KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2018 - Kurator Balai Seni Visual Negara,
 

Dengan hanya menaip dalam medan carian, sesiapapun boleh melihat kepelbagaian karya seni melalui internet.

Tidak ada salahnya berbuat demikian. Namun, perasaan dan pengalaman sebenarnya lebih bermakna sekiranya seseorang dapat melihat, merasai dan menyentuhnya menggunakan pancaindera. Meneliti dan menghayati karya seni secara langsung akan membuatkan seseorang mengalami satu suasana yang menyenangkan dan menggembirakan hati.

Jadi, tidak hairanlah mengapa pakar psikologi dan perubatan sering menggalakkan pesakitnya mengunjungi galeri seni sebagai salah satu kaedah membantu mengurangkan masalah kesihatan mental yang dialami.

Karya seni umpama objek berjiwa yang memberikan ilham, idea dan inspirasi yang perlu dinilai dan dihayati dengan lebih mendalam. Analoginya sama seperti kita menjalin hubungan persahabatan dengan seseorang.

Berbanding dengan hanya berkenalan melalui laman sosial, pertemuan di alam nyata sudah tentu memberi pengalaman berbeza yang menggamit jiwa dan perasaan bukan?

Itu antara sebab mengapa Balai Seni Negara (BSN) begitu signifikan sebagai entiti yang mendokong hasrat perpaduan menerusi seni.

Menurut Ketua Kuratornya, Amerrudin Ahmad, penubuhan BSN selari dengan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai sebuah pemegang amanah bidang seni yang merintis usaha membina peradaban dan masyarakat berbudaya.

“Maklumat sesuatu peristiwa atau sejarah terdahulu tidak hanya diperolehi melalui lisan, tulisan dan artifak, malah lukisan atau visual juga berperanan dalam menyampaikan maklumat yang signifikan kepada masyarakat dan negara. Justeru, peranan BSN sangat penting dalam memastikan kelestarian khazanah negara.

“Sebagaimana peranan arkib yang menyimpan rekod dan bahan maklumat, muzium menyimpan dan memelihara artifak, BSN juga mempunyai peranan lebih kurang sama dalam memastikan khazanah warisan negara terus terpelihara.

“Namun, fungsi BSN tertumpu kepada usaha pengumpulan, penyimpanan dan pemuliharaan hasil seni karya dalam bentuk visual yang dihasilkan bermula era zaman kolonial British sehingga kini,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Sepanjang 60 tahun penubuhannya, terdapat 4,534 hasil seni yang menjadi koleksi tetap BSN yang terdiri daripada seni rupa, seni arca, seni cetak, lukisan, fotografi dan seni digital.

Kesemua hasil seni kreatif berkenaan bukan sahaja mengandungi nilai-nilai estetika yang menjadi tarikan kepada mata memandang tetapi mempunyai kekuatan dari pelbagai aspek yang menarik perasaan sehingga terpahat dalam pemikiran.

“Hasil seni tidak hanya dipamerkan kepada khalayak kerana keindahan, seni, rasa dan penciptaan semata-mata, sebaliknya kehadiran isi tersirat atau kisah di sebalik karya itu juga amat penting.

“Sebagai contoh dalam sebuah pameran, terdapat sebuah lukisan bersaiz kecil yang berbeza dengan kebanyakan lukisan lain. Tidak memadai hanya melihat keindahan seni lukisan itu sahaja tanpa mengetahui mengapa saiznya sedemikian rupa.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kurator menginterpretasi makna di sebalik lukisan kepada orang ramai bahawa lukisan itu dihasilkan pada zaman perang.

“Ketika itu, pelukis berdepan dengan situasi darurat yang memaksanya untuk melukis menggunakan bahan yang terhad,” katanya.

Katanya, karya seni yang dihasilkan pada zaman era kolonial merupakan lakaran sejarah yang sangat penting untuk masyarakat menilai peristiwa yang berlaku di Tanah Melayu ketika itu.

“Menerusi penghayatan terhadap karya seni itu, ia akan membantu membuka hati masyarakat dalam menghayati sejarah terdahulu.

“Ketika era penjajahan British, teknologi kamera belum ada, Justeru, para pegawai British menghasilkan lakaran atau lukisan bagi setiap penemuan untuk dijadikan rujukan,” katanya.

Lakaran seperti sungai, bukit-bukau, gunung-ganang, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan biasanya dibuat berdasarkan apa yang dilihat di lokasi persinggahan pegawai British. Ini jelas menunjukkan bahawa lakaran itu menjadi rujukan lokasi pemetaan yang sangat penting.

“Salah satu contoh, karya seni pegawai British, Frank Swettenham. Ketika menjelajah kawasan penempatan seperti di Ulu Bernam, Frank telah membuat lakaran landskap lokasi itu yang turut memaparkan lakaran seorang penghulu kampung sedang duduk menghadap sebatang sungai.

“Impaknya hari ini, ketika masyarakat melihat lakaran itu, mereka mendapat gambaran bagaimana landskap lokasi itu ketika zaman kolonial.

“Malah, selepas dikaji, penghulu kampung di dalam lukisan itu masih mempunyai keturunan sehingga hari ini. Ahli keluarganya yang mengetahui moyang mereka di dalam lakaran tersebut, begitu terkesan dan terharu tatkala melihat lakaran berkenaan,” katanya.