Bagi sesetengah orang, hobi tersebut mungkin dikatakan sebagai aktiviti ‘elit’, menyebabkan pembaziran masa dan wang ringgit. Namun Intan Shafina mempunyai pandangan tersendiri berkaitan hal itu.

Gadis berusia 25 tahun ini, berkata, masyarakat perlu mengubah pandangan negatif tersebut.

“Aktiviti ini perlu dilihat sebagai medium untuk menimba pengetahuan dan pengalaman mengenai kehidupan dan budaya masyarakat lain yang sudah tentu berbeza dengan tempat sendiri,” katanya kepada S2.

Melalui aktiviti tersebut, katanya, masyarakat terutama remaja sepertinya dapat belajar banyak perkara yang sudah semestinya tidak sama seperti yang dibaca di dalam buku.

“Bagi saya, setiap lokasi yang dilawati memberi pengalaman berbeza, bukan sahaja daripada aspek sejarah, malah budaya, kehidupan, cara pergaulan dan keindahan alam semula jadi.

“Pengalaman ini tidak boleh dijual beli dan ia perlu dirasai sendiri. Hobi ini juga sedikit sebanyak dapat membuka minda tentang keadaan dan dunia luar,”tambahnya.

Menyentuh mengenai persiapan sebelum melancong, gadis kelahiran Bachok, Kelantan ini berkata, dia akan melakukan kajian terlebih dahulu dengan mendapatkan maklumat melalui media sosial tentang tempat yang ingin dilawati agar percutian berjalan lancar.

Malah katanya, perancangan daripada aspek belanjawan juga perlu dititik beratkan supaya tidak berlaku lebihan perbelanjaan sehingga menyebabkan pembaziran.

“Dari segi keselamatan, saya rasa tiada masalah asalkan kita mempunyai keyakinan diri. Tambahan pula jika lokasi yang ingin dilawati itu mempunyai rakan atau saudara-mara, maka ia lebih memudahkan.

“Setakat ini, semua negeri di Malaysia telah saya lawati bersama keluarga dan kini, saya merancang percutian di luar negara pula. Saya harap dapat sampai ke bumi Jepun kerana tertarik dengan keindahan dan budaya negara itu,” ujarnya.