Mahu kurus sahaja tidak relevan tetapi apa yang lebih penting ialah kurus dan sihat. Jika kurus sahaja tetapi kemudian mendapat penyakit juga tidak bagus untuk diri seseorang itu. Pastinya anda tidak mahu mendapat penyakit lain pula seperti gastrik, pening, loya, muntah dan sebagainya akibat menahan lapar dan mahu kurus dengan cepat.

Oleh itu sebelum memulakan azam anda untuk kurus sihat, sebaiknya anda mendapatkan nasihat dan panduan daripada orang yang memiliki ilmu dalam bidang ini.

Nama Kevin Zahri bukan satu nama asing dalam bidang kecergasan di negara kita. Juga dikenali sebagai Cikgu Fitness, pemilik nama sebenar Kevin Zahri Abd. Ghaffar, 39, ini adalah antara pakar kecergasan yang berjaya di Malaysia.

Sebagai seorang yang benar-benar berminat dalam pendidikan kecergasan dan kesihatan, Kevin adalah pengasas kepada program kurangkan berat badan yang dinamakan Jom Kurus.

Memiliki 10 tahun pengalaman sebagai jurulatih kecergasan, penceramah korporat, penulis kecergasan, hos televisyen dan muncul dalam pelbagai rancangan, tahun 2018 ini merupakan tahun keempat dan sesi ke-10 Jom Kurus.

Kevin yang ditemui di Mont Kiara baru-baru ini berkata, dia bermula sebagai jurulatih kecergasan secara sambilan dengan bidang kecergasan pada 2004 hanya untuk menambah pendapatan.

Pada masa itu, dia masih bekerja dalam bidang teknologi maklumat di Proton. Dia berhenti kerja pada 2008 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada kecergasan dan bekerja sendiri.

“Sejak kecil saya sudah berangan-angan untuk bekerja sendiri. Saya mengimpikan kehidupan yang berjalan dengan tenang, bangun pagi tidak dalam keadaan stres, tiada yang mendesak, orang tak kejar kita bertanya kerja dah siap ke belum dan sebagainya.

“Bagi saya, itu matlamat kehidupan. Bukannya bekerja dalam tekanan, keluar rumah pagi dan balik malam, tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga sehinggakan hendak bercuti pun susah.

“Saya tidak pernah berniat hendak menjadi jurutera dan kerjaya ini tidak memberikan kepuasan kepada saya. Bidang kecergasan sentiasa menebal dalam hati,” kata Kevin yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti North Eastern, Boston, Amerika Syarikat.

Dia dilahirkan di Jerman dan merupakan anak bongsu dua beradik kepada perkahwinan campur antara bapanya yang berketurunan Melayu dan ibunya Jerman.

Dibesarkan di Jerman sehingga berumur 12 tahun, dia telah dibawa pulang ke Malaysia oleh bapanya setelah ibu bapanya bercerai. Sementara abangnya menetap di Jerman bersama-sama ibunya. Kini ibu dan abangnya telah pun meninggal dunia.

Kevin bersekolah di Kuala Lumpur dan semasa di tingkatan tiga, bapanya telah memasukkannya ke Sekolah Agama Seri Perak di Perak bagi mendalami bidang agama kerana semasa di Jerman dia tidak berpeluang mempelajari agama Islam. Walaupun tinggal di asrama dan ramai yang berkata sukar, namun dia mengaku dia ‘baik’ kerana tidak membantah kehendak bapanya.

Dia melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pengkalan Chepa, Kelantan sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seterusnya ke Amerika Syarikat dengan biasiswa Proton.

Tambahnya, semasa di Amerika Syarikat dia berminat menyertai pertandingan-pertandingan fizikal namun sukar baginya kerana fizikalnya yang kecil daripada peserta di sana.

Bagi mendapatkan lebih banyak pengetahuan dalam kecergasan dan untuk kepuasan diri sendiri, dia telah mengikuti kursus dan mendapat sijil dari American Fitness Association (Afta).

Sejak zaman menuntut di universiti lagi dia telah menjadi jurulatih kecergasan fizikal secara sambilan dan mengamalkan pemakanan yang sihat supaya berat badannya tidak naik.

Ujarnya, apabila ramai yang bertanya apa yang diamalkannya dan dia akan menerangkan kepada mereka, minatnya semakin menebal dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk ‘bergerak’ sendiri.

“Kini saya memiliki syarikat sendiri, iaitu KZ Events Sdn. Bhd. yang menguruskan acara-acara korporat dan Program Jom Kurus, seminar kesihatan korporat dan sebagainya,” jelasnya yang berkahwin dengan Rio Elani Rio Kamal Yuhya, 30, dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Rafael, 7 dan Mikaela, 5.