Pengasas Duck Cosmetic, Vivy Yusof dimajlis pelancaran produk terbaru Duck Cosmetic. GAMBAR : NOOR AZLINA JAAFAR

Duck Cosmetics melalui rangkaian baharu produknya, You Glow Girl memperkenalkan palet warna yang sempurna yang mengandungi highlighter, pemerah pipi, dan bronzer bagi memberi dimensi pada wajah untuk menyerlahkan lagi gaya solekan untuk melambangkan karakter diri.

Diinspirasikan daripada rona-rona alam, palet wajah ini menampilkan dua tona iaitu Golden Glow dan Bohemian Tan untuk memenuhi semua keperluan warna kulit wanita sebagai penyelesaian kecantikan untuk gadis urban.

Liburan ke pulau tropika sentiasa menjadi idea yang baik pada musim panas ini dan itulah yang dibawa oleh Duck Cosmetics dengan mengilham sebuah palet wajah yang diperkaya dengan Vitamin E dan minyak biji bunga matahari untuk memastikan wajah kekal berseri sepanjang hari.

Bagi mereka yang berkulit cerah, Golden Glow mampu membawa anda keluar dari zon solekan yang selesa dengan menampilkan warna-warna dingin seperti Pina Colada, Iced Tea, Tropical Punch dan Pink Lemonade bagi meninggalkan kemasan yang kemilau dan tampak semula jadi.

Bohemian Tan pula untuk mereka yang mempunyai tona wajah yang lebih gelap menawarkan warna yang hangat seperti Pina Colada, Coconut Cabana, Peach Sunset dan Strawberry Crush pastinya meninggalkan satu pandangan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. - UTUSAN ONLINE