Terus berkembang sehingga saat ini, kopi telah menjadi salah satu minuman paling popular di dunia dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.

Selain rasa dan aromanya yang menyegarkan, industri kopi di negara ini dilihat berkembang pesat apabila banyak kafe yang menyajikan minuman tersebut.

Jika dahulu bancuhan kopi mudah sahaja, masukkan serbuk kopi ke dalam teko kemudian dituangkan air panas, tambah gula maka siap untuk diminum.

Tetapi hari ini tidak lagi kerana bancuhan sebegitu hanyalah dilakukan di kedai atau warung kopi.

Hari ini cara bancuhan kopi terutama di kafe-kafe premium menggunakan mesin khas dalam usaha menjaga kualiti dan kesegaran rasa kopi yang sebenar.

Turut menawarkan pelbagai jenis kopi yang diperoleh dari negara luar, setiap bancuhan pastinya berbeza dan tidak semua boleh melakukannya.

Walaupun nampak mudah tetapi sekiranya tersilap cara kopi yang dihasilkan bukan sahaja akan menjadi pahit tetapi juga akan hangus.

Melihat kepada permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat yang gemar menikmati kopi, maka tidak hairanlah sekiranya ada yang berminat untuk mempelajari cara-cara membancuh kopi seperti seorang barista.

Untuk itu, Common Man Coffee Roasters (CMCR) yang terletak di Jalan Tun Mohd. Fuad, Kuala Lumpur, menawarkan kelas kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari cara bancuhan kopi yang betul.

Tidak sekadar belajar bancuhan kopi tetapi kelas tersebut turut menyentuh sudut artistik dalam penyediaan setaraf barista.

Meskipun kedengaran seperti menjangkau kemahiran seorang amatur, pendekatan tenaga pengajar membolehkan setiap peserta memahami kaedah bancuhan kopi yang betul.

Menurut salah seorang barista di situ, Pablo, peserta yang tiada asas penyediaan kopi tetapi minat terhadap minuman tersebut amat dialu-alukan untuk menyertai kelas tersebut.

Katanya lagi, kelas-kelas yang ditawarkan dibahagikan mengikut kategori dan sistem pembelajaran juga mudah dan tidak mengambil masa yang lama.

“Mereka ini novis atau tiada pengalaman langsung dalam penyediaan kopi, oleh demikian kita beri pengenalan mengenai jenis kopi dan peralatan termasuklah mesin pengisar espresso.

“Peringkat amali pula kita akan ajar pengendalian mesin espresso untuk mendapatkan ekstrak tepat, buih dan tekstur untuk jenis minuman kafe.

“Keseronokannya mereka akan berasa puas hati apabila dapat belajar teknik asas termasuk seni pada buih kopi,” ujarnya.