Ini kerana rata-rata individu mahukan kediaman tempat berehat, bersama keluarga dan bebas daripada kesibukan kerja.

Pilihan klasik moden dilihat menepati cita rasa yang unik dan eksklusif. Rekaan kediaman kontemporari selalunya mempunyai teras rekaan klasik yang diperbaharui dengan rekaan semasa.

Jika anda merasakan tata hias kediaman terlalu biasa dan mahukan sedikit kelainan, pilihan sebegini mampu menyuntik idea yang lebih segar.

Kebiasaan konsep ini menampilkan sofa berciri moden digabungkan dengan fabrik warna terang menepati ciri moden klasik.

Malah setiap perabot membawa konsep berbeza dengan set sofa paling popular ialah bercirikan moden.

Gabungan perabot kayu dan fabrik menjadi dua elemen utama yang menonjol. Di samping itu, anda boleh memilih hiasan klasik yang unik dan sudah berusia tetapi masih cantik.

Tidak salah sekiranya anda memilih hiasan moden yang digabungkan dengan kertas dinding berwarna coklat keemasan atau gelap.

Kebiasannya, pemilihan lampu, hiasan seramik, kaca dan permaidani menjadi kekuatan bagi dekorasi moden klasik.

Bagi Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali, kesibukan undangan sebagai penceramah atau mentor usahawan tidak membataskan waktunya menghias ruang kediaman.

Dengan rendah diri beliau mengatakan dekorasi kediamannya itu tiada konsep tertentu untuk diketengahkan.

“Bagi saya, kemasan untuk dekorasi kediaman paling penting ialah keselesaan dan ketenangan yang ditemui ketika berada di setiap ruang yang diwujudkan.

“Biarpun ramai yang sanggup berbelanja lebih untuk membeli hiasan atau fabrik istimewa melengkapi latar hiasan, bagi saya ia tidak semestinya perlu mahal atau berjenama. Saya menumpukan kertas dinding tiga dimensi (3D) agar lebih menarik,“ katanya.

Tidak ketinggalan, dia menggunakan sofa moden bagi mempamerkan gaya dan suasana tersendiri. Ruang tengah itu juga tidak dibiar kosong sebaliknya turut menempatkan sebuah almari perhiasan yang menyimpan hiasan klasik.

Sementara sudut tepi diletakkan sebuah kerusi kayu berlepa serta meja kecil yang nyata cukup indah apabila dihiasi pasu-pasu.

Menambah seri meja makan yang diperbuat daripada kayu jati ini, lilin hiasan menjadi pilihan di samping pilihan langsir organza.

Membangkitkan suasana berbeza pada ruang makan, sudut tepi tidak terkecuali diberi perhatian.

Almari bersaiz sederhana menjadi pilihan dengan pelbagai cenderahati menjadi perhiasan.