Kadang-kadang isteri telah lakukan yang terbaik untuk menjaga hati mentua tetapi masih tidak nampak kebaikannya, walaupun dilayan seperti pembantu rumah, menantu tetap sabar. Sebabnya, tidak mahu rumah tangga yang dibina musnah.

Akan tetapi ramai mentua yang tidak faham dengan perasaan menantu, khasnya menantu perem­puan. Menantu lelaki kebanyakannya serasi dengan mentua walaupun kadang kala terasa hati, bagi mereka perkara itu kecil sahaja, pekak telinga, selesai.

Tapi tidak bagi isteri. Sampai bila-bila akan teringat perbuatan mentua kepadanya. Inilah yang dialami oleh Shasha (bukan nama sebenar) yang sudah 10 tahun berhadapan dengan kerenah mentua yang tidak pernah belajar menghargai menantu.

Ingin tahu kisah lanjut, ikuti pengakuan Shasha seperti yang diceritakan kepada saya.

“Saya berusia lewat 30-an, berkahwin dengan lelaki yang saya cintai, Aziz (bukan nama sebenar) sejak 10 tahun lalu. Kami tidak dikurniakan anak. Mungkin sebab belum ada rezeki dan Allah belum makbul.

“Kami tidak ada masalah dari segi kesihatan dan saya juga tidak mandul. Kami suami isteri telah melakukan pelbagai rawatan untuk mendapatkan zuriat, tetapi Allah belum nak bagi.

“Sebagai isteri dan wanita, tentu saya kecewa kerana tidak dapat memberikan zuriat untuk suami. Selalu juga saya menangis mengenangkan nasib saya tetapi suami selalu pujuk dan berkata, semuanya kuasa Allah, kita berdoa sahajalah.

“Suami tidak ada masalah saya tidak mengandung dan melahirkan zuriat. Dia suami yang baik, memahami dan sangat bertanggungjawab. Yang menjadi masalah saya sekarang adalah mentua saya.

“Sejak setahun berkahwin sampai sekarang asyik salahkan saya sebab tidak melahirkan cucu untuk dia. Sedangkan, dia sudah ada 14 cucu hasil perlahwinan anak-anaknya yang lain.

“Apa sangatlah nak dirisaukan dengan saya seorang yang tidak ada zuriat ini. Kalau berjumpa, mesti tanya soalan yang sama, pada hal dia tahu bagaimana kami suami isteri berusaha untuk mendapatkan zuriat. Berpuluh ribu ringgit duit telah habis.

“Mulutnya memang laser kalau saya balik kampung atau dia datang ke rumah kami. Suami saya, anak bongsu. Jadi, perhatiannya tentulah lebih kepada suami. Secara tidak langsung, saya menjadi tempat dia melepaskan geram.

“Sindiran, kata-kata kesat dan macam-macam lagi menjadi mainan telinga saya setiap kali kami berjumpa. Kadang kala apabila semua keluarga suami berkumpul, mentua sengaja bangkitkan isu ini, pada hal tidak ada kena mengena pun.

“Bukan sekali dua, berkali-kali dia bangkitkan hal ini dengan harapan hendak tarik perhatian ipar duai dan biras saya. Itulah…. Orang tidak ada anak, mana tahu nak layan budak,” sering kali mentua perli saya.

“Sedangkan dia tahu saya suka budak-budak. Semua anak saudara suka kepada saya, malah ada yang sampai tidur dengan saya kalau kami balik kampung. Itupun dia tak boleh faham.

“Dia butakah apa? Tak nampak bagaimana hubungan rapat saya dengan anak-anak saudara. Itu juga darah dagingnya. Ipar duai minta saya bersabar. Memang saya sabar, sudah 10 tahun saya bersabar dengan perangai mentua.

“Sayangnya sampai hari ini tidak juga berubah. Kesabaran saya juga ada batasnya. Saya sudah lama menahan sabar ini dan rasanya tidak sanggup lagi dihina dan dikeji mentua kerana saya tidak mengandung.

“Tiada siapa yang mahu jadi begini. Setiap pasangan suami isteri mahukan anak, begitu juga de­ngan saya. Tapi Allah belum makbulkan. Apalah daya saya.

“Pernah kami merancang untuk mengambil anak angkat, tapi dia tidak setuju. Kerana tidak mahu hubungan suami dengan ibunya renggang, saya batalkan niat. Anak-anak saudara menjadi tempat saya bermanja.

“Saya tidak kesal dengan takdir diri saya yang tidak dikurniakan anak tetapi saya kesal dengan sikap mentua. Seorang tua yang solatnya tidak tinggal, rajin ke masjid, dengar ceramah tetapi pemikiran tentang ketentuan Allah kepada hambaNya sangat cetek.

“Mujur kami tinggal berasingan, jika tinggal bersama, tidak tahulah saya bagaimana saya hendak hadap perangai mentua yang suka membebel tentang isu anak ini.

“Saya harap mentua akan berubah perangainya. Kalau mentua saya terbaca catatan ini, saya berharap sangat dia menerima hakikat, tidak semua yang kita mahu itu akan berjaya diperoleh. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

“Sebaik-baiknya dia bagi sokongan kepada saya. Suruh saya bersabar dan berdoa tetapi ini tidak, dia pula yang jadi pendesak. Saya bersyukur kerana suami sangat faham tekanan yang saya lalui. Malah, dia tidak memihak kepada ibunya dalam bab ini.

“Dia selalu minta maaf bagi pihak ibunya. Saya juga selalu teringat pesanan mak, macam mana sekalipun kawal diri, jangan melawan dan derhaka kepada mentua. Sabar banyak-banyak.

“Saya juga tidak pernah berputus asa dan berharap satu hari, Allah akan makbulkan hajat saya untuk mengandung. Sampai sekarang saya masih berusaha. Kata doktor saya masih boleh hamil.

“Harap Allah makbulkan hajat saya. Dapat seorang pun, syukurlah. Sekurang-kurangnya saya hendak buktikan kepada mentua yang saya tidak mandul. Doakan untuk saya,” kata Shasha menamatkan ceritanya.

Itulah resam dunia. Memang saya akui, masih ada mentua yang berperangai seperti itu, walaupun jumlahnya agak berkurangan sekarang. Saya simpati dengan Shasha dan berharap Shasha terus tabah menghadapi keadaan.

Bersyukurlah kerana suami memihak kepada Shasha. Anggaplah itu ujian untuk Shasha dan suami. Banyak istighfar,pekakkan telinga. Isi waktu terluang dengan membaca al-Quran dan berzikir mohon Allah makbulkan doa.

Menamatkan catatan, pesanan saya, perancangan kita adalah yang terbaik tetapi Allah mempunyai perancangan yang lebih baik untuk hambaNya. Insya-Allah.

Salam.