Memperkenalkan tema tersebut sejak 2014, koleksi Hipster ini merupakan terjemahan idea baju Melayu moden yang disasarkan kepada golongan urban.

Rekaan yang dihasilkan bukan sahaja sesuai digayakan untuk memenuhi jemputan rumah terbuka tetapi sesuai digayakan untuk acara-acara formal yang memerlukan penampilan kemas.

Bagi Hipster 2018, Zery Zamry mengeluarkan koleksi terbaharu dan membahagikannya kepada dua koleksi sedia dipakai iaitu Hipster Basic dan Hipster Gold.

Tahun ini rekaannya dilihat menitikberatkan soal keselesaan, bergaya, ringkas dan tidak keterlaluan serta masih mengekalkan elemen klasik baju Melayu itu sendiri.

Untuk Hipster Basic, Zery menampilkan 10 warna dengan menggunakan fabrik kain kapas 100 peratus, tidak panas, sangat selesa serta sesuai dengan cuaca di Malaysia.

Baju Melayu ini turut disertakan aksesori butang ketip lekat sedia ada di baju serta tali buckle untuk memudahkan lengan baju disingsing dan menjadikannya sangat intrend.

Bagi koleksi Hipster Gold pula, ia merupakan koleksi kedua yang lebih premium dengan edisi terhad dan orang ramai boleh memilih sama ada baju Melayu Johor moden atau baju Melayu suit potongan muat padan.

Juga dihasilkan dalam pelbagai warna, koleksi ini lebih bermain dengan fabrik yang bercorak, metalik dan tekstur yang sesuai untuk lelaki yang pentingkan gaya dan keterampilan yang canggih tapi masih bersifat maskulin.

Bagaimanapun, koleksi eksklusif ini merupakan rekaan yang disesuaikan mengikut peredaran zaman dengan elemen-elemen baju Melayu masih dikekalkan seperti rekaan cekak musang dan Teluk Belanga.

Rekaan-rekaan baju Melayu pada hari ini dilihat telah mengalami transformasi mengikut permintaan, misalnya, golongan generasi terdahulu masih menggemari baju Melayu berpoket tiga manakala golongan X pula memilih rekaan berpoket dua manakala gengerasi Y meminati rekaan minimalis berpoket satu.

Bagi menyuntik elemen moden, si pemakai boleh melengkapkan busana tradisi ini dengan pemakaian samping tenun Pahang.

Untuk melihat rekaan-rekaan Hispter Zery Zamry, bolehlah layari media sosial Facebook zeryzamryoffcial atau Instagram @zeryzamryofficial.