Berbanding ribuan atau mungkin puluhan ribu anak muda yang berpesta dengan sorakan serta pertunjukan bunga api, lain pula ceritanya dengan sekumpulan anak muda termasuk golongan profesional dan mahasiswa yang berkumpul di Kabo menjelang tahun baharu 2018 lalu! Selama 24 jam dari pukul 2.02 minit petang 31 Disember 2017 hingga 2.02 minit petang 1 Januari lalu, pelbagai acara berteraskan sastera, seni dan budaya diadakan di kafe berkenaan.

Diusahakan oleh pasangan suami isteri Mohammad Hafiz Abdul Latiff, 32, dan Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri, 30, kafe ini mula beroperasi pada 2014 sebagai satu cabang perniagaan berasaskan penerbitan dan jualan buku yang diusahakan sejak 2012.

"Kami mula menganjurkan #Kabo24Jam pada 2016. Pada setiap 31 Disember, kafe kami akan menjadi medan mengggabungkan aktiviti seni dan sastera dalam satu acara," kata Sayidah.

Antara acara yang dijalankan adalah muzikalisasi puisi, tayangan filem pendek, bengkel puisi, pertandingan menulis cerpen serta beberapa sesi diskusi berkaitan industri perbukuan dan seni.

Penulis sempat hadir pada sesi perbincangan melibatkan industri buku yang hari ini dikatakan semakin 'sakit' dan 'sendu' pasarannya oleh sesetengah pihak.

Secara tradisinya, seorang penggiat sastera tempatan akan diangkat sebagai ikon sastera pada setiap acara #Kabo24Jam.
Jika pada 2016, pejuang persuratan Melayu, Nisah Haron diangkat sebagai ikon, pada 2017 menyaksikan novelis, Dr Mohd Faizal Musa yang lebih dikenali sebagai Faizal Tehrani pula diberi penghormatan ini.

Isu hak cipta

Penulis yang meluangkan masa sejak awal pagi 1 Januari untuk mengikuti acara yang dijalankan mendapati beberapa slot menarik yang banyak memberi pengetahuan khususnya mengenai industri buku.

Umpamanya dalam slot 'Fokus Anak Muda' oleh Eksekutif Hak Cipta, Intitut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mohd Azree Mohd Ariffin. Beliau menyentuh tentang isu hak cipta dalam industri kreatif, khususnya industri buku.

Menurut beliau, penulis tidak perlu takut atau segan membincangkan butiran kontrak yang ditawarkan oleh rumah penerbitan demi kebaikan penulis itu sendiri bagi memastikan haknya terjaga.

"Kontrak yang ditawarkan rumah penerbitan bukanlah sesuatu yang tetap. Jadi jangan main tandatangan sahaja, tetapi jika ada sebarang perkara yang tidak difahami atau tidak dipersetujui, bertanyalah dan berbincanglah," katanya.

Penulis, kata Mohd Azree, perlu memahami butiran kontrak untuk mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam masalah yang sering menghantui penulis seperti kadar royalti, waktu pengagihan royalti serta tempoh pemilikan sesuatu hak cipta penerbit terhadap karya yang dihasilkan oleh penulis.

Trend jualan buku dengan potongan harga yang semakin popular akhir-akhir ini turut menimbulkan kegusaran buat sesetengah penulis buku yang risau harga jualan yang rendah akan memberi kesan kepada potensi pendapatan mereka yang bergantung kepada prestasi jualan buku.

Sementara itu, dalam forum 'Gelanggang Oakheart' dengan tema 'Peranan Persatuan dalam Pembangunan Penulis dan Penerbit', tiga panel membincangkan realiti cabaran terkini dunia perbukuan.

Barisan panel terdiri daripada Presiden Persatuan Penulis Malaysia (MYWriters), Gina Yap Lai Yoong; Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Ishak Hamzah; dan Wakil Jawatankuasa Penggerak, Persatuan Gerakan Penulis Malaysia, Azzah Abdul Rahman.

Antara topik yang disentuh termasuk gerak kerja penulis untuk kekal relevan dalam keadaan pasaran yang lembab, keadaan pasaran buku tempatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dan perubahan model jualan di kedai buku yang boleh memberi kesan kepada jualan.

Menurut Gina, adalah penting untuk penulis-penulis baik bagi karya dalam bahasa Melayu atau Inggeris untuk mengekalkan imej Malaysia dalam penulisan kerana itu adalah satu nilai yang dicari-cari para pembaca terutama dari luar negara.

Di samping itu, penulis perlu membuang ego yang menganggap karya mereka sudah cukup bagus dan menidakkan komentar pihak lain terhadap hasil kerja mereka.

"Keengganan berubah hanya akan memberi kesan negatif yang mengakibatkan karya tempatan tidak akan boleh pergi jauh menembusi pasaran antarabangsa," tegas beliau.

Pasaran buku

"Kita terlalu selesa dalam industri kita sendiri. Pasaran tempatan kita sebenarnya kecil, jadi adalah baik jika seseorang penulis cuba merantau ke luar negara dan mengenal pasti potensi memasarkan karya mereka di negara-negara lain," jelas Azzah yang telah mengembara ke beberapa negara untuk menganalisis pasaran buku di luar negara.

Menurut beliau, dalam keadaan hari ini penulis sendiri perlu memainkan peranan untuk menjual buku tulisannya dan tidak lagi seratus peratus mengharapkan penerbit untuk melakukan kerja mempromosi dan menjual buku.

Gina dan Azzah turut bersetuju bahawa pembangunan penulis perlu dilakukan pada peringkat akar umbi untuk meningkatkan kemahiran sejak awal seseorang penulis berkecimpung dalam industri berkenaan agar manuskrip yang dihasilkan berkualiti tinggi.

Sementara itu, Ishak memberitahu, dengan trend terkini yang melihat kedai buku menukar konsep dari 'kedai buku' kepada 'kedai gaya hidup', bermaksud ruang jualan buku akan semakin mengecil dan keadaan ini pasti memberi kesan kepada jualan buku secara runcit.

Ishak turut berpendapat pembelian syarikat RevAsia oleh Media Prima Berhad dan kerjasama syarikat penyiaran berbayar Astro dengan Kumpulan Media Karangkraf dijangka memberi kesan kepada jualan buku fizikal yang terpaksa bersaing dengan maklumat percuma disediakan oleh portal dalam talian.

Menurut Ishak lagi, kesudian penganjur menjalankan acara seperti ini yang tidak berasaskan keuntungan adalah sesuatu yang jarang didapati di negara ini, bahkan pada peringkat dunia.

Beliau turut menyamakan #Kabo24Jam dengan Ubud Readers and Writers Festival yang dianjurkan setiap tahun di Bali, Indonesia.

Tambah Ishak, acara seperti ini adalah medan yang amat tepat untuk menyampai serta mendidik pemain industri tentang pelbagai isu yang sedang melanda pasaran seperti isu hak cipta, strategi pemasaran buku serta pelbagai isu yang timbul.

Maklumat lanjut mengenai acara anjuran Kabo boleh didapati melalui akaun Facebook mereka pada pautan https://www.facebook.com/Kabobangi/ atau menghubungi talian 013-338 5178. - BERNAMA