Bagaimanapun, Pertubuhan Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera Kelantan (Jastera) membuktikan sebaliknya apabila berjaya mengangkat jalur seni dan budaya di peringkat tertinggi tanpa perlu melangkaui sempadan peraturan sedia ada.

“Tiada kostum mencolok mata atau aksi kurang sopan dan keterlaluan. Kami cukup menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan.

“Ia keutamaan yang ditekankan dalam setiap persembahan kami,” kata Yang Dipertuanya, Mohd. Zamani Md. Zain kepada S2 baru-baru ini.

Mohd. Zamani yang mesra dengan panggilan Jaa Jastera berkata, peraturan dikenakan kerajaan Kelantan tidak sedikitpun mematahkan semangat, sebaliknya merangsang daya kreativiti mereka untuk terus berkarya.

“Memang benar kerajaan ne­geri menetapkan peraturan ketat, antaranya wanita tidak dibenarkan membuat persembahan terbuka di khalayak ramai dan setiap penari perlu menutup aurat. Kita hormat dan akur dengan peraturan tersebut.

“Saya tidak anggap peraturan itu menyekat usaha kita menonjolkan bakat. Jadi, kami sentiasa mencari jalan memastikan apa sahaja syarat dipatuhi tanpa perlu mencacatkan karya seni yang ingin dipersembahkan,” katanya.

S2 mendapati karya Jastera tetap sempurna walaupun terikat de­ngan peraturan. Malah, persembahan mereka terutama tarian tradisional seperti zapin, joget dan inang mendapat tempat di hati masyarakat Kelantan.

Selain itu, kumpulan tersebut turut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak di luar Kelantan, termasuk tersenarai antara lima kumpulan tarian tradisional terbaik dalam Festival Tari Malaysia 2017.

Enggan mendabik dada de­ngan pengiktirafan diberi, Mohd. Zamani mengakui berdepan pelbagai cabaran ketika Jastera ditubuhkan kira-kira 12 tahun lalu.

“Saya sendiri mengasaskan Jastera pada 2005. Di peringkat awal, memang sukar untuk tonjolkan diri, lebih-lebih lagi jalur seni yang saya bawa ini fokusnya adalah tarian. Bagaimanapun, saya kuatkan diri dan ikhlaskan hati.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran, Jas­tera mendapat soko­ngan baik pelbagai agensi. Mereka menggunakan khidmat kami untuk menjayakan program termasuk meminta kami menjadi tenaga pengajar,” katanya.

Mohd. Zamani dalam pada itu memberitahu, selain tarian tradisional, Jastera juga bergerak aktif dalam cabang kesenian lain, seperti persembahan teater dan bangsawan serta kesusasteraan Melayu terutama penulisan puisi.

Selain itu, katanya, Jastera yang pada awalnya merupakan sebuah pertubuhan berbentuk ‘hobi’, kini menjana pendapatan sendiri menerusi penubuhan Jastera Entertainment dan Jastera Kids. Kedua-duanya beribu pejabat di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

“Jastera Entertainment menawarkan perkhidmatan pengurusan acara, sewa kostum, tarian, senam tari serta kelas tarian dan senaman untuk pelbagai peringkat usia termasuk warga emas.

“Sementara itu, Jastera Kids pula memberi tumpuan kepada kelas tarian khusus untuk kanak-kanak. Kami juga bekerjasama dengan sekolah di seluruh negeri untuk mencungkil bakat golongan cilik,” katanya.

Tambahnya, Jastera kini menaungi kira-kira 1,000 ahli terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti dan golongan profesional, selain memiliki lebih 20 penari sepenuh masa.

Salah seorang profesional yang menyertai Jastera ialah doktor gigi, Muhammad Hamidie Saari, 28. Katanya, minat mendalam terhadap kesenian dan kebudayaan mendorongnya menjadi penari sambilan Jastera Entertainment.

“Dulu, saya sibuk belajar sehingga tidak ada masa meneruskan minat. Sekarang, saya mahu meluangkan masa melakukan perkara yang saya minat iaitu menari,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur yang berkhidmat di Klinik Pergigian Pasir Puteh itu berkata, dia sanggup melakukan apa sahaja demi minat terhadap tarian.

“Selepas bertugas, saya bergegas ke studio Jastera untuk menghadiri latihan tarian yang diadakan pada sebelah malam.

“Kalau sudah minat, kita akan usahakan juga sampai dapat walaupun jarak dari klinik ke studio mengambil masa hampir sejam,” katanya.