Menjadikan baju Melayu sebagai persalinan wajib pada setiap hari Jumaat, anak kelahiran Muar, Johor, ini menyatakan apa yang dilakukan adalah salah satu usaha untuk mengekalkan kegemilangan pakaian tradisional tersebut.

Dia juga tidak berselindung menyatakan rasa kekecewaannya terhadap pemakaian baju Melayu hari ini yang seakan-akan dilupakan terutama sekali dalam kalangan generasi muda.

Malah, lelaki ini juga melahirkan rasa kurang bersetuju dengan perbuatan sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya ‘mengubah’ atau ‘mentranformasikan’ baju kebangsaan itu sehingga hilang identiti asal hanya kerana untuk menyemarakkan fesyen tempatan.

Bagi Abdul Aziz, dia lebih gemar menggayakan baju Melayu rekaan asli, bagaimanapun tetap mempunyai koleksi baju Melayu moden yang tidak keterlaluan rekaannya seperti cekak musang mahu pun teluk belanga yang tidak berpesak.

Jika melayari laman sosial Instagramnya, anda pasti melihat Abdul Aziz menggayakan baju Melayu lengkap bersama samping.

Berbicara mengenai koleksinya, tutur bapa kepada empat orang cahaya mata itu, selain baju Melayu dia turut mempunyai koleksi pelbagai jenis samping (ada yang berharga sehingga RM350 sehelai) dan juga butang baju Melayu serta sepasang baju Melayu diperbuat daripada kain linen yang berharga RM600.

Bagi lelaki ini, apabila dia diminta untuk mengenakan atau menggayakan baju Melayu dia akan memastikan segala-galanya lengkap dari hujung rambut hingga hujung kaki. Ini termasuk baju, seluar, samping, butang baju Melayu dan songkok.

“Baju Melayu merupakan pakaian tradisi yang boleh digayakan sesiapa sahaja oleh semua masyarakat di negara ini, tidak kira bangsa dan agama. Malah baju Melayu boleh menjadi medium suara perpaduan untuk rakyat Malaysia.

“Kita tidak perlu tunggu musim perayaan mahupun musim perkahwinan untuk memakainya, baju Melayu boleh dipakai pada bila-bila masa mengikut kesesuaian majlis.

“Sebagai pakaian yang menjadi warisan zaman-berzaman, pemakaian baju ini mempunyai ‘etika’ tersendiri dan seelok-eloknya kita harus menjaga kesenian warisan ini sampai bila-bila.

“Kalau boleh pakailah baju ini dengan lengkap, jangan pakai separuh-separuh seperti gabungkan baju ini dengan seluar jeans dan sebagainya. Tentulah hilang seninya,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Jika dilihat pada penampilan, Abdul Aziz sememangnya individu yang amat mementingkan kekemasan dan juga gemar berfesyen.

Nasihatnya, biarpun orang ramai bebas bergaya dan berfesyen tetapi mereka perlu mematuhi adab dan menghormati sosiobudaya masyarakat setempat.

“Sebagai contoh, etika pemakaian di tempat awam perlu tertib dan tidak mencolok mata agar individu itu di pandang tinggi tatasusilanya,” katanya.

Tuturnya, sebagai baju tradisional yang dikatakan sejarahnya diperkenal oleh Sultan Muhammad Shah, konsep baju Melayu hari ini seharusnya dikekalkan agar masyarakat luar terutama tidak memberi persepsi salah atau pandangan serong terhadap pakaian kebangsaan kita sendiri.

Seni rekaan baju Melayu itu katanya, perlu dijaga agar dapat menjaga kesinambungan pakaian ini sehingga tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dalam warisan generasi tempatan khususnya budaya Melayu.