Memilih Abrar Rice sebagai jenama syarikat beras miliknya, usahawan ini dibantu anaknya, Aisyah Al Jamalullail, 23, yang bertindak selaku pengarah syarikat, dalam perniagaan ini.

Menurut Izzah, pasaran beras memang ramai pesaing dan penuh cabaran, namun tiada apa yang tidak dapat diuruskan olehnya memandangkan, pengalaman yang sedia ada dalam bisnes dan juga pemasaran produk-produk farmaseutikal terdahulu mematangkannya dalam perniagaan.

Tambahnya, Abrar Rice ialah jenama bagi beras import basmati yang dikendalikan oleh Bernas (Beras Nasional) yang dipasarkan oleh syarikat miliknya. Terdapat beberapa produk jenama ini iaitu Aisyah, Amynna, beras wangi, nasi Arab dan beriani.

Selain basmati, Abrar Rice turut menjual beras putih dan beras tempatan.

“Paling mencabar ialah apabila hendak memperkenal beras basmati kepada masyarakat negara ini sebagai beras utama untuk dimakan. Kebanyakan daripada kita memakan nasi daripada beras biasa dan tidak menggunakan beras basmati mungkin sebab harganya yang agak mahal.

“Mungkin ramai yang tidak mengetahui sebenarnya nasi daripada basmati lebih sihat, disaring (direbus/parboiled) sebanyak dua kali) seperti contoh beras Aisyah, untuk mengurangkan kanji.

“Nasi daripada basmati juga lebih kenyal, panjang, sedap dan berkhasiat. Beras ini sentiasa dicari oleh mereka yang mempunai masalah kesihatan,” kata Izzah ketika ditemui di syarikatnya di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Dia memberitahu, beras basmati juga boleh dimasak seperti beras biasa untuk dijadikan nasi putih ketika makan seharian.

Tambah Izzah yang berasal dari Gombak, Selangor, beras basmati boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti nasi ayam, nasi beriani, nasi putih, nasi jagung, nasi hujan panas, nasi minyak dan pelbagai lagi, juga dipadankan dengan pelbagai lauk.

“Masyarakat di negara ini kebanyakannya bertemu dengan beras jenis ini ketika jamuan kenduri-kendara sahaja. Itu yang beranggapan beras ini adalah beras ‘eksklusif’,” katanya yang memberitahu Abrar Rice diambil daripada nama anak bongsunya Abrar yang berusia empat tahun.

Selain Abrar, Izzah mempunyai empat orang anak lagi.

Bukan mudah untuk Izzah bertapak ke dunia perniagaan, katanya, dia terpaksa menjual rumah dan kereta serta berhutang, pada awal penubuhan Abrar Rice bagi mendapatkan modal pendahuluan. Kini dengan bantuan suami dalam bahagian pamasaran dan anak, perniagaan Abrar Rice semakin meningkat maju.

Sementara itu, Aisyah memberitahu, Abrar Rice memiliki sebuah gudang bagi membungkus dan pusat pengedaran yang terletak di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor.

“Beras-beras ini diedarkan ke pasar-pasar raya persendirian, kedai-kedai runcit, peniaga-peniaga katering, restoran-restoran, individu, kilang-kilang yang menempah dan juga secara dalam talian.

“Kami menjual beras ini dengan harga yang sangat berpatutan, malah tidak lama lagi, Abrar Rice bakal mempunyai kedai runcit sendiri yang menjual beras ini secara langsung kepada pelanggan,” kata Aisyah yang merupakan mahasiswa Sarjana Muda Perniagaan dan Logistik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Aisyah berkata, Abrar Rice juga akan turut mengedarkan barangan sejuk beku serta sebuah spa bekam iaitu AL Abrar bagi memperluas perniagaan.

Sebuah koperasi iaitu Koperasi Abrar KL Sdn. Bhd., juga sudah ditubuhkan bagi penerokaan sebuah kawasan untuk menanam cili di Melaka.

Abrar Rice boleh dilayari menerusi laman web abrarice.my-free. atau ABRARice untuk Facebook dan Instagram @abrariceofficial. - Gambar AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN