Dalam usaha memberikan lebih pilihan hidangan kepada masakan laut ini, Nur Ashikin Mohd. Tahir, tampil dengan lapan jenis masakan berkuah berasaskan resipi sendiri.

Dia yang juga merupakan pemilik restoran Seafood MashUp berkata, apa yang ditawarkan pasti memberi kelainan cita rasa daripada restoran-restoran lain.

“Sebelum memulakan operasi Februari tahun lalu, kami merancang menawarkan sajian masakan laut seperti shellout yang diketengahkan kebanyakan restoran-restoran makanan laut lain.

“Kemudian kami berfikir semula, memandangkan ketika ini banyak sangat restoran yang menawarkan sajian seperti itu yang dikatakan telah menjadi satu trend hidangan.

“Memandangkan masih ingin memberi tumpuan kepada sajian makanan laut, kami membuat keputusan untuk memberikan cita rasa baharu kepada orang ramai dengan menggabungkan makanan laut ini dengan pelbagai jenis kuah,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 38G, Jalan Puchong Suria 1, Pusat Perniagaan Suria, Puchong Gateway, Puchong, Selangor.

Antara jenis masakan berkuah yang ditawarkan di restoran Seafood MashUp ialah curry spicy, lemon butter, garlic spicy, sweet and sour, black paper, butter prawn, creamy salted egg, dan chili crab.

Menerusi kuah-kuah ini, orang ramai boleh memilih sama ada untuk dimasak bersama lala, pepahat, kupang, kekapis, sotong, udang harimau, ketam nipah, atau ketam bunga.

Kesemua makanan laut diperoleh daripada pembekal tempatan secara segar, Nur Ashikin menambah dia juga menggunakan khidmat seorang cef berpengalaman dan dibantu seorang tukang masak.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini menjelaskan, sajian yang disediakan di restorannya terdapat dalam dua saiz iaitu S dan L dan ditawarkan pada harga bermula RM14, bergantung kepada jenis makanan laut dan saiz yang dipesan dan jenis kuah.

Ini kerana beritahu ibu bepada tiga orang cahaya mata ini, untuk kuah butter prawn, creamy salted egg dan chili crab, orang ramai perlu menambah RM10.

Turut mengusahakan katering untuk apa juga jenis majlis dan keraian, restoran ini turut menawarkan pelbagai sajian lain untuk mereka yang tidak makan hidangan laut.

Antaranya ialah ikan bakar sambal, tofu tiram, dan pelbagai jenis masakan bergoreng berasaskan mi dan juga nasi.

Bercerita lebih lanjut mengenai sajian makanan laut di restorannya, Nur Ashikin berkata, orang ramai boleh menikmatinya bersama nasi putih atau pun ban mantau.

Bagi mereka yang ingin menikmati makanan berasaskan masakan kampung, restoran ini tampil dengan satu menu baharu iaitu udang masak lemak cili belimbing buluh.

Boleh memuatkan sehingga 50 pengunjung pada satu-satu masa, restoran ini turut terkenal dengan minuman mocktail, air campuran pati buah-buahan.

Beroperasi setiap hari kecuali Ahad, bermula 11 pagi hingga 11 malam, orang ramai dinasihatkan membuat tempahan terlebih dahulu sekiranya ingin berkunjung pada hujung minggu.

Boleh layari laman sosial Fecebook Seafood MashUp dan juga Instagram @seafoodmashup untuk mengetahui lebih lanjut mengenai restoran ini. - 
Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN