Ketua Ekspedisi, Fazli Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan oleh agensi kembara di sini setakat semalam, belum ada kumpulan seramai itu dalam satu ekspedisi dari Malaysia menje­jakkan kaki di ABC di ketinggian 4,130 meter dari paras laut.

“Kelab Media Pahang selaku penganjur program akan merujuk kejayaan ini kepada Malaysia Book of Records (MBOR) untuk direkodkan sebagai kumpulan peserta teramai dalam satu ekspedisi menjejakkan kaki di ABC,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Jarak pendakian yang ditempuh adalah sejauh 41.34 kilo­meter yang memakan masa empat hari bermula dari Siwai.

Dalam cabaran itu, kesemua peserta berjaya mengharung suhu sejuk dan altitud tinggi yang menuntut kekuatan fizikal dan mental bagi menamatkan misi yang digalas.

Walaupun ada peserta menghadapi masalah kesihatan berikutan diserang mabuk gunung (AMS), semangat kental peserta serta kerjasama berpasukan mem­­buahkan hasil yang cukup manis.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin berkata, laluan yang ditempuh pendaki adalah Siwai menuju Jhinu Danda, Bamboo dan Duerali sebelum tiba di ABC pada 30 April.

Katanya, peserta pertama tiba di ABC pada pukul 11.30 pagi (waktu tempatan) manakala peserta terakhir 2.30 petang.

“Kami juga berjaya merentangkan Jalur Gemilang paling besar bersaiz enam meter x 12 meter seberat 11 kilogram tajaan Anih Berhad berharga RM10,000 di papan tanda bertulis ABC,” tambahnya.

Dalam pada itu, program anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tersebut disertai 21 anggota bomba, 31 wakil media, lima staf Kementerian Kesihatan dan lima wakil belia.

Antara yang mengambil bahagian ialah Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood; Pengarah JBPM Kedah, Abdul Razak Muda; Pengarah JBPM Sarawak, Nor Hisham Mahmood; Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Saadon Moktar dan pakar telinga, hidung dan tekak Hospital Kuala Krai, Kelantan, Dr. Eshamsol Kamar.

Abdul Wahab berkata, program itu antara lain bertujuan merapatkan hubungan serta kerjasama antara anggota bomba dan media selain diadakan sempena sambutan Hari Bomba Sedunia 2017 yang akan disambut di Ipoh, Perak pada 4 Mei ini.

“Ia juga diadakan sempena sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-60 pada tahun ini,” katanya.