“Saya terkesan dengan kos hidup yang makin tinggi. Kebanyakan golongan muda sekarang hendak mulakan hidup memang susah.

“Bagi saya kerajaan perlu fikirkan cara meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Kos beli barang meningkat. Saya cadangkan supaya sistem gaji yang ada sekarang dikaji semula terutama melibatkan golongan sederhana seperti saya,” katanya kepada S2.

Ali yang bakal berkahwin memberitahu, dia terpaksa mengurangkan perbelanjaan seperti menggunakan pengangkutan awam dan membawa bekal ke pejabat bagi mengurangkan perbelanjaan harian.

“Saya sentiasa memastikan bekalan mi segera dan roti ada pada setiap minggu,” katanya yang mempunyai sebuah motosikal untuk kegunaan ke pejabat dan kadang kala menaiki pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT).

“Walaupun bergaji sekadar cukup makan, namun, saya boleh ‘ikat perut’ kerana masih bujang. Namun, selepas berkahwin kelak, saya perlu memastikan perbelanjaan harian mencukupi dan stabil,” katanya lagi.

Tidak mahu mengambil sebarang bentuk pinjaman, dia menjelaskan bebanan hutang akan menyusahkan diri di kemudian hari.

“Buat masa ini, saya masih belum terfikir untuk menambah hutang, sekadar menggunakan wang gaji untuk keperluan sahaja,” katanya yang bercadang menceburi perniagaan dalam talian untuk menambah pendapatan.