Dengan kelengkapan senjata dan perisai membolehkan sesebuah kerajaan mempertahankan keselamatan daripada serangan musuh yang boleh mengakibatkan pelbagai kerosakan dan kemusnahan teruk, sekali gus menyebabkan kematian.

Mengimbas sejarah persenjataan dunia Islam ternyata hasil kerja tangan pembuat senjata dan perisai tidak kurang hebatnya. Setiap alat menampilkan keindahan dan kemewahannya tersendiri.

Menurut Penolong Kurator, Jabatan Kuratorial, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Zulkifili Ishak, senjata dan perisai di dalam dunia Islam bukan sahaja digunakan ketika di medan peperangan malah merupakan sebahagian persalinan kelengkapan diraja, kegunaan untuk aktiviti perburuan dan pengembaraan.

“Berikutan itu Pameran Senjata Islam, Simbol Kekuasaan dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam Malaysia diadakan bagi mendedahkan dan memperlihatkan kehebatan hasil kerja tangan pembuat senjata dan perisai kepada pengunjung.

“Selain itu pada masa sama dapat memberi peluang kepada pengunjung di dalam menghayati kehalusan seni dan keindahan serta lambang yang terdapat pada setiap artifak yang dipamerkan di Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam Malaysia,” katanya.

Antara koleksi-koleksi yang dipamerkan termasuklah pelbagai senjata dan perisai terbaik dari dunia Islam meliputi pelbagai negara sejauh Afrika Utara sehingga ke rantau Asia Tenggara.

“Koleksi diraja di samping hasil karya agung para artisan, senjata api serta aksesorinya dan juga kepentingan kuda yang sering dikaitkan dengan senjata dan perisai sebagaimana yang digambarkan menerusi lukisan-lukisan miniatur antara tarikan yang dapat disaksikan di dalam pameran tersebut,” katanya.

Pameran yang dirasmikan Penasihat Sosio-Budaya kerajaan, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pada 19 April lalu pada masa sama menampilkan pelbagai tema yang dibahagikan kepada beberapa buah bahagian.

“Bermula dengan sebuah ruang yang mempamerkan koleksi replika pedang Nabi Muhammad SAW dan para sahabat seperti Khalifah Uthman ibn Affan, Khalid ibn al-Walid dan Jaafar al-Tayyar. Di dalam pameran tersebut mengetengahkan rupa bentuk senjata berbilah dalam sejarah awal Islam.

“Bahagian seterusnya mempamerkan koleksi diraja Qajar Iran, koleksi Tipu Sultan dari Kerajaan Mysore, koleksi Kesultanan Uthmaniyyah dan Kesultanan Darfur di Sudan. Selain itu, koleksi yang memperlihatkan aspek persenjataan di alam Melayu turut ada dipamerkan antaranya keris perak Sultan Abdul Jalil yang menyingkap keturunan Kesultanan Melaka-Johor dan sejarah permulaan era pemerintahaan bendaraha,” katanya.

Dalam pada itu, lukisan Putera Mahkota Qajar ‘Abbas Mirza yang dihasilkan sekitar tahun 1835 hingga 1840 merupakan bahan yang akan menjadi tarikan dan tumpuan utama di dalam pameran berkenaan.

Selain mengetengahkan koleksi senjata dan perisai, pameran turut menampilkan pelbagai aksesori yang dijadikan sebagai sebahagian daripada kelengkapan perlindungan tentera dan golongan diraja di samping objek-objek yang menonjolkan kebudayaan senjata api di dunia Islam.

“Pameran yang diadakan bermula 20 April hingga 31 Ogos ini sudah pastinya akan menarik para pengunjung memandangkan bahan pameran merupakan antara koleksi-koleksi muzium yang buat julung kalinya dipamerkan kepada umum. Bukan itu sahaja, kami turut menerbitkan sebuah katalog yang memaparkan lebih daripada 200 artifak berkaitan senjata dan perisai yang terdiri daripada koleksi muzium.

“Penerbitan ini memperlihatkan estetika hasil kerja tangan yang terdapat pada kepelbagaian persenjataan di segenap dunia Islam selain daripada merungkai maksud di sebalik tandatangan, simbol mahupun tulisan yang terdapat pada permukaan artifak,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan pengunjung yang terdiri daripada generasi muda, pihak muzium turut mengadakan pelbagai aktiviti bercorak pendidikan di dalam galeri pameran.

“Orang ramai khususnya generasi muda berpeluang mencipta pengembaraan sendiri di galeri pameran sambil memahami keindahan senjata dan perisai dari dunia Islam. Dinding interaktif 3 Dimensi di bahagian ini juga merupakan salah satu tarikan bukan sahaja kepada kanak-kanak malahan juga orang dewasa,”katanya.

Perpustakaan Kanak-kanak MKIM dalam pada itu turut menganjurkan pelbagai aktiviti seperti bengkel kesenian diraja kanak-kanak yang memberikan peluang kepada mereka untuk menghasilkan kraftangan membuat perisai dan topi pelindung berserta aktiviti-aktiviti lain dengan tema yang berkaitan dengan pameran. Aktiviti-aktiviti ini akan diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang empat bulan pameran ini berlangsung di Perpustakaan Kanak-kanak MKIM.