Pengasas portal pelancongan Lokalocal.com itu begitu teruja apabila dipe­lawa menyertai program pelayaran menelusuri sungai bersama beberapa pelancong tempatan dan dikendalikan oleh Sheba Travel and Tours Sdn. Bhd.

Sepanjang perjalanan dari jeti nelayan Kampung Chegar, Yoon Khen tidak henti-henti membidik kameranya agar tidak terlepas untuk merakamkan pelbagai gambar yang menarik di tepi Sungai Jarak dan Su­ngai Kulim.

Menaiki bot yang diuruskan Koperasi Nelayan Sungai Korok/Air Hitam, perjalanan kadangkala terhenti apabila bertemu nelayan sungai yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika me­nuju ke pangkalan Labuh Banting untuk perhentian pertama mereka.

Menurut Yoon Khen, dia amat tertarik dengan pemandangan di sepanjang laluan itu kerana melihat sendiri nelayan menangkap ikan dan udang galah menggunakan bubu dan jala selain memancing.

“Biarpun sering mengunjungi pelbagai lokasi menarik di negara ini, saya rasa pakej ini amat menarik kerana banyak pengalaman baharu yang saya peroleh antaranya melihat sendiri aktiviti nelayan sungai mencari rezeki.

“Inilah yang patut kita ketengahkan kepada generasi muda terutama dari bandar yang tidak tahu cara hidup di kampung dan mereka hanya berdamping dengan gajet saja sebagai aktiviti harian,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, program itu juga dilihat berpotensi menarik lebih ramai pelancong asing kerana mereka dapat merasai sendiri pe­ngalaman bersama penduduk kampung seperti menyediakan hidangan tapai, lempeng kelapa, ikan pekasam, kuih peneram dan kuih lo­yang serta banyak lagi.

Ini kerana, katanya, sebaik sahaja singgah di beberapa jeti, pelancong juga akan didedahkan dengan aktiviti kampung seperti bermain cakplong atau melihat sendiri proses pembuatannya serta proses menghasilkan rokok daun.

Selain itu, pakej itu juga akan membawa pelancong mengunjungi Hutan Pelajaran Air Itam Dalam yang memiliki kemudahan titian kanopi serta menjadi lokasi burung migrasi dari luar negara.

Mereka juga dibawa ke beberapa kampung berhampiran untuk merasai pengalaman di sawah padi atau memerah sendiri susu kambing hasil ternakan penduduk.

Di sepanjang perjalanan menelusuri Sungai Perai itu juga, pelancong turut didedahkan dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang terdapat di tebing sungai dan boleh melihat dari jarak dekat menggunakan teropong yang disediakan dalam bot.

Bagi seorang penulis sambilan, Yeap Lee Hua, biarpun ekspedisi menyusuri sungai seperti bukan kali pertama buatnya tetapi pakej di Tasek Gelugor amat menguja kerana baginya, pelancong tidak perlu ke luar negara untuk mendapat pengalaman seperti itu.

“Pakej seperti ini amat bagus terutama kepada pelancong tempatan yang sukakan alam sekitar kerana ramai sanggup ke Sri Lanka misalnya untuk melihat aktiviti penangkapan ikan secara tradisio­nal sedangkan ia ada di negara kita.

“Jadi saya yakin pakej seperti ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia sesuai untuk semua peringkat umur dan memberi pendedahan tentang cara hidup tradisional di kampung,” katanya.

Dalam pada itu, pakej yang ditawarkan itu juga memberi manfaat kepada tiga koperasi nelayan sungai di kawasan itu iaitu Koperasi Nelayan Sungai Pengkalan Machang, Koperasi Nelayan Sungai Korok/Air Hitam dan Koperasi Nelayan dan Komuniti Labuh Banting.

Ini kerana dengan adanya program itu yang selari dengan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai tarikan agropelancongan terunggul dalam masa lima tahun, ia juga mampu menambahkan pendapatan nelayan dan penduduk kampung.

Pelancong boleh membeli hasil tangkapan seperti udang galah segar atau ikan secara terus daripada nelayan yang menangkap udang di sungai ini pada harga berpatutan, sekali gus menjana pendapatan nelayan.