Tidak ketinggalan stesen radio yang baru berusia setahun jagung, iM4U.fm yang bersiaran pada frekuensi 107.90fm di sekitar Lembah Klang.

Stesen radio itu baru-baru ini menyambut hari istimewa itu bersama pendengar mereka yang terdiri daripada golongan belia di negara ini.

Memenuhi jiwa golongan muda, iM4U.fm mengatur pelbagai acara sehari bersama pendengar sempena menyambut Hari Radio Sedunia di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini iaitu Radio dan Sukan, iM4U.fm menganjurkan aktiviti yang dekat dengan golongan belia yang cergas.

Antara aktiviti yang diadakan adalah mengajak pendengar bersiaran secara langsung bersama penyampai radio iM4U.fm iaitu Thevanesh, Zarith Adzmira (Ira), Anas, Tyler, Amrita, Shrizz dan Zaried melalui tiga sesi aktiviti, bermula pagi hingga ke malam.

Menurut Thevanesh, pada sebelah pagi, kru iM4U.fm bersiaran di sekitar KL Sentral, Masjid Jamek dan Pasar Seni bagi menjayakan program sukan rakyat bersama pendengar.

“Selepas itu, kami bergerak ke beberapa lokasi riadah di ibu negara bagi bersiaran secara langsung sambil mengajak pendengar menyertai aktiviti ketahanan fizikal dan santai di situ,” katanya.

Sementara pada sebelah malam pula, kru iM4U.fm bersiaran langsung dari Subang Jaya dengan mengadakan aktiviti kecergasan bermain futsal.