“Makanan seperti jiwa saya. Saya mula memasak semasa melanjutkan pelajaran di New Zealand. Ketika itu kami sering memasak untuk perjumpaan pelajar setiap sambutan perayaan seperti Hari Raya dan sambutan kemerdekaan,” katanya semasa ditemui di GwaKu, aras 12, Q Sentral, KL Sentral, baru-baru ini.

Selepas beberapa tahun bekerja dalam bidang IT, Norzi mengambil keputusan meletakkan jawatan dan pada 30 Mac 2016 membuka Kafe Gwaku di Q Sentral yang ketika itu baru 30 peratus bangunan pejabatnya dihuni.

“Di sini pelanggan Kafe GwaKu bukan sahaja boleh menikmati keindahan Kuala Lumpur tetapi keenakan makanan yang dihidangkan di sini. Pada mulanya GwaKu hanya menghidangkan masakan Melayu seperti menghimpunkan lebih kurang 15 jenis kuih Melayu serta nasi lemak, mihun goreng dan telur separuh masak untuk sarapan pagi.

“Sementara untuk makan tengah hari, kami menghidangkan pelbagai jenis lauk yang berlainan setiap hari. Jika hari ini kami menghidangkan stew, esok kami akan menghidangkan menu berbeza,” katanya.

Selepas dua tahun, melihat kepada permintaan pelanggan yang inginkan makanan yang lebih ‘ringan’ dan makanan Barat, Norzi mengambil keputusan menyewa satu lagi lot di sebelahnya yang menghidangkan makanan Barat dan ringan seperti kek dan kopi.

Melihat kepada menunya yang ringkas tetapi sihat, apatah lagi pelanggan boleh memilih nasi daripada beberapa campuran beras perang, hitam dan merah yang menjadikannya kelihatan seperti nasi dagang.

“Untuk pelanggan yang prihatin dengan kesihatan, kami memberikan pilihan makanan organik selain kami tidak menggunakan MSG dalam masakan kami dan memastikan menu yang dihidangkan menepati citarasa dan selera pelanggan pelbagai kaum,” katanya yang masih memasak di rumah dan dalam perancangan untuk membuka dapur berpusat atau central kitchen.

Norzi berkata, di GwaKu terdapat hampir 90 peratus pelanggan tetap yang mempunyai grup untuk mengetahui menu apa yang dihidangkan setiap minggu supaya pelanggan boleh merancang apa yang mereka ingin makan.

“Kami juga banyak menerima tempahan makan tengah hari daripada kakitangan pejabat di bangunan ini serta di bangunan berhampiran. Kami juga menerima tempahan kuih-muih tradisional untuk mesyuarat dan minum petang,” katanya.

GWAKU

Aras 12, Q Sentral,
Jalan Stesen Sentral 2,
KL Sentral,
Kuala Lumpur.
Instagram: gwaku2016
Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 5.30 petang (Isnin hingga Jumaat. Cuti umum tutup)