Pengerusi SPNB Mesra Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, kadar kelulusan tersebut tinggi kerana pihaknya menggunakan budi bicara dan seboleh-bolehnya mahu memastikan semua pemohon yang layak, menerima bantuan tersebut.

Pendekatan itu kata beliau, selaras dengan matlamat kerajaan Persekutuan untuk membantu seramai mungkin rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Antara syarat utama perlu dipatuhi pemohon ialah umur 65 tahun ke bawah, pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 serta memiliki tanah sendiri dan terdapat kelonggaran tertentu bagi membolehkan lebih ramai memohon.

“Sebagai contoh, jika pemohon seperti seorang ibu tidak mempunyai pendapatan, dia boleh menjadikan anaknya sebagai penjamin dan penama kedua,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian dan Serahan Sijil Kelayakan Subsidi RMR1M Peringkat Parlimen Kota Bharu kepada 37 pemohon, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mesra, Wan Azlan Wan Ab. Rahman. - UTUSAN ONLINE