Sempena Syawal ini, Zalora dengan kerjasama tiga pereka tempatan, Alia Bastaman, Nurita Harith dan Syomirizwa Gupta mempertontonkan koleksi baju raya dengan kepelbagaian spektrum warna dan gaya dengan cetakan eksklusif hasil garapan idea yang cukup eksklusif.

Helaian NH By Nurita Harith yang ditunggu-tunggu bakal mencuri tumpuan ramai dengan menampilkan rekaan elegan khusus buat wanita yang mendambakan gaya sederhana tanpa melupakan sentuhan peribadi Nurita dengan mengekalkan elemen feminin seperti jatuhan kain, lipatan, renda dan rona-rona lembut untuk menyerlahkan keanggunan si pemakai.

Alia Bastamam pula tampil dengan rekaan bermotifkan flora menerusi koleksi For 2018 bagi membawa imej elegan dan sofistikated, menggunakan teknik cetakan lukisan Cina tanpa mengabaikan sentuhan tradisi seperti cetakan kain batik untuk menyerlahkan siluet.

Mengembalikan semula kegemilangan potongan kebaya, Syomirizwa Gupta menampilkan rekaan dan palet warna yang sinonim dengan perayaan dengan mempertaruhkan inspirasi daripada gaya sofistikated Toh Puan Noor Aishah, isteri bekas Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak melalui rekaan kebaya ketat, baju labuh, dan kebarung.

 

Koleksi daripada tiga pereka ini boleh diperoleh pada harga RM445 hingga RM745. - UTUSAN ONLINE