Berusia 23 tahun, Nuramirah yang kini sedang mengikuti pengajian ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam turut menjalankan perniagaan secara sambilan.

Katanya yang menjalankan perniagaan kain dan pakaian siap, masa yang perlu ditumpukan untuk pengajian menjadikan dia tidak dapat memberi fokus terbaik untuk perniagaannya.

“Bagi saya berniaga ketika belajar adalah cabaran. Tetapi apa yang penting, saya sedar saya harus utamakan pengajian terlebih dahulu,” katanya kepada S2.

Menurut Nuramirah, dia masih cuba membahagikan masa dengan bijak, lebih-lebih lagi dia akan menamatkan pengajian pada awal tahun 2019.

Tambah anak bongsu daripada sembilan beradik itu, pada tahun ini, dia tidak dapat membuat apa-apa jualan kerana perlu menumpukan sepenuh masa terhadap pelajaran.

“Saya hanya buat mana yang termampu sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia akan bergiat aktif di dalam perniagaan sebaik sahaja tamat pengajian, selain mencari peluang pekerjaan untuk merasai dunia bekerja yang sebenar.

Katanya, dia memang meminati dunia perniagaan sejak kecil, tambahan pula keluarganya mempunyai latar belakang yang sama.

Nuramirah menjalankan perniagaan menjual baju daripada kain sari yang diimport dari India di bawah jenama alnassirwardrobe.