Haiwan istimewa ini merupakan antara mamalia yang mempunyai sifat sensitif, pintar dan empati.

Kehilangan dan fragmantasi habitat adalah ancaman utama terhadap populasi gajah di Malaysia.

Sehingga 1980-an, banyak kawasan hutan pamah, iaitu habitat utama gajah telah dibuka dan ditanam dengan kelapa sawit serta getah. Aktiviti pembalakan turut menyumbang kepada penurunan populasi gajah.

Gajah memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia kerana ia menyumbang kepada kestabilan ekosistem dengan membolehkan pelbagai jenis tumbuhan dan spesies haiwan lain hidup dalam persekitaran tersebut.

Kepupusan populasi gajah akan menjejaskan biodiversiti alam sekitar dan menyebabkan habitat menjadi huru-hara.

Sehingga kini, dianggarkan hanya tinggal 1,200 gajah Asia liar atau dikenali sebagai Elephas maximus di Malaysia. Oleh itu, pelbagai usaha murni telah dijalankan bagi memastikan mamalia ini terpelihara, khususnya daripada ancaman manusia yang tamak.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Temerloh, Pahang merupakan satu-satunya pusat konservasi yang dibina dengan tujuan menempatkan semula gajah yang terasing dan terancam.

Selain itu, PKGK juga menyediakan tempat tinggal kepada gajah yang mengalami kecederaan serius serta tidak mempunyai peluang untuk hidup di hutan dengan sendiri.

Difahamkan, kesemua gajah terbabit telah diselamatkan dari seluruh Semenanjung Malaysia dan ditempatkan di tempat perlindungan yang selamat.

Sempena Hari Gajah Sedunia yang disambut pada 12 Ogos setiap tahun, institusi pembangunan kewangan kerajaan melalui subsidiari milik penuh Kementerian Kewangan Diperbankan iaitu Eksport- Import Bank Malaysia Berhad (EXIM Bank) telah mengambil inisiatif menyebarkan maklumat mengenai gajah, perwatakan, habitat semula jadi dan isu-isu yang dihadapi oleh populasi gajah secara umum.

Pengerusi EXIM Bank, Datuk Mat Noor Nawi berkata,inisiatif yang dijalankan itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat alam sekitarnya.

“Program ini merupakan usaha EXIM Bank untuk mendidik orang ramai serta mewujudkan kesedaran tentang PKGK di Kuala Gandah.

“Inisiatif dalam penyebaran maklumat mengenai gajah ini bertepatan dengan sambutan Hari Gajah Sedunia dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhilitan, PKGK Kuala Gandah,” katanya selepas majlis pelancaran Pusat Informasi Gajah EXIM Bank di PKGK, Kuala Gandah, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Nasharuddin Othman.

Tambahnya, selain penyebaran maklumat, EXIM Bank juga telah membaik pulih pusat maklumat PKGK Kuala Gandah dengan informasi terkini berkenaan gajah dalam bentuk poster, papan tanda, risalah pelawat dalam dwibahasa dan sumbangan kaki palsu untuk gajah betina bernama Selendang yang kudung kaki kirinya akibat jerat dawai.

Sementara itu, Nasharuddin berkata, PKGK yang ditubuhkan pada 1989 mempunyai pasukan yang dianggotai 24 ahli telah berjaya mengurangkan kepupusan berterusan populasi gajah dengan menempatkan 450 gajah liar.

“Selain menjadi markas bagi pasukan pemindahan dan penempatan sekumpulan gajah, pusat ini juga menjalankan aktiviti kesedaran berkaitan isu pemuliharaan gajah di Malaysia dan menyokong aktiviti penyelidikan yang berkaitan,” ujarnya.

Sempena sambutan Hari Gajah Sedunia, beberapa acara telah diatur oleh PKGK Kuala Gandah, antaranya pertandingan mewarna, kenduri gajah, ‘elephant talks’, pencarian harta karun dan pertandingan fotografi menggunakan telefon pintar.

Pusat berkenaan terbuka untuk kunjungan orang ramai sepanjang tahun. Pelawat berpeluang mendekati gajah dengan membantu ahli pasukan memandikan dan memberi makan kepada haiwan tersebut, selain melakukan pelbagai aktiviti menarik yang lain.