Kempen yang dikenali sebagai The Waterful Sharing Campaign 2018 merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Yayasan Keamanan Global (GPE) membabitkan pengagihan penapis air The Life Straw Family 2.0 di setiap rumah bagi mendapatkan sumber air bersih.

Pengurus Besar Jenama Laneige Malaysia, Foong Winnie berkata, sumber air bersih adalah satu keperluan, namun tidak semua berpeluang memperoleh kelebihan itu.

“Bagi segelintir komuniti mendapat sumber air bersih untuk kegunaan harian umpama satu kemewahan buat mereka.

“Justeru melalui kerjasama ini, kami komited untuk membantu golongan kurang bernasib baik di pedalaman yang sukar mendapat sumber air bersih,” katanya.


Sementara itu, antara kampung yang terlibat adalah Kampung Ulu Kampar, Kampung Pecah Bateri, Kampung Gong, Kampung Batu Gong, Kampung Paluh, dan Kampung Cerampak yang mendapatkan sumber air daripada telaga, kolam tadahan, sungai dan paya untuk kegunaan harian.

Kempen ini akan berlangsung selama dua bulan bermula Mei ini, yang mana Laneige menyasarkan mengumpul dana berjumlah RM80,000 untuk inisiatif tersebut.


Orang ramai yang ingin menunjukkan sokongan terhadap kempen ini boleh berkunjung ke Laneige Water Bar di pusat beli-belah Mid Valley pada 14 hingga 20 Mei ini untuk mencuba sendiri rangkaian Water Bank Essence yang diperbaharui.

Setiap RM10 daripada pembelian akan dimasukkan ke dalam tabung dana Laneige Waterful Sharing Campaign 2018.- UTUSAN ONLINE