Ya, warna gelap tidak digalakkan untuk ruang kecil, tetapi dengan sedikit kreativiti, penggunaan langsir, lampu dan perabot yang betul, hiasan dalaman yang berwarna kelabu dan hitam akan kelihatan bergaya walaupun pada ruang yang kecil.

Pertama kali Mohmed Faizal Mohmed Hussin dan isterinya, Noormy Azura Tamat menyatakan hasrat untuk menghias rumah bertemakan warna hitam dan kelabu gelap kepada Pereka hias dalaman Heaven Living, mereka terkejut dengan pilihan tersebut kerana lari daripada trend terkini yang lebih gemar warna-warna yang cerah serta konsep Scandinavian yang makin diminati ramai.

“Warna hitam dan kelabu merupakan warna kegemaran dia dan isterinya, refleksi kepada jiwa ‘rock’ kami. Malah, saya dan isteri gemar sesuatu yang lari daripada kebiasaan dan percaya pilihan warna tersebut menarik jika kena caranya.

“Malah, mood rumah dengan warna yang gelap dapat menenangkan pandangan sekali gus merehatkan minda setelah penat seharian bekerja. Kiranya bila pulang ke rumah, terus rasa ingin rehat dan menenangkan diri,” ujar bapa kepada dua orang anak ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.

Ternyata pilihan mereka tepat. Limpahan warna kelabu gelap yang melatari majoriti dinding rumahnya selain kebanyakan perabot dan hiasan berwarna hitam dan kelabu gelap ternyata tidak memberi ilusi sempit pada rumahnya yang berkeluasan 1,078 kaki persegi, malah memberi aura elegan kepada mood rumah mereka.

Warna-warna gelap itu diseimbangkan dengan pemilihan perabot dan hiasan kecil berwarna putih. Pokok-pokok hiasan turut menghiasi setiap ruang, warna hijau daun pokok memecah skima warna hitam, memberikan nafas segar kepada ruang tersebut.

Menyifatkan konsep hiasan dalaman mereka sebagai moden kontemporari, tingkap-tingkap ruang tamu turut dihiasi dengan langsir polos kelabu gelap tetapi dikontrakan dengan langsir nipis berwarna putih yang membenarkan cahaya natural melimpahi apartmen unit tepi ini.

Di bahagian bilik tidur pula, Faizal memilih warna kelabu yang lebih lembut, sesuai dengan suasana bilik tidur. Di satu ruang, disediakan ruang kerja atau belajar untuk anaknya dengan bidai putih.