Sedangkan, masih banyak peluang lain boleh dilakukan bagi membolehkan kanak-kanak di usia itu melakukan aktiviti menarik di luar rumah.

Antara kegiatan yang boleh dilakukan pada masa lapang adalah aktiviti lasak seperti menaiki All Terrain Vehicle (ATV) yang semakin popular di Perlis.

Sekumpulan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun yang ditemani seorang remaja tidak melepaskan peluang untuk mencuba kenderaan lasak ini di laluan mencabar Maneq Hills ATV Adventures di Kampung Bukit Manik, Jalan Kangar-Padang Besar, Perlis baru-baru ini.

Masing-masing teruja untuk mencuba ATV yang disifatkan sebagai kenderaan baharu tetapi memerlukan kecekapan untuk dikendalikan.

Sekalipun rata-rata kanak-kanak ini sudah biasa menggunakan motosikal untuk bergerak di kawasan kampung tetapi mereka dilihat menunggu dengan penuh debaran untuk menggunakan kenderaan ini.

Dari pemerhatian penulis, sebaik sahaja diberikan peluang, mereka mempamerkan semangat yang tinggi untuk mengendalikan jentera itu tanpa mengalah.

Dari awal lagi, mereka diuji dengan cabaran di mana perlu melalui sebuah titi kayu yang akan melantun naik apabila terkena tayar kenderaan ATV.

Justeru, pemandu perlu bijak mengimbangkan bukaan minyak dan brek kenderaan itu supaya tayar berada di atas papan berkenaan.

Cabaran itu disahut oleh kumpulan kanak-kanak dengan baik apabila kesemuanya berjaya membawa jentera ATV mendaki titi kecil yang bagaikan menaiki papan jongkang jongkit tanpa masalah.

Nampaknya di peringkat awal lagi, mereka menunjukkan keupayaan mampu mengendalikan kenderaan ATV, sekalipun pertama kali menaikinya.

Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beseri, Najmi Sham, 11, mengakui belum pernah merasai keseronokan menaiki ATV.

“Saya berasa bertuah kerana berpeluang mencuba kenderaan lasak ini. Saya tidak takut melalui halangan, sebaliknya cuba bersungguh-sungguh melepasinya dengan baik dan tidak terbalik,” katanya.

Najmi memberitahu, hatinya puas kerana berjaya mengendalikan kenderaan tersebut, sekalipun pertama kali mencubanya.

Bagi pelajar tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, Abdul Aziz Mat, 13, sekalipun pertama kali menaiki ATV, dia mengaku sudah merasa seronok dengan sukan lasak ini.

“Saya tidak cuak atau bimbang, sebaliknya bersemangat untuk terus melepasi setiap halangan,” ujarnya.

Katanya, sudah pasti dia akan berkongsi pengalaman menarik ini dengan rakan-rakan di sekolah nanti.

Mohd. Saiful Hisyam Zainureen, 16, pula memberitahu, walaupun pernah ada pengalaman menaiki ATV di beberapa tempat di negara ini, dia menyifatkan laluan di Maneq Hills ATV Adventures sebagai terbaik.

“Halangan bukan sahaja lebih mencabar, malah lokasinya berhampiran bukit menjanjikan pemandangan yang sangat menarik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maneq Hills Resources, Azny Nizar Sabu @ Abdul Razak berkata, setakat ini pihaknya menyediakan 10 buah ATV dan jumlah itu mencukupi untuk membawa lima pengunjung memasuki kawasan trek seluas 1.8 hektar dan bergerak di sepanjang 1.5 kilometer dalam satu-satu masa.

Azny Nizar atau lebih dikenali sebagai Jat berkata, terdapat lebih 15 halangan dibina di sepanjang trek itu dan akan sentiasa diubah bagi memastikan peminat sukan lasak ATV tidak berasa jemu.

Menurutnya, bayaran untuk menaiki ATV bermula daripada RM20, iaitu menempuh trek pertama selama 15 minit menggunakan ATV 125cc dan kadar sewa paling lama adalah RM60 selama sejam.