Membesar dengan darah campuran India dan Cina, elemen koleksi kali ini sarat dengan inspirasi daripada golongan diraja dan bangsawan yang disuntik sempurna antara konsep moden, mewah serta klasik.

Kaya dengan elemen perhiasan logam, manik dan batu permata yang menjadi perincian yang sinonim dengan golongan diraja dan bangsawan, pereka itu juga memberi nilai tambah dengan sulaman tangan yang bersifat sangat berseni serta dibuat dengan terperinci.

Mengetengahkan potongan yang rumit dan unik, Bernard bijak memilih fabrik dengan tekstur serta tidak melupakan fabrik berunsur tradisional seperti broked dan songket, yang digabungkan dengan pilihan fabrik bermutu bagi mengekalkan konsep ketimuran.

Selain mementingkan perincian perhiasan, pereka yang kini berpangkalan di London, turut menyuntik gaya 80-an dengan menampilkan potongan seluar pinggang tinggi, seluar besar serta skirt pendek, blaus longgar, jaket dan kot labuh.

Setiap helaian rekan yang dihasilkan mempunyai sentuhan berbeza di mana sebahagiannya ditambah dengan suntikan maskulin, legenda rock dan warisan kepahlawanan.

Paduan warna-warna mewah serta warna-warna ketimuran seperti emas, hijau zamrud, hitam, putih, merah, perak, kelabu, coklat, merah bata dan biru menghidupkan aura artisan dengan simbahan cahaya berbeza melalui perincian potongan berlipat, kedutan, tenik jahitan dan tampalan.

Selain jubah yang dihias dengan material logam, hampir kesemua koleksi dihiasi pelbagai material lain, antaranya baldu dan besi dengan warna emas, perak dan gangsa yang melatari permukaan fabrik.

Ini sekali gus memberi nuansa berbeza buat pereka itu, namun akuinya, koleksi berkenaan masih mewakili jiwa dirinya.

“Koleksi ini merupakan gabungan pelbagai idea termasuklah ada elemen yang diilhamkan ketika saya mengembara.

“Ada potongan seluar yang diberi struktur, iaitu potongan bell moden yang menggunakan konsep aerodinamik, bukan sahaja cantik untuk mereka yang tinggi.

“Potongannya membuat pemakai nampak bersahaja tanpa perlu memaksa.

“Penggunaan material jarang dengan sulaman flora klasik serta penggunaan motif-motif pahlawan dan bangsawan di bahagian leher, bahagian bawah dada hingga ke hujung busana memberikan gaya yang unik dan mewah,” katanya.