Daripada warna latar yang keemasan kepada susunan kusyen hinggalah barangan kaca seperti gelas putih, meja, buku-buku dan perhiasan kecil semua tersusun cantik di kedua-dua bahagian ruang utama kediaman ini.

Kemudian mata melirik pula ke ruang makan dan dapur. Cahaya mentari yang menerobos masuk menerusi jendela dan langsir material organza di ruang tamu rumah kediaman itu mewujudkan suasana cerah dan segar.

Walaupun dinding ruang tamu berwarna pastel atau pudar, ia tidak sedikit pun membuat diri rasa berada di ruang yang kosong atau sepi. Kediaman yang dihias dengan sentuhan moden itu memang menenangkan.

Tata riasnya ringkas dan kemas namun masih ada cita rasa kemewahan. Permainan warna-warna semula jadi seperti coklat, putih, hitam dan kelabu mencerminkan keperibadian penghuninya yang gemarkan kedamaian.

Pilihan

Kebiasaannya ramai yang merungut apabila berpindah ke kediaman teres bertingkat kerana tidak pandai meletakkan perabot yang banyak akibat pilihan ruang yang banyak. Niat untuk membeli kelengkapan kontemporari terpaksa dilupakan, gara-gara set tersebut dijual dalam unit yang banyak.

Namun melihat dekorasi kediaman ini membuatkan hati ingin memilikinya. Di ruang tamu, sofa dengan rekaan moden, ringkas dan tempat duduk luas. Sebuah meja kopi seperti bersadur emas diletakkan di depan sofa.

Pilihan fabrik sofa dengan warna gelap tidak janggal apabila dipadan bersama dinding pastel dengan bantal kusyen menghiasi sofa tersebut. Keringkasan susun atur berkelangsungan hingga ke bahagian menonton televisyen.

Bahkan ruang makan dan dapur kelihatan kemas dan bersih. Kebanyakan peralatan dan lampu berwarna emas, coklat dan putih menyerikan seni hiasan kediaman ini. Permainan warna dilihat berjaya memberi suasana yang lebih selesa, luas dan tenang. Semuanya indah dan terasa tidak mahu keluar daripada ruang kediaman tersebut.