Semangat Syawal nyata begitu terserlah sepanjang acara peragaan fesyen Gaya Koleksi Raya 2018, yang menampilkan 48 koleksi daripada 20 pereka tempatan yang berlangsung di pusat beli-belah, Publika, di sini hari ini.

Mengetengahkan koleksi busana raya dengan paduan warna-warna menarik untuk digayakan semasa musim perayaan, persembahan fesyen ini menjadi platform buat pereka-pereka yang sedang meningkat naik untuk memperkenalkan jenama mereka kepada umum.

Pengasas Gaya Koleksi Raya, Andrew Tan berkata, meskipun Ramadan masih belum tiba, kemeriahan membuat persiapan terutama dalam hal pemilihan busana sudah dirasai.

“Dalam tempoh empat tahun, festival ini semakin berkembang dan kami juga semakin selektif dalam mencari pereka dan jenama yang mampu menawarkan idea-idea lebih segar dan unik bagi memenuhi permintaan fesyen masyarakat di Malaysia.

“Apa yang penting, koleksi yang dipersembahkan dapat meninggalkan nostalgia dan pengalaman penggayaan busana yang penuh dengan nilai eksklusif, tatkala menyambut lebaran bersama sahabat dan keluarga.

“Diharap Gaya Koleksi Raya dapat memberi peluang kepada pereka-pereka kita menampilkan buah tangan terbaharu mereka kepada pelanggan yang sudah lama menanti kemunculan rekaan-rekaan unik serta versatil sempena lebaran nanti,” katanya dalam majlis pelancaran Gaya Koleksi Raya 2018 di Publika, di sini.

Berkolaborasi bersama FashionValet, setiap pereka mempersembahkan rekaan dengan siluet dan sentuhan masing-masing.

Antara pereka dan jenama yang terlibat adalah Fizi Woo, Zery Zambry, Shanell Harun, Mimpi Kita, Aere, Ezuwan Ismail, Wajie Ibrahim, Tudung People, Maqilla, Astro Robe dan ramai lagi. - UTUSAN ONLINE