Bagi yang mencari-cari hidangan dari Kelantan, anda boleh singgah ke Restoran Mek yang terletak di Wangsa Maju untuk membeli juadah berbuka puasa. Lebih 30 juadah berbuka menjadi pilihan khususnya penggemar hidangan daripada Kelantan.

Dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat, restoran ini mula menjual juadah berbuka seawal 2 petang. Antara menu yang mendapat sambutan ialah gulai kawah, sup tulang,  nasi kerabu, ayam percik, ikan percik, ikan cengcaru bakar sumbat, kerabu pucuk paku dan kerabu mangga.

Selain itu, terdapat pelbagai pencuci mulut resipi Kelantan termasuk jala mas, biji nangka, ondeh-ondeh, puteri mandi, lompat tikam, sira pisang, sagupal dan akok. Orang ramai boleh mengunjungi Restoran Mek yang terletak di No 75, Jalan Wangsa Delima 5,

Pusat Bandar Wangsa Maju, Kuala Lumpur atau dapatkan maklumat di Instagram Mek Kelantanese Cuisine.

Makan ala warung

Jika anda berkesempatan berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pasti anda teruja dengan pelbagai makanan kampung ala warung.

Pada tahun ini, sebanyak 250 juadah beraneka jenis ditawarkan kepada pengunjung dengan tema Selera Ramadan. Daripada jumlah itu, lebih 20 jenis hidangan disajikan berkonsepkan warung bagi menghidupkan suasana Ramadan.

Ketua Pegawai Operasi PWTC, Zalidi Rahim berkata, pihaknya mengekalkan kadar bufet sejumlah RM80 bagi dewasa dan RM40 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun.

“Promosi bufet bermula pada 29 Mei hingga 23 Jun hadapan dan dibuka pukul 6 petang hingga 10 malam.

“Pakej berbuka puasa persendirian dan korporat di Dewan Bangkuasi ditawarkan pada harga RM95 seorang meliputi 100 orang ke atas, manakala tempahan minimum untuk 50 orang RM115 seorang,” katanya.

Menu istimewa iaitu masakan ala kampung akan bertukar setiap hari. Antara hidangan yang membangkitkan selera ialah 14 jenis ulam-ulaman, dua jenis salad, enam jenis keropok, tujuh jenis ikan masin, lapan jenis ikan jeruk, 14 jenis sambal dan perisa, 13 jenis kerabu dan sebagainya. Di samping itu, para tetamu boleh menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah di Surau Ar-Rahman, aras tiga di PWTC. 

Selera desa 

Hotel yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur, Silka Maytower tidak mahu ketinggalan menawarkan bufet Ramadan ala kampung. Berkonsepkan selera desa, hotel ini menyajikan pelbagai menu termasuk kerabu udang mangga, nasi kabsah kambing , ayam masak briyani, daging panggang masak lemak cili padi, lemang bersama rendang daging dan ayam,  ikan keli sambal berlado, gulai darat daging tetel dan banyak lagi.

Pilihan menu dibuat sendiri oleh ketua jurumasak, Cef Mohd Fazi Ramli. Menurutnya, menu kampung tradisional sememangnya cukup sinonim dengan juadah berbuka puasa. Ia selari dengan  selera  masyarakat Melayu yang menyukai lauk-pauk untuk dinikmati bersama nasi putih.

“Pengunjung berpeluang menjamu  selera  dengan seleksi sajian masakan kampung resipi warisan turun-temurun. Bagi mereka yang ‘wajib’  berbuka   puasa  dengan nasi, kami menyajikan pelbagai pilihan lauk yang menggamit kenangan di desa,” katanya.

Bufet Ramadan akan dihidangkan bermula pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam sehingga 24 Jun di restoran La Maison, Silka Maytower Kuala Lumpur, No. 7 Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.  Harga bufet ialah RM 79 untuk dewasa, RM 40 untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun dan RM 45 untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas. Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi 03-2692 9298 sambungan 8094.