Melangkah masuk ke restoran Let’s Shell Out terasa bagai berada di tepian pantai dengan hiasan dalaman bertemakan pantai dan laut yang dibeli pemilik semasa bercuti di banyak negeri terutama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia bagi memberikan suasana cerian di tepian pantai.

Buat masa ini pelanggan boleh memesan sama ada set A atau B. Hidangan set A sesuai untuk tiga hingga lima orang, menyediakan menu ketam masak sweet sour, udang masak butter milk, lala masak kamheong, sotong masak kari, shell masak sweet chili, kupang masak cili padi, ikan pari masak asam dan nasi putih.

Manakala menu B pula sesuai untuk dua hingga tiga orang menyediakan hidangan ketam masak sweet sour, udang masak butter milk, lala masak kamheong, sotong masak kari dan nasi putih.

Selain itu pelanggan juga boleh memesan menu lain seperti spageti carbonara, kentang goreng, naget dan tomyam kung.

Pemiliknya pasangan suami isteri Mohd Azlan Mahmud dan Murniyati Wahid membuka restoran berkenaan tujuh bulan lalu selepas wang yang sepatutnya digunakan untuk membaik pulih rumah digunakan untuk membuka restoran.

“Saya tidak pernah mempunyai pengalaman dalam perniagaan restoran kerana saya bekerja dalam sektor pembinaan, tetapi semua kerja renovasi restoran saya lakukan sendiri,” kata Mohd Azlan semasa ditemui di restorannya di Puncak Alam, Kuala Selangor baru-baru ini.

Dalam dunia perniagaan, Mohd Azlan dulu pernah berniaga kecil-kecilan di pasar malam dan bazar Ramadan.

Menampilkan tema shellout kerana mendapat permintaan tinggi dan walaupun baru tujuh bulan beroperasi restoran berkenaan mempunyai pelanggan tetap.

“Saya membuka restoran dengan tema shellout apabila sebelum ini saya pernah makan shellout di sebuah restoran dengan harga yang sangat tinggi dan selepas itu kami suami isteri mula mencari tapak untuk restoran yang menghidangkan menu shellout.

“Kami memilih lokasi Puncak Alam kerana di sini tiada restoran shellout dan saya mahukan semua pelanggan mampu merasai menu ini dengan harga berpatutan,” katanya.

Ditanya sama ada mereka akan menambah menu lagi, Mohd Azlan berkata, mereka bercadang untuk menambah beberapa menu lagi dengan pilihan ikan siakap atau kerapu selain menu tambahan untuk kanak-kanak.

Restoran yang menerima pelanggan bermula jam 5 petang hingga 11 malam menempatkan 100 orang pelanggan di dalam dan 40 orang lagi di luar.

Boleh dikatakan Let’s Shell Out penuh dengan pelanggan terutama pada hujung minggu hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kecuali ditutup pada hari Rabu.

“Kami sentiasa menerima pelanggan yang ingin membuat tempahan sama ada untuk makan atau pelbagai acara seperti hari jadi,” katanya.