pencuci mulut lain daripada yang lain, daripada biskut beraneka rasa, ais krim sehinggalah susu kocak (milk shake).

Kesemuanya dihasilkan dengan keunikan rasa yang pasti memberi pengalaman baharu kepada pelanggan.

Bercerita lanjut mengenai rangkaian biskut yang terdapat di kafe tersebut, Rogaya berkata, semua dihasilkan dengan coklat premium berkualiti yang pasti mengujakan penggemar biskut tempatan.

Terdapat pelbagai perisa biskut untuk dinikmati seperti cip coklat asli, cip coklat gelap dengan pudina, cip coklat karamel masin, cip coklat badam, cip coklat berganda, cip coklat putih cranberries, cip coklat putih macademia, dan cip coklat gelap pecan.

Selain itu, semua makanan dan minuman dihasilkan dengan resipi sendiri.

Bagi yang menggemari ais krim dan biskut coklat, disaran mencuba ice cream sandwich cookies dengan kelazatan ais krim vanila bersama biskut empuk dan rangup berharga RM9.90.

“Di sini kami terkenal dengan hot baked soft cookie, churro bowl ice cream dan donuts ice cream sandwich.

“Apa yang lebih unik ialah kesemua menu di sini harganya ialah RM9.90 kecuali biskut yang berharga antara RM19 hingga RM22.

“Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, saya berusaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dengan menerima tempahan untuk goodies bag untuk apa juga jenis majlis keraian.

“Bagi cenderamata kami tidak hadkan dengan rekaan kami, malah kami turut menerima apa juga kehendak pelanggan termasuklah cara bungkusan dan bungkusannya sekali,” katanya.

Kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut produk-produk keluaran kafe boleh layari laman sesawang www.theskinnybakers.com atau Facebook The Skinny Bakers.