Keindahan songket tradisional lazimnya dibicarakan melalui proses tenunannya yang rumit sehingga mengambil masa agak lama. Namun, kecanggihan teknologi ketika ini membolehkan tenunan songket dapat dipercepat tanpa menjejaskan tahap kualiti yang tinggi.

Antara syarikat yang terawal menggunakan kaedah mesin tenunan berkualiti tinggi ialah Ara Borgstena Sdn. Bhd., yang memasarkan kain tenunan songket moden secara komersial sejak enam tahun lalu.

Menurut pengurus besarnya, Mohamad Pauzi Zahudin, pembuatan songket tenun syarikat itu berbeza daripada pembuatan songket lain memandangkan mereka menggunakan mesin tenun jacquard elektronik yang mampu mengawal sehingga 7,200 helai benang pada satu-satu masa.

Katanya, kepantasan mesin berkenaan membolehkan kain tenun dihasilkan dalam masa singkat dan efisien, yang memudahkan penghasilan songket secara besar-besaran untuk kegunaan pasaran luas.

Pembangunan teknologi tersebut juga mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang mana ia merupakan idea cetusan Prof. Dr. Jamil Salleh yang membangunkan mesin berkenaan pada 2005.

“Produk pertama yang kita hasilkan ialah tenunan songket bermotif daun sirih bagi kakitangan Kraftangan pada 2007 dan seterusnya songket dengan motif keris untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah 2008,” katanya ketika ditemui Mega Rona di kilang Ara Borgstana yang terletak di Jalan Klang Banting, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.

Uniknya, kata Mohamad Pauzi, penggunaan mesin berkenaan membolehkan teknologi songket dua muka dibuat (dua permukaan berbeza yang boleh digunakan sama ada di bahagian dalam atau luar), yang berupaya menyembunyikan benang panjang (loop) yang terkeluar di bahagian dalam kain songket membuatkan jahitan menjadi kemas dan tersusun.

Penggunaan benang pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu spunpoliester dan metalik serta benang emas dan perak. Setiap kali pengeluaran mesin itu mampu menghasilkan maksimum 3,000 meter kain.

“Pembuatan songket menggunakan mesin hanya mengambil masa kira-kira dua minggu berbanding menenun tangan yang memakan masa sehingga berbulan-bulan.

“Pun begitu, kita tidak mahu bersaing dengan songket tradisional kerana ia mempunyai nilai warisan yang tinggi.

“Pada saya, penghasilan songket mesin diharap mampu menandingi kemasukan songket dari Indonesia, Pakistan dan India yang semakin berleluasa dijual di pasaran dengan harga jauh lebih murah,” jelasnya.

Mohamad Pauzi mengakui, mudah untuk membezakan songket Melayu dengan luar negara, iaitu dengan lihat motif yang digunakan seperti tampuk manggis, pucuk rebung dan daun sirih. Songket luar negara pula banyak menggunakan motif haiwan seperti gajah dan burung.

Dari segi kualiti pula, kain songket yang ditenun tempatan lebih tahan lama sama ada warna dan kekuatan benang, serta tidak berasa gatal ketika dipakai dan digunakan.

Tidak hanya tertumpu kepada pembuatan busana, fabrik songket, syarikat itu turut menghasilkan produk hiasan dalaman. Antaranya, hiasan dinding, alas meja makan, sarung kusyen, tenunan khat kufi, pelapik pinggan dan gelas, sarung bantal, jubah konvokesyen dan baju rasmi untuk sekolah serta badan-badan kerajaan.

“Kita mahu memartabatkan penggunaan songket tidak hanya menjadi pakaian pada acara tertentu sahaja. Justeru, penggunaan songket sebagai hiasan dalaman rumah atau dekorasi di ruang dinding pejabat membolehkan warisan ini sentiasa diingati,” katanya. - Gambar FARIZ RUSADIO