Memahami kehendak tersebut, Washout Laundry & Cafe memperkenal kafe berkonsepkan moden dan hipster bagi yang ingin mencari kelainan.

Persekitaran yang selesa untuk keluarga, di samping pilihan pelbagai sajian Barat, pasti menambat selera.

Pengurus dan pengasas bersama Washout Laundry & Cafe, Nazmi Mohammad Affendi berkata, kafe tersebut yang dibuka pada tahun 2015 diperkenal untuk menarik pelanggan dalam kumpulan pertengahan yang meminati sajian kombinasi Asia dan Barat.

“Asalnya saya dan rakan kongsi, Khairil Safwan Makmur menjalankan perniagaan dobi di sini. Kebetulan pula kami mempunyai ramai kenalan yang terlibat secara langsung dalam industri makanan dan minuman (F&B). Mereka mencadangkan supaya kami cuba menembusi pasaran melalui pengenalan kafe dua dalam satu, iaitu kafe dan dobi.

“Dalam keadaan rutin harian kita yang kadangkala tiada masa untuk melakukan semua kerja harian tersebut dalam satu masa, konsep kafe seperti itu dapat memudahkan pelanggan yang kebanyakannya golongan pekerja, pelajar dan keluarga.

“Mulanya bimbang juga kalau konsep yang diketengahkan tidak menjadi, tetapi sebaliknya berlaku. Sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Daripada cuma beberapa menu, kini kami sudah ada 36 sajian makanan dan 29 jenis minuman untuk memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Taman Samudera, Batu Caves, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, hampir kesemua menu merupakan pilihan utama pelanggan, tetapi yang paling mendapat sambutan adalah Monster Platter, variasi sajian Barat bagi pelanggan yang mahu mencuba beberapa makanan melalui satu tempahan.

Pada harga RM55.90, hidangan tersebut yang mempunyai chicken chop, lamb chop, sosej, bebola daging, kentang goreng, coleslow, salad, dan pasta aglio Olio, disajikan untuk lima hingga empat orang cukup berbaloi untuk dinikmati seisi keluarga,

“Sebelum kami memperkenal menu ini, kami ada membuat kajian terlebih dahulu tentang selera orang Malaysia. Hasilnya, kami lihat orang kita gemar menikmati ‘makanan campur’ kerana tidak puas dengan satu sajian sahaja.

“Jadi, kami cipta Monster Platter ini dengan meletakkan semua sajian signatur kafe ini dalam satu pinggan.

“Tidak perlu berbelanja lebih dan membazir untuk memesan semua jenis makanan, pelanggan boleh menikmati gabungan rasa enak sajian Barat dengan harga yang cukup berpatutan,” katanya.

Nazmi berkata, meskipun hanya menawarkan sajian Barat, kafe tersebut tetap menjadi pilihan pengunjung terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu.

Keistimewaannya terletak pada kuah lada hitam yang menjadi pelengkap kepada setiap sajian utama, membuatkan menu mereka berbeza dengan kafe-kafe lain.

Selain Monster Platter, turut ditawarkan aneka sajian pasta dan burger termasuk Monster Burger, dengan rasa dan kelazatan menikmati burger sebenar.

Ketebalan patty (kepingan daging) yang diadun sendiri, diapit pula dengan telur dan sayur-sayuran segar, keju dan hirisan nipis daging salai, menjadi gabungan lengkap.

Lebih menarik, menu tersebut juga boleh diolah sendiri oleh pelanggan sama ada mahu menambah kepingan patty atau bahan-bahan lain mengikut selera masing-masing.

Buat penggemar pasta, spageti bolognese yang disebatikan dengan pelbagai campuran herba Barat ternyata dapat memberikan lebih pilihan.

Selain itu, barisan pencuci mulut seperti waffle bersama ais krim atau minuman istimewa, Mango Shakolisto, dicipta khas buat penggemarnya.

Menyediakan tempat makan di bahagian luar dan dalam kafe dengan kapasiti 60 orang pada satu-satu masa, beberapa perhiasan yang bersesuaian dengan dekorasi kafe diletakkan bagi menambah pandangan yang berbeza pada mata pelanggan.

Tambah Nazmi, walaupun dobi ditempatkan di dalam satu premis, mesin dobi yang digunakan tidak berbunyi bising atau boleh mengganggu ketenteraman, malah dinding kaca diletakkan bagi memisahkan kafe dan dobi supaya pelanggannya dapat menjamu selera dengan selesa. - Gambar ROY AZIS